Kredit foto: Instagram Sanaa Jeljalane

Idris Khan memberitahu dia terpaksa menunda pernikahan dengan kekasihnya, Sanaa Jeljalane, 27, yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 20 Januari ini.

Aktor itu menjelaskan tindakan tersebut diambil atas permintaan kakak Sanaa yang baru bersalin pada Sabtu.

“Bakal kakak ipar saya ini sangat rapat dengan Sanaa. Kalau boleh pada majlis nikah kami dia mahu kakak dia ada. Disebabkan itu, dia minta majlis perkahwinan kami ditunda.

“Saya tiada masalah dan menghormati permintaan bakal isteri. Sebelum orang lain mula bertanya dan menimbulkan persoalan, lebih baik saya beritahu dahulu,” katanya kepada Harian Metro.

Kata pelakon drama Cik Serba Tahu itu, beliau belum menetapkan tarikh baru majlis kahwin mereka.

Sebelum ini, Idris, 30, ada mendedahkan dia bakal berkahwin pada hujung tahun lalu, namun menangguhkannya kerana urusan dokumentasi perkahwinan yang belum selesai.

Malah, awalnya Idris merancang untuk berkahwin di negara gadis Maghribi berkenaan.

Namun selepas mempertimbangkan beberapa perkara termasuk nasihat daripada keluarga, Idris menukar rancangan untuk bernikah di sini.

Sehingga kini sudah 70 peratus persiapan perkahwinan dilaksanakan membabitkan busana pengantin perempuan, dewan serta prosedur perkahwinan.

“Memandangkan keluarga Sanaa tidak besar, kami buat satu majlis saja. Tema pula menggabungkan dua budaya iaitu Melayu dan Maghribi,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)