Kacang tonka adalah sejenis bahan perisa mewah yang akan meningkatkan rasa sesuatu makanan dan sering dicari-cari oleh para chef terkemuka dunia. Ia juga mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat meluas dalam dunia minyak wangi.

Kacang tonka adalah sejenis kekacang mirip kismis yang mempunyai permukaan berkedut dan berasal dari Amerika Selatan. Rasa dan aroma unggul kacang ini digambarkan mempunyai bau vanila, ceri, badam, kayu manis, bunga cengkih dan mungkin juga mengandungi sedikit serbuk ajaib dari alam fantasi. Aromanya terlalu kuat sehinggakan sedikit sahaja parutan daripada sebiji kacang sudah cukup untuk digunakan bagi hidangan sebanyak 80 pinggan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sedikit sahaja parutan kacang tonka boleh dihidangkan kepada berpuluh pinggan

Ramuan paling sedap di dunia

Laporan BBC pernah menggambarkan kacang tonka sebagai "bahan paling sedap yang anda tidak pernah dengari."

Walau bagaimanapun, warga Amerika Syarikat agak kurang bernasib baik. Pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) telah mengharamkan sejenis bahan kimia yang boleh dijumpai dalam kacang tonka sejak tahun 1954 lagi. Mana-mana makanan yang mengandungi coumarin (kumarin) atau ekstrak tonka dianggap "tidak tulen" oleh FDA.

kacang tonka banyak digunakan dalam pencuci mulut

Walaupun diharamkan di Amerika Syarikat, anda masih boleh menikmati keenakan kacang tonka di restoran-restoran mewah di seluruh negara itu. Bahkan, negara itu juga adalah pengimport terbesar kacang tonka di dunia. Bunyinya pelik, tetapi itulah hakikatnya. Kacang tonka adalah terlalu enak sehingga chef-chef terhebat di AS sanggup menyeludup masuk kacang ke dalam negara.

Chef Grant Achatz yang memiliki restoran bertaraf dunia "Alinea" di Chicago memberitahu Atlantic bahawa pembekal kacang tonkanya pernah memberikan amaran yang pihak FDA mungkin akan membuat serbuan tidak lama lagi. Dua hari selepas itu, mereka benar-benar tiba dan terus meminta kebenaran untuk melihat kabinet rempah-ratus.

Ini bermakna pihak FDA memang tidak mengambil remeh dan sangat mengambil serius berkaitan pengharaman kacang tonka.

kacang tonka diharamkan kerana berbahaya

Benarkah dakwaan FDA?

Pihak FDA mendakwa kacang tonka mengandungi kumarin yang amat bertoksik. Namun, menurut Ketua Chef Pastri dari restoran bertaraf Michelin "Le Benardin" di New York, selagi ia tidak digunakan dalam jumlah yang banyak, ia adalah sangat sedap. Jumlah penggunaan ramuan ini dengan banyak boleh membawa maut.

Seperti juga makanan atau bahan-bahan semula jadi yang lain, pengambilan apa sahaja secara berlebih-lebihan akan mendatangkan keburukan dan boleh mengundang malapetaka. Jadi, berapa banyakkah kandungan kumarin yang mula dianggap 'banyak'?

Banyak kajian makmal telah membuktikan yang sedikit sahaja kandungan bahan kimia ini menyebabkan kerosakan hati bagi anjing dan tikus makmal dalam masa beberapa minggu sahaja.

kacang tonka pencuci mulut

Banyak pihak memberikan hujah bahawa kumarin juga terdapat dalam kulit kayu manis biasa (cassia) yang banyak berada dalam dapur rumah. Selain itu, ia juga berada dalam tembakau, rokok, rokok elektronik (vape), kosmetik, deodoran, sabun tangan, gel mandian dan serbuk pencuci. Ada juga pihak yang mendesak supaya membenarkan penggunaannya kerana belum terdapat lagi kes kematian disebabkan kumarin daripada kacang tonka.

Walaupun tiada kematian dilaporkan, ini tidak bermakna yang ramuan atau kandungan bahan kimia itu tidak berbahaya. Mungkin agak sukar sebenarnya untuk menunjukkan betapa bahayanya kumarin. Menurut Atlantic, mungkin juga kacang tonka telah menjadi mangsa pengharaman oleh FDA kerana tersalah anggap kumarin dengan sejenis ubat pencair darah berjenama "Coumadin" yang mempunyai bunyi seakan-akan sama.

Menurut pihak berkuasa Keselamatan Makanan Eropah, hanya 0.1 miligram kumarin bagi setiap kilogram berat badan boleh dihadam sepanjang hayat tanpa mendedahkan si pemakan kepada sebarang risiko. Had yang digelar "ultrakonservatif" ini tidak mendatangkan bahaya, memandangkan sebiji kecil sahaja kacang tonka sudah lebih memadai untuk berada dalam berpuluh-puluh pinggan pencuci mulut.

Bagaimanalah agaknya rasa yang digambarkan sebagai "paling sedap" ini?

Sumber:

1. The Atlantic

2. FDA

3. Food Network

4. BBC

5. ASPET Journals

6. BFR Health Assessment




Hakcipta iluminasi.com (2017)