Baru-baru ini, pengasas syarikat teknologi Alibaba iaitu Jack Ma telah mengumumkan beliau akan bersara dalam masa 1 tahun selepas pengumuman itu dibuat. Perkara ini sudah tentulah mengejutkan banyak pihak memandangkan Alibaba sedang berada di puncak dan Jack Ma sendiri tidak mempunyai sebarang kontroversi.

Dalam memorandum yang telah dihantar ke stafnya mengenai perancangannya itu, Jack Ma berkata langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada generasi yang lebih muda untuk mengambil tampuk pimpinan syarikat itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, pengumuman mengenai rancangan untuk bersara itu turut dipersoalkan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin. Beliau mengatakan Jack Ma yang kini berusia 54 tahun masih terlalu muda untuk bersara. Beliau percaya masih banyak kejayaan yang mampu dicipta oleh Jack Ma dalam bidang teknologi terutamanya.

Jack Ma merupakan contoh terbaik bagaimana seseorang yang berasal daripada keluarga miskin mampu membangunkan sebuah empayar besar yang bernilai berbilion ringgit. Berikut merupakan beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu berkaitan pengumuman persaraan Jack Ma ini.

1. Lebih rela mati di tepi pantai daripada mati di pejabat

jack ma alibaba

Sebagai seorang yang berpengaruh, Jack Ma kerap kali dipanggil untuk menghadiri pelbagai seminar dan konvensyen di seluruh dunia. Beliau juga kerap kali menyatakan tentang jadual perjalanannya yang begitu sibuk walaupun sudah tidak memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif untuk menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat.

Malah pada tahun 2013, beliau memberitahu kepada kumpulan pegawai eksekutifnya bahawa beliau ingin menghabiskan lebih banyak masa bermain golf di tepi pantai. Namun, beliau dapati dirinya lebih banyak menghabiskan masa dalam kapal terbang untuk ke pelbagai destinasi seluruh dunia.

Dalam sebuah wawancara pada tahun 2017, Jack Ma mengatakan bahawa  beliau menghabiskan kira-kira 870 jam dalam kapal terbang sahaja tahun sebelumnya dan pada tahun 2017, jumlah itu semakin bertambah kepada 1000 jam. Beliau juga turut mengatakan bahawa beliau sama sekali tidak mahu mati di pejabat iaitu ketika sedang bekerja. Beliau mahu mati di tepi pantai.

Pada awal tahun ini, tular sebuah video yang merakamkan Jack Ma tertidur dalam sebuah majlis forum berkaitan artificial intelligence. Pada pukul 10 malam sebelumnya, beliau berada di Hong Kong untuk menghadiri sebuah majlis dan pada paginya pula mempunyai perjumpaan dengan Presiden Perancis.

Ternyata jadual perjalanannya yang terlalu sibuk menyebabkan beliau tidak mempunyai masa berehat yang cukup.

2. Menubuhkan Syarikat Alibaba adalah kesilapan

alibaba

Walaupun Alibaba sudah menjadi sebuah syarikat gergasi di dunia sebaris dengan syarikat-syarikat daripada Amerika Syarikat seperti Apple, Microsoft dan Amazon, Jack Ma mempunyai mempunyai perasaan berbelah bagi mengenai syarikat yang diasaskannya ini pada tahun 1999.

Malah, Jack Ma secara terbuka pernah mengatakan kesilapan terbesarnya adalah menubuhkan syarikat Alibaba. Hal ini disebabkan begitu besar tekanan dan tanggungjawab di bahunya untuk memimpin syarikat yang mempunyai nilai $420 bilion dengan 86,000 orang pekerja. 

Beliau mengatakan pada awalnya beliau hanya ingin menjalankan bisnes secara kecil-kecilan dan bukannya secara besar-besaran. Malah, pada peringkat awal beliau langsung tidak mempunyai perancangan untuk membesarkan perniagaan Alibaba seperti sekarang yang memberikan pelbagai tekanan padanya.

Dalam sebuah Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg pada tahun 2016 Jack Ma mengatakan setiap hari adalah hari yang sangat sibuk umpama seorang presiden. Beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan hidupnya. Jack Ma turut berkata, sekiranya beliau mati dan hidup semula, beliau tidak sesekali akan menjalankan perniagaan seperti yang dimilikinya kini. Beliau mahu lebih bebas dan menikmati hidupnya.

3. Minat mendalam untuk mengajar

jack ma menjadi guru

Jack Ma pernah beberapa kali mengatakan keinginannya untuk kembali menjadi guru dan mengajar di sekolah. Malah, beliau mengatakan antara saat paling menggembirakan di dalam hidupnya adalah menjadi guru yang berpendapatan kecil sekitar $13.26 sahaja setiap bulan.

Sebelum menubuhkan Alibaba, Jack Ma pernah mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sebuah kolej di Hangzhou selama 6 tahun selepas menamatkan pengajian di Institut Perguruan Hangzhou pada tahun 1988. Malah, beliau juga pernah diiktiraf sebagai antara guru terbaik di sekolah tersebut pada tahun 1994 kerana cara pengajarannya yang begitu interaktif dan lucu.

Menurut Jack Ma, beliau tidak pernah dilatih untuk menjadi seorang akauntan dan pengaturcara. Apa yang dilakukannya adalah belajar dan berkongsi ilmunya dengan orang lain. Malah, beliau bekerja sebagai seorang usahawan sepertimana beliau menjadi seorang guru.

Selain itu, Jack Ma kerap kali menggelar dirinya sebagai "Ketua Pegawai Pendidikan" di Alibaba dan beliau mahukan generasi eksekutif yang mengambil alih kepimpinannya kelak menjadi sepertinya umpama seorang guru yang mahukan anak muridnya untuk mencapai kejayaan melebihi dirinya sendiri.

4. Perlantikan Daniel Zhang dalam fasa peralihan

daniel zhang

Syarikat besar seperti Alibaba sememangnya memerlukan seseorang yang hebat seperti Jack Ma untuk menggantikannya kelak. Setelah mengumumankan rancangan untuk bersara, Jack Ma masih kekal sebagai Pengerusi Eksekutif Alibaba selama 12 bulan sehinggalah 10 September 2019.

Dalam fasa peralihan ini, Jack Ma sudahpun mengumumkan akan melantik Daniel Zhang setelah beliau meninggalkan kerusi tersebut pada 10 September 2019 kelak. Tindakan ini bagi memastikan peralihan ini tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada Alibaba dan menimbulkan kegusaran orang ramai.

Selepas bersara kelak, Jack Ma akan kekal sebagai seorang Pengarah dalam Lembaga Pengarah Alibaba dan rakan kongsi tetap Alibaba. Bagi Jack Ma, pemilihan Daniel Zhang adalah tepat memandangkan beliau kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membangunkan syarikat ini dengan lebih jauh lagi.

5. Ingin mewariskan Alibaba pada generasi seterusnya dan bukan keluarganya

jack ma pengasas alibaba

Menariknya, apa yang dilakukan Jack Ma ini ternyata sekali berlainan dengan amalan kebiasaan pemilik syarikat lain di Asia yang biasanya menurunkan syarikat tersebut kepada anak-anak apabila syarikat itu sudah disenaraikan dalam pasaran saham.

Kira-kira 85% jutawan Asia akan mewariskan perniagaan mereka kepada waris mereka apabila bersara. Peratusan ini diperolehi berdasarkan kajian selam 20 tahun oleh UBS terhadap 1400 jutawan di Asia.

Namun, tidak bagi Jack Ma. Beliau merasakan bahawa Alibaba mestilah dipegang oleh orang yang benar-benar layak, bukan sekadar mempunyai hubungan kekeluargaan semata-mata. Malah, pegangan saham yang dimilikinya dalam Alibaba dianggap sudah mencukupi baginya untuk membolehkan beliau hidup bebas dan selesa seperti yang diimpikan.

Strategi peralihan kuasa dan pencen awal ini juga sebenarnya bagi memastikan Alibaba terus kukuh dan diterajui oleh generasi muda yang berwawasan tinggi. Syarikat ini yang ditubuhkan pada 1999 oleh Jack Ma dan 17 orang pengasas bersama dengan nilai $60,000 pada ketika itu juga telah mengumumkan pelan jangka masa panjang bagi memastikan syarikat ini mampu hidup bagi tempoh sekurang-kurang 102 tahun lagi, sasaran yang menyaksikan bahawa syarikat ini akan diperturunkan kepada beberapa generasi lagi.

Kredit:

  1. South China Morning Post
  2. The Verge
  3. Reuters



Hakcipta iluminasi.com (2017)