Oleh pada 04 Apr 2018 kategori

Baru-baru ini, dua orang juri rancangan masakan Masterchef UK telah menerima kecaman hebat akibat kesilapan dalam mengadili makanan yang disediakan oleh seorang peserta yang berasal dari Malaysia sehingga menyebabkan dia disingkirkan. Menurut salah seorang juri, Gregg Wallace, menu tradisi ayam rendang yang dihidangkan Zaleha Kadir Olpin adalah tidak rangup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Komen juri tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen. Rakyat Malaysia, Singapura dan Indonesia kesemuanya bersatu mempertahankan menu tradisional yang terkenal di rantau ini. Ia juga telah mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia sendiri dan Datuk Anifah Aman iaitu Menteri Luar Negeri.

Api menjadi semakin marak apabila seorang lagi juri, John Torode seolah-olah menyindir perbuatan netizen dari Malaysia melalui akaun Twitternya dan komen itu dibidas pedas oleh chef selebriti no.1 negara, Chef Wan.

Ini bukanlah pertama kali chef dari Barat telah menyebabkan kemarahan orang ramai kerana membuat hinaan terhadap makanan tradisi dari mana-mana negara. Kami kongsikan beberapa lagi kisah chef selebriti yang telah melakukan kesilapan besar dalam menyediakan makanan tradisi dari negara lain sehingga menimbulkan kontroversi:

1. Rachael Ray

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah rachael ray

Pada bulan Disember 2017, chef selebriti Rachael Ray telah menyediakan hidangan bertema yang terdiri daripada daun anggur dengan inti, hummus, pencicah terung, tabbouli dan roti pita. Namun, Rachael Ray telah menggelarkan tema hidangan itu "Malam Israel" dan telah menyebabkan netizen berang dengan dengan 'kebodohannya' yang menganggap makanan Arab dan Palestin itu adalah makanan Israel. (sumber)

2. Gordon Ramsay

Chef yang terkenal kerana sifat garangnya dan suka memaki-hamun di dapur ini pernah muncul dalam satu episod rancangan F-word di mana dia telah menyediakan menu Pad Thai untuk para sami sambil dibantu oleh chef dari restoran Blue Elephant. Chef Ramsay dengan bangga menyatakan itu adalah resipi yang selalu digunakan dan biasa dimasak di rumah. Namun, apabila chef dari Thailand itu merasa masakan Ramsay, dia membuat satu mimik muka secara tidak sengaja yang telah membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Setelah itu, beliau 'menyekolahkan' Ramsay dengan mengatakan hidangan itu bukanlah Pad Thai yang dimakan orang Thailand. Ramsay kemudian membela dirinya dan berkata dia merasakan hidangan itu sudah agak bagus. "Bagus untuk awak, tetapi bukan untuk saya," balas chef Thailand itu. Tonton sendiri gelagat mereka:

Selain itu, Gordon juga pernah dikecam hebat oleh netizen kerana menghina makanan tradisi India sebagai 'makanan penjara'.

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah gordon ramsay

3. Jamie Oliver

Seorang lagi chef selebriti dari UK telah menyebabkan kemarahan orang Sepanyol kerana merosakkan hidangan tradisi mereka iaitu paella. Hidangan tradisional masyarakat Sepanyol itu kebiasaannya menggunakan makanan laut seperti udang, kerang-kerangan dan sebagainya namun Jamie Oliver dengan 'kreatif' telah menggantikannya dengan ayam dan sosej chorizo yang dibuat menggunakan daging khinzir.

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah jamie oliver

Rakyat Sepanyol amat mengambil serius dengan resipi asli mereka dan rasa terhina dengan perbuatan Jamie yang seolah-olah telah merosakkan budaya mereka. Sebelum itu, pada tahun 2014 Jamie juga pernah menyebabkan orang Afrika Barat berang dengan resipi nasi Jollof mereka. (sumber)

4. Nigella Lawson

Pada tahun 2015, Nigella telah menimbulkan kekecohan apabila menyediakan menu salad Caesar yang luar daripada kebiasaan. Chef yang telah mendapat jolokan "Domestic Goddess" itu menyebabkan netizen berang apabila dia telah mengubah resipi salad Caesar secara drastik hingga hilang identiti salad itu sendiri.

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah nigella lawson caesar salad

Salad Caesar kebiasaannya dibuat dengan daun salad segar, krouton, ayam dan sos salad putih. Namun, versi Nigella terdiri daripada daun salad yang dibakar dengan ikan bilis dan bawang putih. Salad itu kemudian dihidangkan dengan telur mata dan sekeping roti bakar. 

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah nigella lawson

Nigella tidak serik membuat resipi versinya tersendiri apabila sekali lagi menyebabkan netizen mengamuk pada tahun 2017. Kali ini, dia telah membangkitkan kemarahan warga Itali kerana mencampurkan krim ke dalam hidangan pasta karbonara yang sepatutnya hanya menggunakan telur mengikut resipi asli. (Sumber 1, 2)

5. Marco Pierre White

Dalam satu iklan oleh jenama Knorr, chef terkenal ini telah menyediakan satu hidangan terkenal dari Jamaica yang terdiri daripada nasi, ayam dan kacang pis. Chef Marco mengatakan dia selalu juga memasak menu itu dan setiap kali ke Jamaica, warga tempatan akan menghidangkan makanan itu kepadanya. Apa yang membingungkan, tidak ada seorangpun warga Jamaica yang mengenali atau pernah merasa hidangan tersebut yang dimasak tanpa sebarang rempah - hanya masukkan kiub pati ayam Knorr sahaja.

chef selebriti yang menyebabkan netizen marah marco pierre white

Selepas beberapa hari iklan itu ditayangkan, satu petisyen telah dibuat dan berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya 500 tanda tangan daripada orang ramai dan meminta agar pihak Knorr membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kesilapan itu. Iklan itu telahpun dihentikan tayangan dan dipadamkan serta-merta oleh pihak Knorr. (sumber)

Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang chef selebriti. Selain mempelajari resipi, mereka juga perlu kenal tradisi dan asal-usul sesuatu makanan. Tersilap masak, buruk padahnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)