Sumber foto: oneappsgroup.com
Pasangan beregu muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kejuaraan 5-0 Malaysia menerusi aksi Kumpulan C melawan Myanmar pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar malam tadi.
Menerusi aksi terakhir itu, pasangan negara tidak menghadapi kesukaran bagi merekodkan kemenangan 21-12, 21-9 ke atas pasangan Aung Myo Htoo-Chan Win Oo menerusi aksi yang mengambil tempoh 19 minit.
Sebelum ini, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven berjaya menyumbang 2 mata untuk Malaysia, lalu Iskandar Zulkarnain Zainuddin memperoleh mata ketiga setelah mengetepikan Chan Win Oo 21-10, 21-10.
Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut berjaya menyumbang mata untuk negara dengan menewaskan gandingan Arkar Phone Myat-Toe Hein Si Thu 21-5, 21-5.
Cheah Soon Kit selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara berpuas hati terhadap permainan yang ditonjolkan kedua-dua pasangan beregu semalam serta menganggapnya sebagai pemanas badan bagi perlawanan dengan Taiwan hari ini.
Menurutnya, keputusan supaya tidak menurunkan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menerusi pertarungan semalam adalah bagi membenarkan mereka berehat dan memberikan semula tumpuan bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
“Sebagai satu pasukan, semua pemain memainkan peranan penting untuk menyumbangkan mata buat pasukan dan itu merangkumi pemain beregu.
“Semalam, dapat dilihat kedua-dua beregu kita kurang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus memberikan mata mudah kepada lawan, jadi esok mereka perlu kekalkan semangat juang selain kekal fokus,” ujarnya sewaktu ditemui setelah permainan berakhir.
Sumber berita: Utusan Online