Oleh pada 26 Nov 2021 kategori

Simbol seks adalah gelaran yang diberikan kepada seseorang yang terkenal dengan daya tarikan seksualnya. Ia biasanya terdiri daripada pelakon, penyanyi, atlet atau selebriti yang menjadi kegilaan ramai.

sessue hayakawa 893

Sebagai contoh, pelakon seperti Brad Pitt, Marilyn Monroe atau Scarlett Johansson adalah antara simbols seks terkenal dunia perfileman Hollywood. Mereka digilai ramai kerana ketampanan, kecantikan dan berpewatakan seksi.

Namun, ramai tidak mengetahui bahawa simbol seks pertama Hollywood adalah seorang lelaki Jepun bernama Sessue Hayakawa. Ini disebabkan watak pelakon Asia sering digambarkan Hollywood sebagai seorang yang pelik, skema (nerd) atau kurang berkeyakinan. 

Sebenarnya, buah hati pertama penonton filem Hollywood adalah seorang lelaki Asia. Berikut adalah kisahnya.

Latar belakang Sessue Hayakawa

Sessue Hayakawa dilahirkan sebagai Kintaro Hayakawa pada tahun 1886 di Wilayah Chiba, Jepun. Keluarganya mengimpikan agar Hayakawa menyertai Angkatan Tentera Laut Jepun tetapi dia gagal ujian fizikal kerana mengalami masalah gegendang telinga dalam satu kemalangan sebelumnya.

img 20211126 114130

Kegagalan Sessue membuatkan bapanya berasa malu. Hayakawa yang kecewa cuba membunuh diri dengan melakukan "seppuku" mengikut tradisi keluarga samurainya.

Mujurlah, dia sempat diselamatkan bapanya apabila anjing keluarga itu mula menyalak.

Setelah perasaannya pulih, Hayakawa berhijrah ke Amerika Syarikat. Gaya, penampilan dan ketampanannya membuatkan Hayakawa ditawarkan syarikat pencari bakat untuk berlakon.

Filem Hollywood pertama Hayakawa

Dalam filem pertamanya The Cheat (1915), Hayakawa diberikan watak sebagai seorang penjahat. Namun, kejayaannya membawa watak bahaya, sadistik dan antagonis itu membuatkan namanya melonjak naik dan digilai ramai wanita Amerika.

the cheat

The Cheat (1915)

Hayakawa menjadi fantasi terlarang wanita kulit putih yang telah lama dimomokkan dengan larangan perkahwinan atau percintaan berlainan kaum.

Walaupun ditonjolkan sebagai watak Asia yang jahat, beberapa babak lakonan Hayakawa seperti ciuman terpaksa ditapis atau dirakam dari sudut berlainan kerana khuatir akan menimbulkan kemarahan kumpulan perkauman kulit putih.

Sambutan terhadap Hayakawa dilihat sebagai sesuatu yang tidak disangka-sangka memandangkan komuniti Asia Amerika sering ditindas dan dimomokkkan dengan gambaran yang salah ketika itu. Malah, ada wanita yang sanggup menawarkan USD 10,000 (jumlah yang banyak ketika itu) untuk bermalam dengan Hayakawa.

Berhenti seketika daripada Hollywood

Pada tahun 1922, Hayakawa berhenti seketika daripada perfileman atas beberapa sebab (termasuklah kerana sentimen anti-Jepun yang semakin meningkat). Dia kembali selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

hayakawa

Hayakawa membuka sendiri syarikat produksinya, Haworth Pictures Productions dengan harapan dapat melakonkan watak yang diidamkannya.

Dia mengidamkan untuk memainkan watak "hero" yang mampu menyatukan penonton Barat dan Jepun serta mengeratkan dua budaya itu.

Namun, kebanyakan karya awalnya sebagai wira seolah-olah hampir terpadam dan tidak dipelihara dengan baik. Ini menunjukkan Hollywood tidak memberikannya penghargaan yang sewajarnya. Namanya sebagai pelakon berbakat juga seperti diabaikan.

Stereotaip terhadap Asia

Walaupun selepas zaman Hayakawa, Hollywood masih belum mengiktiraf tahap kemaskulinan seorang lelaki Asia. Menurut bancian yang dilakukan STATUS LAAUNCH, 42% rakyat Amerika tidak dapat menamakan seorang warga Asia Amerika yang terkenal walaupun Naib Presiden Amerika Syarikat adalah berbangsa Asia Amerika.

henry golding simu liu 52

Henry Golding (kiri) dan Simu Liu

Hanya 11% menyebut Jackie Chan manakala 9% lagi menamakan Bruce Lee, dua pelakon legenda yang bukan di zaman kemuncak populariti mereka. Ini menunjukkan bahawa lelaki Asia tidak dipandang serius di Amerika.

Kejayaan watak Asia sebagai bakat besar yang dimulakan oleh Sessue Hayakawa dilihat terkubur bersamanya apabila pelakon itu meninggal dunia pada tahun 1973.

Namun, pengkritik masih optimis bahawa pelakon Asia masih mempunyi peluang dalam dunia Hollywood. Ini berikutan beberapa pelakon dan pengarah Asia berjaya memberi impak besar kebelakangan ini.

Nama seperti Henry Golding (Crazy Rich Asian, Snake Eyes), pengarah James Wan (The Conjuring, Saw, Aquaman) dan pelakon adiriwa Asia pertama, Simu Liu (Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings) akan meneruskan apa yang dimulakan oleh Sessue Hayakawa dan mengubah persepsi Amerika terhadap orang Asia.



Hakcipta iluminasi.com (2017)