lelaki tertua di sepanyol nunez olivera meninggal dunia di usia 113 tahun

Sumber foto: Gerontology.wikia.com

Sebuah perkampungan di Sepanyol semalam, mengumumkan hari berkabung sebagai tanda hormat terhadap kehilangan seorang bekas petani berumur 113 tahun yang dicanang sebagai 'lelaki tertua di dunia'.

Menurut datuk bandar kampung, Antonio Carmona, Francisco Nunez Olivera yang berumur 10 tahun semasa berlakunya Perang Dunia Pertama, disahkan meninggal dunia kelmarin di perkampungan Bienvenida di barat daya Sepanyol.

"Ia hari yang sejuk dan hiba," luahnya yang berkata Nunez Olivera tinggal di kampung tersebut sepanjang riwayatnya.

Dilahirkan pada 13 Disember 1904, keluarga mendiang menceritakan petua lanjut usia Nunez Olivera merupakan diet sayuran hasil tanamannya sendiri.

Beliau menjadikan kek span yang dimakan dengan minyak zaitun dan segelas susu sebagai sarapan. Sehingga mencecah umur 107 tahun, Nunez Olivera sentiasa melakukan senaman menerusi aktiviti berjalan kaki.

Media Sepanyol tetap menganggap Nunez Olivera sebagai lelaki tertua di dunia, biarpun namanya tiada dalam rekod Kumpulan Penyelidikan Gerontologi, yang bertanggungjawab menyenaraikan manusia dengan jangka hayat paling lama di dunia.

Kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat itu menamakan Masazou Nonaka dari Jepun yang dilahirkan pada 25 Julai 1905 sebagai lelaki tertua di dunia.

"Kami dalam proses menghantar permohonan untuk mendaftarkan Nunez Olivera dalam Guinness Book of World Records. Ia pasti memberi makna yang besar buat keluarga dan penduduk kampung ini," jelas Carmona.

Sepanyol didakwa sebagai salah sebuah negara dengan tempoh hidup paling lama di dunia. Para doktor yakin amalan diet Mediterranean oleh penduduknya memastikan kecergasan tubuh. 

Sumber berita: AFP & BH Online


tags : , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)