lama menyepi ini kisah terkini adam af

Kredit foto: Instagram Adam AF

Adam AF kelihatan semakin ceria dan berisi sejak kali kedua bergelar bujang. 

Kepada portal Harian Metro, Adam memberitahu bukan niatnya menjauhkan diri daripada sesiapa, sebaliknya enggan mengulas lanjut tentang hal rumah tangga kerana ia terlalu peribadi.

“Mana yang saya boleh jawab, saya jawab tetapi bagi saya masalah rumah tangga lebih baik kita simpan saja supaya tidak mengaibkan sesiapa. Selepas berpisah masing-masing boleh teruskan hidup sendiri tanpa rasa terbeban apa-apa.

“Sekarang semuanya sudah selesai dan saya gembira kerana bekas isteri (Fiza Elite) pun sudah bertemu jodoh baru. Saya doakan mereka bahagia dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Saya pula kembali berkarya, berniaga produk mandian, menguruskan pelaburan dan mengubati orang. Sayang jika saya tidak mempraktikan ilmu perubatan Islam yang saya pelajari dulu,” katanya.

Adam berkata, dia merawat pesakit di rumahnya sendiri bersama adik-beradik dan hanya menerima kunjungan tetamu melalui temu janji.

Maklumat lanjut tentang bagaimana penyanyi ini merawat pesakit boleh didapati di laman Instagram 'tabibsharif'.

Tambah Adam, dia bersyukur kerana kehidupannya berjalan dengan baik, malah berat badannya juga semakin berisi.

“Tengoklah, badan saya pun dah naik, ramai yang tegur. Tak tahulah bila saya dan berdiet balik, makan asyik berselera saja,” katanya sambil melepaskan ketawa.

Mengulas imej melilit kepala seperti orang berserban, Adam menjelaskan dia tidak terlibat dalam mana-mana fahaman, sebaliknya hanya memakai seperti gaya Rasulullah SAW melilit kepala dengan kain.

“Orang Melayu pakai songkok atau kopiah, orang Arab berserban. Salasilah keturunan keluarga saya juga dari Arab. Bukan selalu saya melilit kepala ini, tengok juga tempat dan acara saya nak pergi," katanya.

Mengenai soal jodoh, Adam akui hidupnya terasa sunyi. Malah kesepian itu lebih dirasakan kerana ibu kandungnya yang menjadi tempat mengadu sudah pergi.

“Namun, saya sentiasa bersyukur dan mengerti dalam kehidupan ini rasa derita dan bahagia silih berganti. Kalau ada jodoh nanti, pasti saya tidak menolak,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)