Oleh pada 29 Mar 2017 kategori

hacker trishneet arora 789

Walaupun India seringkali dipandang serong kerana beberapa aspek, namun ramai di antara kita tahu bahawa negara yang mempunyai jumlah penduduk seramai 1.2 billion orang ini merupakan satu pengaruh besar dan menghasilkan banyak nama besar dalam dunia siber dan komputer. Ramai rakyat India yang berkebolehan dan celik komputer berbanding negara lain. 

Trishneet Arora, remaja yang berasal dari India ini, menjadi bualan hangat di internet ketika ini. Namanya dijadikan sebagai contoh kepada kanak-kanak di India oleh ibu bapa di India, manakala remaja India pula memberikan nama jolokan "Mark Zuckerberg India" kepada remaja pintar ini. Akal lincah yang dimiliki remaja ini bukan sahaja menjadi ikon di India tetapi juga di seluruh dunia. Siapa Trishneet Arora dan bagaimana beliau boleh menjadi sangat kaya ketika umur yang masih muda? Kami akan membawa anda menyelami kisah remaja ini.

trishneet arora 329

Trishneet dilahirkan pada 2 November 1993 di Ludhiana, India. Zaman kanak-kanaknya adalah seperti kanak-kanak biasa sehinggalah bapanya membeli sebuah komputer, ketika beliau berumur 11 tahun. Ia membuatkan Trishneet berminat dan mula bereksperimen tentang komputer. Beliau perlahan-lahan meminati bidang ini dan mula mempelajari ilmu komputer.

Pada satu hari, komputer beliau rosak dan dihantar untuk dibaiki. Di situ, Trishneet melihat dengan teliti dan secara lebih dekat bagaimana komputernya dibaiki. Ini telah menjadi rutin baginya apabila beliau kerap bereksperimen dengan komputernya. Beliau cuba mempelajari asas hardware komputer dan mempelajari lebih banyak tentang hardware dengan bantuan Youtube serta mula membuat blog untuk berkongsi perkara baru yang beliau pelajari setiap hari.

trishneet arora 1

Walaupun Trishneet adalah seorang remaja yang sangat pintar, namun dia pernah gagal dalam kelas ke-8 dan terpaksa melangkau kelas ke-9.  Ibu bapanya berasa sangat marah padanya apabila beliau gagal dalam peperiksaan ketika itu kerana kurang minat dalam pelajaran. Beliau juga ditertawakan oleh rakan-rakannya. Beliau menghabiskan kebanyakan masanya dengan mempelajari ilmu komputer dan cara untuk menggodam sistem komputer. Minatnya yang sangat mendalam membuatkan beliau mula membaca buku-buku antarabangsa mengenai penggodaman komputer .

Walau bagaimanapun, beliau berjaya menamatkan peperiksaan kelas ke-10 melalui jarak jauh. 

Ketika beliau berusia 16 tahun, beliau dihantar ke Chandigarh yang terletak 100 kilometer dari rumahnya. Ketika itulah beliau banyak mempelajari daripada rakan-rakannya yang sedang mempelajari kursus Bachelor of Technology. Dengan bimbingan rakan-rakan, beliau berjaya menguasai banyak ilmu mengenai sekuriti siber. "Dulu merekalah yang selalu mengajar saya mengenai sumber yang betul dan saya banyak belajar daripada mereka," katanya, sambil menambah "Kini, mereka adalah pelajar saya". Ketika itu beliau sedang berada dalam tahun kedua kursus Bachelor of Computer Applications melalui pembelajaran jarak jauh.

the hacking talk with trishneet arora 193

Beliau telah menulis 3 buah buku sebelum mencecah usia 22 tahun yang berjudul Hacking TALK bersama Trishneet Arora, The Hacking Era dan Hacking With Smart Phones. Ketiga-tiga buku ini amat popular di kalangan penggodam komputer. Mereka yang membaca buku ini sangat terkejut dengan pengetahuannya dalam bidang ini ketika usia yang sangat muda. Sejak itu, beliau membuat keputusan untuk  menubuhkan sebuah firma yang menyediakan sekuriti siber kepada pelanggannya dan menjaga sistem mereka daripada penggodam komputer.

"Sekuriti siber selalu diabaikan walaupun ia menimbulkan kebimbangan bagi kebanyakan syarikat. Kami cuba untuk membuat perubahan kepada infrastruktur sekuriti organisasi kerajaan dan swasta dengan mewujudkan kesedaran tentang cabaran sekuriti ini."

- Trishneet Arora

trishneet arora founder tac security solutions addresss cii entrepreneurship summit 2015 395

Selepas mendengar ucapan beliau di sebuah form berkaitan jenayah siber di Ludhiana, beberapa pegawai polis senior menjemput Trishneet untuk mengadakan seminar kepada cawangan jenayah di situ. Beliau juga bekerja membantu beberapa kes jenayah siber untuk polis Ludhiana. Beliau juga membantu polis Gojarat mengadakan latihan selama 2 hari mengenai penyiasatan jenayah siber dan forensik.

Kini, Trishneet Arora berusia 23 tahun, mengetuai syarikat TAC Security, sebuah firma yang memberikan khidmat sekuriti siber kepada beberapa syarikat gergasi dan organisasi di India. Beberapa pelanggannya adalah seperti Reliance Communications, Amul, Punjab Police, Gujarat Police dan sebagainya. Kebolehan Trishneet telah dibuktikan sendiri dengan memberikan khidmat kepada syarikat-syarikat dan organisasi gergasi ini. Reliance adalah antara salah satu syarikat terkaya di India.

trishneet 2 360

Ramai pelajar yang sedang menuntut di IITs (sebuah institusi pengajian terbaik di India) mengimpikan peluang untuk bekerja di bawah syarikatnya kerana syarikatnya berjaya mengaut keuntungan jutaan rupee di bawah kendalian beliau yang hanya berusia 23 tahun. Selain itu, beliau telah menjadikan TAC Security sebagai syarikat multi-millionaire ketika hanya berusia 21 tahun.

Beliau adalah contoh terbaik bagi ibu bapa yang suka memaksa anak-anak mereka untuk mendapatkan markah tinggi di dalam pelajaran tanpa mempedulikan bakat semulajadi dan minat yang ada pada diri anak-anak. Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan dan minat masing, dan jika kebolehan tersebut digilap dan anak-anak digalakkan untuk belajar mengikut minat dan kebolehan masing-masing, sudah tentulah mereka akan lebih berjaya seperti yang dibuktikan oleh Trishneet Arora ini.

Terjemahan daripada teks asal : Youth Story &  The Youth India


tags : , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)