Berapa ramai yang sanggup berkorban untuk pekerjaan anda sekarang? Adakah anda sanggup kerja lebih masa dan mengerah tenaga? Jika ya, anda memang hebat.

iluminasi.com ingin kongsikan sebuah kisah yang baru sahaja berlaku baru-baru ini di Amerika Syarikat yang boleh menjadi inspirasi kepada kita semua.

Walter Carr, 20 tahun, adalah seorang pelajar kolej yang baru sahaja diterima bekerja sebagai pemindah barang di sebuah syarikat pemindahan, Bellhops.

walter carr berjalan kaki sejauh 32 kilometer pada hari pertama bekerja

Dia memiliki sebuah kereta namun sebelum hari pertamanya bekerja, kereta tersebut mengalami kerosakan. 

Walter yang runsing dengan situasi itu, terpaksa memikirkan cara untuk ke tempat kerjanya kerana dia sangat memerlukan pekerjaan tersebut.

Apa pun yang terjadi, dia harus hadir keesokan harinya di rumah pelanggan yang akan berpindah.

Selepas menghubungi rakannya yang tidak dapat membantu dan memikirkan situasinya, Walter menyimpulkan bahawa dia hanya mempunyai satu pilihan : Dia akan berjalan ke tempat kerja. 

Dalam satu temubual, Walter berkata, "Saya duduk dan terfikir, bagaimana saya hendak ke tempat kerja? Jalan mana yang saya harus lalui? Dan berapa lama masa yang diambil untuk sampai?".

Namun, ia tidak semudah itu. Dia kemudiannya melakukan carian jarak perjalanan melalui Google Maps dan mendapati bahawa dia harus berjalan sejauh 32 kilometer.

walter carr menjadi contoh kepada orang ramai

Perjalanan itu dianggarkan memakan masa 8 jam. Tetapi sebagai bekas pelari merentas desa ketika di sekolah menengah, Walter yakin dia boleh sampai kurang daripada 8 jam.

Bersedia untuk mengharungi 8 jam berjalan, Walter makan malam pada jam 8 malam dan tidur sekejap untuk kembali segar.

Memulakan perjalanan

Pada jam 11.40 malam, Walter bangun dan mengambil segala keperluan asas seperti dompet, telefon pintar dan juga berbekalkan bola besbol serta pisau kecil untuk melindungi dirinya daripada anjing liar.

Berbekalkan semua ini, Walter memulakan perjalanannya dalam malam yang gelap.

"Saya memang jenis yang fikirkan segalanya sendiri, dan saya memutuskan untuk berjalan," jelas Walter.

Beberapa jam selepas berjalan, dia terserempak dengan seekor anjing yang mana Walter membaling bola tersebut. Jalan yang bakal dilalui disimpan dalam ingatannya.

Walter tidak hanya berjalan sebaliknya dia juga berlari, apabila sudah penat, dia akan berhenti dan sambung berjalan. Apabila kakinya mula lenguh, dia hanya fokus kepada sasarannya.

"Saya hanya fikirkan jalan yang saya hafal, dan bagaimana saya akan sampai ke sana dalam masa yang saya perlu,".

Menurut Walter, dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan segera, namun pekerjaan baru ini menawarkan gaji yang lebih tinggi yang mana dia perlukan untuk membayar sewa rumahnya.

Dibantu oleh pegawai polis

walter carr bersama sama pegawai polis yang menumpangkannya

Kerana terlalu letih setelah berjalan dan berlari sejauh lebih daripada 22 kilometer selama 4 jam, Walter memutuskan untuk berehat seketika. Ketika tu, sebuah kereta polis berhenti dan pegawai polis, Mark Knighten, bertanyakan keadaan Walter.

Walter menjawab dia baik-baik sahaja dan menjelaskan apa yang dilakukannya.

"Ini memang kerja gila tetapi saya sedang ke tempat kerja saya. Hari ini adalah hari pertama saya bekerja," terang Walter.

Mark kemudian bertanyakan bila kali terakhir Walter makan, lalu mengajaknya untuk mendapatkan sedikit makanan.

Namun, disebabkan baru sahaja membayar sewa rumah, Walter tak mempunyai wang langsung pada ketika itu. Mark menyuruh Walter masuk ke dalam kereta dan memberitahu dia akan membayar untuk Walter.

Mark bersama-sama beberapa pegawai lain membawa Walter ke Whataburger. Pada mulanya Walter hanya memesan satu burger namun selepas didesak oleh pegawai-pegawai polis tersebut, dia memesan satu lagi.

Mark Knight kemudiannya memandu beberapa kilometer ke arah tempat kerja Walter dan memberhentikan kereta di sebuah gereja, yang mana tempat selamat untuk Walter menunggu.

walter carr memulakan perjalanan pada tengah malam

Menurut Mark, dia terpaksa beredar disebabkan oleh pertukaran shif dan memberitahu bahawa akan ada seorang lagi pegawai lain yang akan datang ke situ, untuk memeriksa keadaan Walter serta mungkin menumpangkan remaja gigih ini.

Namun ketika sampai di gereja tersebut, Walter bimbang dia tak sempat sampai tepat pada waktu. Oleh itu, pada jam 5.30 pagi, dia memulakan semula perjalanannya.

Selepas beberapa ketika, sebuah kereta polis muncul dan memberitahu dia mengetahui akan situasi Walter. Pegawai tersebut, Scott Duffey menumpangkan Walter untuk baki perjalanan sejauh 6.4 kilometer.

Sampai di rumah pemilik rumah

walter carr dan jenny lamey pemilik rumah

Sejam kemudian, Scott Duffey dan Walter sampai di rumah pelanggan tersebut. Ketika Walter masih di dalam kereta, kemudian keluar daripada kereta lalu menjelaskan apa yang berlaku kepada pemilik rumah, Jenny Lamey.

"Pegawai polis itu memberitahu saya: "Dalam kereta saya ada seorang budak yang sangat baik. Dia telah berjalan sepanjang malam untuk sampai ke rumah anda," jelas Jenny Lamey.

"Dan ketika itulah air mata saya bergenang. Saya menangis." tambah Jenny. Jenny kemudiannya menawarkan makanan dan menyuruh Walter untuk tidur sebentar.

Namun, Walter menolak dan berkata dia harus memulakan kerja dengan segera. 2 lagi pekerja yang lain sampai selepas beberapa ketika dan memulakan kerja pemindahan barang Jenny ke rumah barunya. 

Selepas selesai kerja, Walter bermain bola keranjang bersama-sama anak-anak Jenny yang berusia 11, 13 dan 16 tahun.

"Saya tak tahu bagaimana dia mempunyai tenaga sebegitu. Saya tak boleh bayangkan apa yang membuatkan dia mampu mengharunginya. Ia sangat menakjubkan. Saya rasa Tuhan membantu Walter mengharunginya," jelas Jenny.

Tambah Jenny lagi, Walter sangat baik hati dan merendah diri. Walter memberitahu Jenny bahawa dia dibesarkan dengan cara itu dan tiada apa yang mustahil kecuali anda katakan ia mustahil

walter dan jenny ketika ditemuramah oleh stesen radio

Walter kemudiannya dihantar pulang oleh salah seorang daripada rakan sekerjanya yang baru.

Keesokan harinya, Jenny Lamey menelefon penyelia Walter dan menceritakan kepadanya apa yang berlaku, yang membuatkan kedua-duanya menangis.

Jenny kemudiannya memuat naik kisah ini di laman Facebook dan mula mendapat perhatian. Dia juga mula mengumpul dana untuk Walter melalui laman GoFundMe dengan sasaran $2,000 (RM8,000) bagi membantu masalah keretanya.

Jenny juga berkongsi mengenai latar belakang Walter termasuklah keluarganya yang berpindah ke Birmingham, Alabama kehilangan rumah mereka disebabkan oleh taufan Katrina, dan cita-citanya untuk menjadi tentera laut.

Selepas beberapa hari, dana yang terkumpul adalah sebanyak $44,000 (RM176,000) membuatkan seorang penasihat kewangan secara sukarela membantu Walter untuk menguruskan dana tersebut. 

luke marklin menghadiahkan keretanya kepada walter carr 506

Kisah ini sampai kepada majikan Walter, Luke Marklin yang merupakan CEO syarikat Bellhops, yang ingin bertemu dengan Walter bagi menunjukkan penghargaan ke atas apa yang dilakukannya.

Kedua-dua mereka bertemu di sebuah kafe berhampiran rumah Walter. Apa yang tidak diketahui Walter adalah dia bakal menerima satu kejutan.

Luke Marklin menghadiahkan kereta Ford Escape 2014 miliknya kepada Walter, sebagai tanda terima kasih. Luke memberitahu kereta itu lebih layak digunakan oleh Walter.

"Kami (syarikat) menetapkan tahap keazaman yang sangat tinggi untuk berkhidmat kepada pelanggan, dan anda telah membuatkan saya terpegun," kata Luke kepada Walter.

Walter Carr mendapat perhatian yang tidak disangka olehnya dalam masa beberapa hari ini. Dia berasa sangat terkejut tetapi gembira dapat berkongsi.

"Pengajaran dalam kisah saya ini adalah jangan benarkan sesiapa pun beritahu bahawa anda tak mampu lakukan sesuatu. Ia terserah kepada kita sama ada kita boleh atau tidak,".

Dana yang terkumpul ketika ini adalah hampir RM300,000 dan Walter memutuskan untuk memberikan sebahagian daripadanya kepada Yayasan Pendidikan Birmingham.


Ketika menulis, penulis sangat terpegun dan ternganga. Bagaimana dia boleh mempunyai kekuatan dan keazaman sebegitu?

Apa yang bermain di minda Walter Carr ketika dia sedang berjalan kaki, yang mana di tahu tak akan tamat dalam masa beberapa jam lagi?

Tak dapat bayangkan berapa kali dia terfikir untuk pulang ke rumah pada malam tersebut. Berapa kali dia terfikir adakah itu idea yang bernas. Dan berapa kali dia terfikir untuk baring dan berehat, tetapi tidak boleh.

kerja dengan ikhlas

Apa yang dilakukannya adalah terus jalan dan berjalan.

Tidakkah dia terfikir selepas berjalan hampir 8 jam, dia perlu bekerja mengangkut barang-barang seperti sofa dan almari yang mana sangat berat? 

Walter telah buktikan tiada apa yang mustahil dan siapa sangka keputusannya untuk berjalan kaki ke tempat kerja sejauh 23 kilometer telah mengubah nasibnya.

Lakukan pekerjaan anda dengan ikhlas, kerana kita tak tahu bila masanya tuah kita akan tiba.

Wallahualam.


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)