Tanggal 16 Januari 2021, negara kita kehilangan Tun Mohamed Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara yang namanya sangat sinonim dengan satu insiden besar melibatkan undang-undang negara kita.

Tun Salleh anak kelahiran Besut, Terengganu yang lahir pada tahun 1929 telah merantau jauh sehingga ke Wales, sebelum kembali menabur bakti di tanahair sebagai seorang pengamal undang-undang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beliau mengalami asam garam dalam bidang yang diceburi sebelum naik menggantikan Raja Azlan Shah sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1984; walaupun Tun Salleh sendiri sudah menyuarakan hasrat untuk bersara ketika itu.

Namun menerima tanggungjawab tersebut selepas Raja Azlan Shah perlu mewarisi takhta kerajaan Perak disebabkan kemangkatan ayahandanya.

Di bawah pentadbiran beliau, sistem undang-undang negara kita telah berdepan dengan cabaran paling besar pernah dihadapi; dicabar oleh Perdana Menteri sendiri, yang akhirnya membawa kepada perubahan yang kesannya dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Punca utama krisis bermula

mahathir bersama ghaffar baba

Krisis yang mengubah negara ini dipercayai bermula ekoran perhimpunan agung parti UMNO tahun 1987, selepas wujud gerakan kuat oleh beberapa nama besar bagi mencabar pimpinan parti ketika itu yang ketika itu diketuai Perdana Menteri ke 4, Dr. Mahathir Mohamad.

Gerakan diketuai Tengku Razaleigh Hamzah dengan sokongan Tun Musa Hitam bagaimanapun gagal menggugat kedudukan Dr. Mahathir serta timbalan beliau ketika itu, Tun Ghafar Baba. Mereka tewas hasil kiraan undi perwakilan UMNO yang tidak memihak mereka.

Namun gabungan yang dikenali dengan nama 'UMNO 11' ini bertindak mencabar keputusan ekoran dakwaan wujud undian yang daripada cawangan tidak berdaftar, menjadikan keputusan yang dikira tidak sah. Jumlah undian tidak sah ini didakwa besar jumlahnya.

Saman di mahkamah tinggi pada 26 Jun 1987 bagi mengisytiharkan pemilihan Majlis Tertinggi parti UMNO sebagai tidak sah dikemukakan gerakan tersebut.

Disebabkan kegagalan UMNO untuk memenuhi syarat pertubuhan persatuan yang sudah menetapkan keperluan lantikan Majlis Tertinggi, secara seiring kedudukan Perdana Menteri pada ketika itu juga goyah - kerana jawatan Perdana Menteri biasanya disandang Presiden sesebuah parti berdasarkan tradisi lama dalam UMNO.

Mahkamah diberikan tanggungjawab menyelesaikan krisis politik

ku li dan mahathir sengkete

Usaha untuk mencapai solusi antara dua kem dalam UMNO tidak berhasil, dengan pasukan yang mengemukakan saman bertegas dengan kehendak mereka agar pemilihan diadakan semula sebagai solusi utama.

Di pihak Dr. Mahathir pula, mereka menawarkan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan peluang untuk terus kekal dalam parti, walaupun kumpulan ini sudah memulakan konfrontasi terbuka terhadap pimpinan tertinggi UMNO yang melanggar perlembagaan parti.

Atas ketiadaan jalan keluar, mahkamah diberikan kuasa penuh bagi menentukan apa yang akan berlaku kepada UMNO ketika itu. Itu satu perkara yang kurang disenangi Perdana Menteri.

Cubaan pihak kerajaan pusat untuk menggantikan Hakim yang mengendalikan perbicaraan saman UMNO 11 gagal. Mahkamah tinggi akhirnya mengisytiharkan keputusan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah serta telah melanggar syarat-syarat pertubuhan persatuan.

UMNO dikategorikan sebagai sebuah parti tidak sah penubuhannya ekoran pengumuman itu.

Secara serta merta  kedudukan Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu goyah, memerlukan beliau dan penyokongnya berusaha keras meyakinkan orang ramai bahawa kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri masih sah dari segi undang-undang.

Pertelagahan antara Dr. Mahathir Mohamad dengan pihak mahkamah mula mencapai suhu mendidih.

Konflik kerajaan dan mahkamah bermula

krisis perlembagaan negara 1988

Dalam masa yang sama, selain daripada perbicaraan saman UMNO 11 di mahkamah - satu lagi krisis sebenarnya berjalan di antara kerajaan pusat dan mahkamah yang mengeruhkan lagi hubungan keduanya.

Pada 27 September 1986, kerajaan Malaysia menerusi Menteri Dalam Negeri (ketika itu juga Dr. Mahathir Mohamad) menggantung permit dua orang wartawan Wall Street Journal daripada betugas di Malaysia. 

Kedua-duanya didakwa bertanggungjawab menerbitkan artikel yang boleh menggugat keselamatan negara.

Dua wartawan asing itu, John Peter Bethelsen dan Raphael Pura yang diwakili oleh peguam mereka, Muhammad Shafee Abdullah (kini Tan Sri) berjaya mencabar keputusan larangan itu lalu mengheret kerajaan pusat ke mahkamah tinggi.

Dalam penghakiman yang dibacakan sendiri oleh Tun Salleh Abas, beliau mengisytiharkan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan pusat menerusi Kementerian Dalam Negeri adalah tidak bertepatan dengan prinsip undang-undang.

Tun Salleh Abas juga mengumumkan tidak ada sebab kenapa mereka tidak dibolehkan menyambung tugas mereka sehingga tamat permit yang dibenarkan kerana bagi beliau, tiada keperluan untuk kerajaan menamatkan permit kedua-duanya lebih awal berbanding tempoh tamat sebenar.

Kes melibatkan penswastaan UEM oleh kerajaan pusat yang didebatkan dalam sidang parlimen ekoran dakwaan bakal mengakibatkan wujudnya elemen kronisme, telah mengakibatkan usaha kerajaan ketika itu dihalang oleh pihak mahkamah pada 25 Ogos 1987 selepas mahkamah menghalang tindakan tersebut diteruskan.

Tiga keputusan yang dibuat di mahkamah ketika itu dilihat tidak menyebelahi wakil kerajaan pusat/parti UMNO, dipercayai menjadi punca utama apa yang akan diceritakan selepas ini.

Kerajaan pusat mula menstruktur semula mahkamah

senarai hakim yang dipecat

Sebagai tindak balas ke atas semua keputusan mahkamah, kerajaan pusat melakukan pindaan ke atas perlembagaan Malaysia yang dikenali sebagai Akta Pindaan Perlembagaan 1988.

Pindaan itu dilakukan di bawah Perkara 121 berupaya menyekat kuasa badan kehakiman serta akan mengintrepretasikan semula kedudukan mahkamah dalam sistem pentadbiran negara kita.

Menurut kerajaan, tindakan itu wajar bagi menghalang para hakim melakukan keputusan berdasarkan kepada pandangan sendiri. Pindaan itu mula dibacakan di Parlimen pada 17 Mac 1988.

Dalam masa yang sama wujud gerakan terancang di pihak kerajaan dan parti UMNO yang berpihak kepada Dr. Mahathir Mohamad menyerang dan memburukkan barisan hakim di mahkamah secara terbuka melalui sebaran media.

Atas tekanan ini, Tun Salleh Abas dan 20 orang hakim mahkamah tinggi bersidang, mencapai kata sepakat menulis sepucuk surat kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi memohon agar campur tangan kerajaan dalam badan kehakiman dapat dihentikan.

Dalam surat itu, Tun Salleh Abas secara terbuka menyatakan rasa kecewa terhadap kerajaan pusat khasnya Dr. Mahathir Mohamad, atas semua dakwaan tidak berasas yang telah dikeluarkan bagi memburukkan imej badan kehakiman.

Tindakan itu bagaimanapun diketahui oleh kerajaan, diambil kira sebagai satu tindakan yang terancang untuk memburukkan imej kerajaan.

Surat tulisan Tun Salleh Abas itu sendiri akhirnya menjadi hujah utama kerajaan pusat, bagi menampakkan wujudnya keperluan rombakan besar-besaran sistem kehakiman perlu dilakukan.

Tun Salleh Abas dipecat

tun salleh abas bekas ketua hakim dipecat

Dr. Mahathir Mohammad pantas menggerakkan langkah percaturannya.

Pada 25 Mei 1988, beliau mengutuskan surat kepada Yang Di-Pertuan Agong memohon agar Tun Salleh Abas digantikan atas faktor kesihatan serta diyakini telah hilang keupayaan untuk membuat keputusan dengan baik.

Liciknya taktik kerajaan pusat ketika ini, mereka menggunakan hujah yang dikarang dalam surat karangan panel hakim itu sendiri yang telah selamat dihantar kepada Yang Di-Pertuan Agong sebelum itu.

Dalam surat tersebut - panel 20 orang hakim itu sebulat suara bersetuju bahawa krisis yang berlaku antara mereka dengan kerajaan pusat telah menyebabkan ada antara mereka  berasa malu atas tuduhan tidak berasas, sehingga merasa terganggu ketika menjalankan tugas.

Itulah hujah utama yang digunakan kerajaan ketika itu bagi menzahirkan ketidak mampuan barisan hakim, untuk perlu digantikan muka baru.

Tanggal 27 Mei 1988, Tun Salleh Abas diminta bertemu bermesyuarat dengan Dr. Mahathir Mohamad. Beliau diarahkan untuk meletak jawatan. Tun Salleh enggan menerima arahan tersebut dan membawa kes pemecatan itu ke mahkamah.

Selepas proses tribunal dijalankan sebanyak 2 kali melibatkan banyak proses pertukaran serta pertelagahan yang wujud di antara dua pihak, akhirnya Tun Salleh Abas diumumkan perlu meletakkan jawatan bersama beberapa orang hakim lain yang turut sama terlibat dalam 'konspirasi' yang didakwa bukti wujudnya usaha badan kehakiman memburukkan imej kerajaan.

Hadiah buat UMNO Baru

potret tun mahathir di bangunan umno

Masih ingat bagaimana semua masalah ini dikatakan berpunca daripada keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Dr. Mahathir dan parti UMNO yang dipimpinnya?

Selepas kejayaan menyingkirkan beberapa orang hakim yang dirasakan tidak memihak kepada beliau serta berjaya mengurangkan kuasa mahkamah dalam beberapa skop tertentu, kerajaan pusat mula melakukan perubahan ke atas Akta Pertubuhan 1966.

Beberapa pindaan ke atas akta tersebut dibuat bagi membolehkan proses pertukaran UMNO lama ke pertubuhan UMNO yang baru berjalan lancar.

Salah satu pindaan paling penting adalah kuasa untuk memindahkan harta pertubuhan kini jatuh dalam tangan Pemegang Amanah Harta, membolehkan mana-mana pertubuhan yang baru saja ditubuhkan dan mirip dengan pertubuhan lama yang telah diisytihar tidak sah, layak menerima semua aset pertubuhan lama menerusi proses perpindahan.

Dengan syarat komposisi ahli parti baru mempunyai lebih separuh ahli lama dan parti baru itu, yakni UMNO baru perlu mempunyai perlembagaan parti yang serupa.

Bagi mengelakkan masalah di antara parti politik dan mahkamah berulang, pindaan kuasa mahkamah ke atas parti politik diperhalusi lagi bagi mengurangkannya.

Menerusi pindaan akta, mahkamah tidak lagi dibenarkan campur tangan dalam urusan parti politik khasnya apabila melibatkan urusan pemilihan kepimpinan. Pertubuhan seharusnya diberikan kuasa penuh untuk menyelesaikan semua isu, secara dalaman tanpa campur tangan pihak luar.

Dengan pindaan ini, semua urusan melibatkan parti politik boleh dikatakan bebas berjalan tanpa boleh sebarang tindakan mahkamah dikenakan.

Selepas pemecatan Tun Salleh Abas, wujud gerakan di kalangan ahli Majlis Raja-Raja sendiri untuk cuba mengembalikan beliau sebagai ketua hakim negara, namun usaha itu tidak berhasil.

Terbuang dari badan kehakiman, Tun Salleh Abas menyertai politik melalui tiket parti Semangat 46, bertanding di Lembah Pantai dalam pilihanraya tahun 1995 namun tewas.

Beliau kembali bertanding atas tiket PAS pada tahun 1999 memenangi kerusi DUN Jertih seterusnya dilantik menjadi EXCO kerajaan negeri Terengganu.


Pada 16 Januari 2021, Tun Salleh Abas meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.

Legasi beliau berani bangkit mempertahankan badan kehakiman daripada campur tangan badan eksekutif walaupun harus diakui gagal, akan terus diingati sebagai salah satu titik hitam sejarah negara kita.

Sehingga kini banyak pihak khasnya pengamal undang-undang mengaku perubahan yang telah dilakukan hasil krisis ini mempunyai banyak kesilapan khasnya dari segi perancangan, kerana semuanya hanya dilakukan untuk membolehkan sesetengah pihak terus mengekalkan kuasa ketika genting berhadapan cabaran.

Rujukan

Isu dan krisis Perlembagaan Persekutuan 1988 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)