kanak kanak obes 195

Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang seronok kerana kita tidak perlu memikirkan mengenai apa jua masalah, segalanya apa yang dilakukan adalah mencari keseronokan semata-mata. 

Malangnya, pada masa kini ramai kanak-kanak semakin obes kerana mereka kurang melakukan aktivit di luar sebaliknya hanya menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin telefon pintar, televisyen mahupun komputer. Sudah tentulah ini trend yang kurang sihat. Malah, statistik obesiti kanak-kanak seluruh dunia juga semakin membimbangkan. 

Namun, bagi kanak-kanak wanita di Mauritania, memiliki badan yang besar dilihat sebagai rahsia untuk untuk mudah mendapat jodoh. Disebabkan itulah, sejak daripada kecil kanak-kanak wanita di negara tersebut akan melalui satu proses "penggemukan" bagi memastikan mereka akan membesar dengan badan yang gemuk berisi.

Budaya "Leblouh"

budaya leblouh 431

Kanak-kanak perempuan seawal umur lima tahun dihantar ke pusat penggemukan di Mauritania di mana mereka akan dipaksa mengambil ribuan kalori setiap hari. Tradisi ini dikenali sebagai "leblouh", program untuk kanak-kanak perempuan agar mereka mudah dapat mencari suami yang lebih baik di masa depan.

Di negara kecil benua Afrika ini, wanita yang obesiti dan gemuk dianggap sangat seksi. Mauritania adalah penempatan bagi sekitar 3.2 juta orang dan sepertiga dari populasi tersebut adalah orang Moor kuno, suku yang mengamalkan budaya leblouh.

Apa sebenarnya leblouh ini?

Pernah dengar mengenai makanan yang diberi nama foie gras? Ianya adalah lemak hati angsa. Untuk menghasilkannnya, angsa-angsa ini akan diletakkan di kandang khas dan dipaksa makan secara banyak dalam tempoh tertentu untuk menggemukkannya. Foei gras dianggap makanan mewah di Perancis.

Perkara yang sama juga dilakukan dalam leblou dimana wanita-wanita yang lebih berumur akan memaksa kanak-kanak seawal 5 tahun untuk mengambil makanan tertentu. Selain Mauritania, ia juga masih dimalkan di beberapa negara Afrika Barat sehingga kini.

Kebiasaannya kanak-kanak ini akan dipaksa menghabiskan 2 kg millet, iaitu sejenis bijirin, dua cawan mentega, dan lima gelen susu unta. Sekiranya kanak-kanak perempuan itu enggan makan, mereka akan dipukul. Sekiranya mereka tidak dapat menelan makanan, mereka akan dipaksa makan muntah mereka sendiri.

Isteri gemuk lambang kekayaan suami

Walaupun dilihat kejam, mengapakah tradisi leblouh ini masih dijalankan sehingga kini? Ianya berpunca daripada kepercayaan masyarakat di sana itu sendiri.

Di Mauritania, saiz wanita itu menunjukkan ruang mereka di hati suaminya. Seperti di banyak negara yang kurang maju, seorang isteri adalah milik suaminya dan dengan demikian, dia adalah simbol kekayaan suaminya. Semakin gemuk si isteri, semakin kaya suami.

Proses penggemukan ini biasanya dilakukan pada musim cuti sekolah atau pada musim hujan ketika susu banyak. Kanak-kanak perempuan dihantar ke satu tempat tanpa memahami sebabnya. Walaupun menderita kerana perlu melalui proses leblouh, mereka diberitahu bahawa menjadi gemuk akan membawa kebahagiaan pada mereka. 

Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penggemukan ini akan dikawal selia oleh beberapa orang matron, iaitu wanita berumur yang sudah berkahwin. Selain memaksa kanak-kanak makan, mereka akan menggunakan tongkat yang mereka gulung di paha gadis-gadis untuk memecahkan tisu dan mempercepat prosesnya penggemukan.

kanak kanak dipaksa gemuk

Selain itu, ada juga sesetengah matron akan menggunakan cara yang lebih kejam dikenali sebagai zayar iaitu menggunakan dua batang kayu yang disisipkan pada setiap sisi jari kaki. Apabila seorang kanak-kanak enggan minum atau makan, matron akan menggenggam kedua kayu ini bersama-sama, menyebabkan kesakitan yang sangat kepada kanak-kanak tersebut.

Proses penggemukan yang berjaya akan menyaksikan berat badan janak-kanak perempuan berusia 12 tahun boleh menaik sehingga 80kg. Sekiranya gadis itu muntah dia mesti meminum muntahnya. Pada usia 15 tahun, kanak-kanak itu akan kelihatan seperti sudah berusia 30 tahun dari segi fizikalnya.

budaya kejam paksa gemuk

Tetapi pemikiran semacam ini nampaknya perlahan-lahan pernah hampir mati satu ketika dahulu dengan bantuan kempen kerajaan, pendidikan dan pengaruh Barat. 

Sepuluh tahun yang lalu (sebelum rampasan kuasa tentera junta), kerajaan pernah menjalankan kempen mengenai bahaya penyakit kardiovaskular dan diabetes. Kerajaan juga secara lantang mengutuk budaya penggemukan kanak-kanak ini. Ramai orang Mauritania kelas pertengahan dengan populasi yang dianggarkan berjumlah tiga juta mendakwa amalan penggemukan kanak-kanak tidak lagi ada.

Masih wujud di kawasan pedalaman

taraf kecantikan wanita mauritania

Walaupun budaya ini semakin berkurangan, ianya dipercayai masih diamalkan secara meluas di kawasan-kawasan pedalaman di mana informasi sukar disampaikan dan penduduk tidak mempunyai televisyen. 

Di kawasan-kawasan bandar, mereka sudah terdedah dengan rancangan televisyen dari luar yang mengubah persepsi mereka bahawa kecantikan juga boleh dicapai dengan memiliki tubuh badan yang sihat, sama seperti tubuh badan pelakon dan model yang dipaparkan di televisyen.

Organisasi dan NGO antarabangsa juga semakin tertarik dengan apa yang mereka lihat sebagai amalan budaya yang pelik dan merbahaya ini. Idea bahawa amalan penggemukan tradisional kini berubah menjadi kes di mana gadis muda secara rutin memakan hormon haiwan dan steroid berbahaya telah menarik perhatian mereka untuk masuk campur memberikan kesedaran kepada penduduk.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. The New York Times


Hakcipta iluminasi.com (2017)