Jenama Mazda dari Jepun merupakan antara jenama kereta yang mempunyai reputasi baik di kalangan pengguna, khasnya di Malaysia.

Menempatkan diri dalam kategori jenama niche yang tidak terikut rentak pesaing lain, strategi jualan yang diamalkan Mazda nyata berkesan dibantu keyakinan orang ramai terhadap jenama, kualiti, servis serta sejarah syarikat terkenal ini yang telah memperkenalkan pelbagai inovasi permotoran dalam tempoh panjang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu usaha inovatif Mazda semasa era kegemilangan syarikat itu yang jarang diceritakan, adalah rekaan sebuah kenderaan yang mampu dibawa ke mana-mana seperti sebuah beg pakaian. Ini kisah bagaimana Mazda mencipta kereta tersebut.

Era gemilang Mazda dekad 90-an

1989 mazda mx 5 miata model popular

Pengenalan model Mazda MX-5 yang juga dikenali sebagai Mazda Roadster atau Mazda Miata di negara asalnya pada tahun 1989, mengubah nasib syarikat Jepun itu.

Kenderaan ikonik MX-5 yang terhasil daripada pengalaman Mazda membangunkan model utama mereka iaitu siri kereta berprestasi tinggi RX mendapat sambutan menggalakkan, bukan saja dalam pasaran tempatan malahan di seluruh dunia.

Mazda MX-5 dikatakan bertanggungjawab memulakan kembali trend pengeluar kereta membangunkan kereta berkuasa tinggi bersaiz kecil, yang sebelum itu pernah popular sekitar dekad 70-an.

Perkembangan positif Mazda dibantu kemenangan syarikat itu di bawah subsidiari Mazdaspeed dalam perlumbaan panjang Le Mans 24 Jam; meletakkan Mazda sebagai pengeluar kenderaan Jepun pertama memenangi perlumbaan tersebut.

Hasil jualan MX-5 yang menyokong perjalanan perniagaan Mazda serta imej baik jenama tersebut dalam media, membolehkan Mazda lebih berani menjalankan banyak kajian dan penyelidikan bagi mendapatkan idea baru dalam teknologi pembangunan kereta.

Idea membangunkan kereta yang mudah alih

ibu pejabat mazda jepun

Pengurusan Mazda memulakan inisiatif membuka pelawaan kepada semua divisyen dalam Mazda membentangkan idea yang boleh dibangunkan, yang akan dipersembahkan dalam acara anjuran syarikat itu yang digelarkan Fantasyard.

Jemputan itu disambut baik divisyen kejuruteraan pembangunan mekanisme gear Mazda atau Manual Transmission Testing dan Research Group, diketuai Yoshimi Kanemoto. Kanemoto mempersembahkan sebuah idea yang unik tetapi aneh - 'sebuah kereta mudah alih yang lebih mirip sebuah bagasi pakaian.'

Idea itu berpunca daripada masalah yang dihadapi Kanemoto setiap kali dia selesai menaiki kapal terbang, di mana dia perlu menghabiskan masa beratur bagi mendapatkan teksi.

Bagi individu seperti dia yang sering perlu bergerak dari lapangan terbang ke lapangan terbang, lebih mudah seseorang itu mempunyai kenderaan sendiri yang boleh diangkut ke mana saja bagi mengelakkan masa terbuang begitu saja.

Idea itu diterima baik pengurusan Mazda yang mengumumkan mereka sebagai pemenang, bersetuju untuk menyalurkan dana bagi pembangunan idea tersebut. Tujuh jurutera daripada Mazda membentuk kumpulan yang diketuai Kanemoto bagi merealisasikan visi tersebut.

Membangunkan prototaip pertama kereta beg Mazda

mazda suitcase car kereta bagasi prototaip 772

Dalam membangunkan idea itu, Kanemoto menetapkan beberapa sasaran yang perlu mereka capai : kereta itu mesti mudah alih, boleh dibawa ke mana-mana khasnya lapangan terbang, mudah dipasang serta mempunyai ciri-ciri sebuah kereta asas yang lengkap.

Kanemoto memilih sebuah beg bersaiz besar jenama Samsonite yang terkenal dengan ketahanannya untuk dijadikan rangka kereta itu.  Dalam pemilihan enjin pula, enjin yang bakal digunakan tidaklah perlu terlalu berkuasa cukup sekadar mampu memacu seorang individu.

1991 mazda suitcase car 02

Kumpulan jurutera itu membeli sebuah motorsikal mini. Dari motorsikal tersebut, enjin berkuasa 33.6cc, tayar dan pemegangnya diambil untuk dijadikan komponen kereta yang bakal dibina.

Mereka menjalankan pengubahsuaian kepada beg Samsonite tersebut, mencipta struktur tambahan yang akan dijadikan penyokong rangka kereta. Tempat duduk ringkas dipasang bagi membolehkan pemandu duduk dengan mudah.

Prototaip pertama diterima baik

1991 mazda suitcase car cvh36

Selepas beberapa siri pembangunan, kereta bagasi Mazda berjaya disiapkan sepenuhnya. Prototaip pertama kereta itu mempunyai berat muatan 32 kg.

Walaupun masih berat sebagai bagasi tangan, roda yang ada membolehkan bagasi itu boleh di bawa ke mana-mana ibarat sebuah bagasi biasa serta mampu menempatkan kesemua komponen yang diperlukan untuk membina kereta itu.

Selepas bagasi dibuka dan diratakan, pemandu perlu memasang sendiri stereng, tayar dan lampu depan, dengan anggaran 1 minit diperlukan bagi tujuan tersebut.

kereta bagasi mazda eropah

Kereta bagasi Mazda yang siap mampu mencapai kelajuan sehingga 30m/j dengan menggunakan bahan api petrol. Pemanduannya mudah disebabkan titik graviti kereta beg itu yang rapat dengan lantai/tanah, membolehkan pemanduan dilakukan dengan stabil.

Hasil kejayaan prototaip pertama itu menjadi buah mulut penggemar industri automotif di Jepun kerana keunikannya. Mazda mengeluarkan dana bagi membangunkan dua buah lagi kenderaan serupa untuk kegunaan promosi di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

Dalam Ekspo Kenderaan Frankfurt 1991, walaupun Mazda dibarisi banyak model hebat ekoran nama mereka yang ketika itu memuncak, kereta bagasi ciptaan Kanemoto yang mencuri tumpuan orang ramai kerana keunikannya.

Idea unik yang tidak diperbesarkan

kereta bagasi beg pakaian mazda

Kejayaan divisyen mekanisme gear Mazda di Jepun membangunkan 'kereta bagasi Mazda' merupakan antara bukti inovasi yang cuba dilakukan Mazda dekad tersebut.

Malangnya, pengurusan Mazda melihat idea tersebut walaupun telah direalisasikan dalam bentuk prototaip, kurang sesuai untuk dibangunkan ke dalam pasaran komersial. Tiga buah kereta bagasi yang dibuat hanya digunakan untuk tujuan promosi dan gimik pemasaran.

Walaupun kereta bagasi Mazda hanya menjadi gimik bagi meningkatkan reputasi Mazda dalam industri automotif antarabangsa, idea untuk pengeluar mampu membangunkan sebuah kenderaan mudah alih merupakan sesuatu yang cukup bernas sekiranya dapat direalisasikan dalam pasaran komersial.

Sebuah kenderaan mudah alih mampu mempercepatkan masa perjalanan dalam jarak singkat serta mampu mengurangkan masalah parkir kenderaan yang semakin lama semakin membelenggu sesetengah komuniti.

Sayangnya, konsep kereta beg Mazda ini tersekat di tengah jalan.

Prototaip asal kereta beg Mazda musnah dalam kemalangan dalam satu ekspo automotif pada tahun 1991.

Hanya pada tahun 1994 sebuah syarikat automotif dari California, Amerika Syarikat bersetuju untuk membina kembali kereta bagasi tersebut menggunakan komponen asalnya.

Kenderaan itu kekal menjadi satu-satunya kereta beg Mazda yang masih berfungsi sehingga sekarang.

Rujukan

Mazda’s Amazing Suitcase Car




Hakcipta iluminasi.com (2017)