Wanita kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan chef wanita Malaysia pertama yang menerima anugerah Michelin.
Kwen Liew merupakan salah seorang pemilik daripada 57 buah restoran yang diberikan anugerah bintang Michelin pertama dalam Panduan Michelin Perancis 2018.
BESARKAN TEKS A- A+
Beliau juga merupakan satu daripada hanya dua orang chef wanita yang layak menerima anugerah berprestij yang menonjolkan 621 restoran bertaraf Michelin pada tahun ini.
Restoran yang terletak tidak jauh dari Menara Eiffel yang dinamakan Pertinence kepunyaan Kwen Liew itu telah dianugerahkan satu bintang Michelin pada bulan Februari - tidak sampai setahun dari tarikh ia mula beroperasi.
Restoran yang dibuka bersama suaminya yang berasal dari Jepun, Ryunosuke Naito itu menyediakan makanan Perancis klasik yang dimasak menggunakan teknik Jepun yang luar daripada kebiasaan.
Michelin menggambarkan menu pasangan itu sebagai "kepakaran memilih dan menukarkan bahan mentah segar terbaik menjadi masakan Perancis yang sungguh enak."
Sememangnya sukar bagi mana-mana chef untuk mendapatkan bintang Michelin. Agence France-Presse melaporkan terdapat hanya kurang 5% chef wanita di seluruh dunia yang berjaya menerima anugerah tersebut. Walaupun kita sering dengar yang tugas seorang ibu dan isteri adalah banyak di dapur, namun bukan mudah bagi seorang wanita untuk berjaya dalam bidang kulinari yang didominasi oleh golongan lelaki.
Menurut Kwen Liew, kaum wanita sering perlu membuktikan yang mereka adalah dua kali ganda lebih hebat daripada orang lelaki supaya arahan dan pandangan mereka akan didengari.
Kwen Liew menyelesaikan masalah itu dengan berlagak seperti seorang lelaki apabila berada di dalam dapur. Ini disebabkan secara umumnya, pekerja dapur lelaki sukar menerima dan mendengar arahan daripada seorang perempuan.
Kwen Liew mendapat latihan kulinari di Sekolah Pastri Kebangsaan di Haute-Loire sebelum berhijrah ke Singapura dan Australia untuk mengumpul pengalaman. Semasa suaminya membuka Bistro Alexandre III pada tahun 2014, Kwen Liew menyertainya di sana dan memulakan pengembaraan mereka dalam bidang masakan.
Pasangan suami isteri ini teruja dengan penganugerahan itu namun tidak menyangka sama sekali kerana mereka baru sahaja beroperasi pada bulan Mac 2017. Restoran yang hanya mempunyai 14 tempat duduk itu hanya mempunyai seorang pelayan untuk mengambil dan menghantar pesanan.
Namun, situasi sekarang telah berubah. Menurut Le Parisien, sebelum restoran ini menerima anugerah bintang Michelin, mana-mana pelanggan boleh datang ke restoran mereka pada bila-bila masa sahaja. Kini, pelanggan perlu menunggu selama dua ke tiga minggu sebelum dapat menempah tempat duduk di sana.
Walaupun ia memberi sedikit tekanan dan sangat meletihkan, namun sudah pasti kejayaan ini menggembirakan hati mereka.