5 negara paling ramai pemegang ijazah

Pendidikan merupakan salah satu elemen paling utama yang sangat dititikberatkan, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang kompetetif.

Ini kerana dari awal sejarah tamadun manusia direkodkan, sudah jelas wujud hubungan ketara di antara kemampuan pendidikan sesebuah masyarakat dengan impak atau sumbangannya kepada dunia. 

Kini pendidikan sudah menjadi sebuah sistem ukuran tahap sosial kemasyarakatan dan industri besar - yang adakalanya dikritik terlalu bermotifkan keuntungan; setiap tahun melahirkan ramai graduan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja yang ada.

Kelulusan ijazah sarjana muda kini menjadi de facto standard tahap pencapaian seseorang dalam pendidikan; persoalannya - negara Asia Tenggara manakah paling ramai pemegang kelulusan ini dan benarkah nisbah yang tinggi turut sama mencerminkan kemampuan ekonomi?

Negara paling ramai 'degree holder' di dunia

university degrees kanada tertinggi

Tahukah anda berapakah peratusan pemegang kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda di negara kita? 

Di seluruh dunia, dianggarkan ada kira-kira 6.5 ke 6.7% individu memegang taraf pendidikan tersebut di kalangan individu berusia 25 ke 65 tahun, mempunyai status pendidikan tertiari melebihi 4 tahun.

Kanada mendahului negara-negara lain dengan anggaran 56.27% penduduk mereka mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Di kalangan negara Asia pula, Jepun mendahului dengan 50.5%, menempatkan penduduk mereka dalam kelompok antara paling tinggi tahap pendidikan.

Korea Selatan duduk ditempat kedua dalam senarai negara Asia dengan 46.86% penduduk mereka bergelar pemegang ijazah sarjana muda.

Kebanyakan negara maju mempunyai anggaran penduduk dengan kelulusan tahap tersebut yang agak tinggi, melebihi 40% dengan beberapa negara lain seperti Luxembourg, Amerika Syarikat, Finland, Norway dan Australia turut berada dalam kelompok serupa.

Di Mana Malaysia?

pelajar usia emas ijazah

Tak dapat dinafikan sistem pendidikan negara kita berjaya dalam memastikan status pendidikan di kalangan orang ramai, mempunyai peratusan yang agak tinggi di kalangan kenaikan pelajar dari peringkat rendah ke peringkat menengah pada kadar 87.19%.

Namun jika dibandingkan dengan negara seperti Finland dan Korea Selatan yang mempunyai kadar 99.6% dalam statistik sama, kita masih ketinggalan seterusnya merendahkan peluang untuk kita meningkatkan jumlah individu pemegang sarjana muda.

Di kalangan rakyat kita, hanya 16.4% individu mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda, lebih tinggi berbanding purata dunia iaitu 6.5%-6.7% namun jauh lebih rendah berbanding sasaran 40% yang seringkali berjaya dicapai majoriti negara maju.

Jika statistik ini dikategorikan mengikut jantina pula, 12.31% warga wanita di negara kita mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan ijazah sarjana muda sementara 10.35% warga lelaki memiliki tahap pendidikan sama. 

Apa yang agak menggusarkan, sebanyak 8.8% warganegara kita berusia 25 tahun ke atas langsung tidak mempunyai sebarang bentuk pendidikan walaupun pendidikan peringkat rendah. Kami yakin sekiranya kelemahan ini dapat diatasi, peratusan pemegang ijazah sarjana muda di negara kita boleh diperbaiki.

Buat masa sekarang, kita masih jauh terkebelakang berbanding negara maju lain.

Bagaimana dengan negara-negara Asia Tenggara pula?

statistik graduan ijazah dunia

Sengaja kami tidak menyentuh berkenaan jiran terdekat kita iaitu Singapura setakat ini. Singapura sebenarnya juga jauh meninggalkan kita dalam aspek pendidikan khasnya melibatkan status pencapaian pendidikan. 

73.52% penduduk mereka berjaya menghabiskan sekurang-kurangnya pendidikan menengah berbanding kita yang berada pada paras 58.07%, menyumbang kepada penyertaan jumlah individu ke dalam pendidikan tertiari yang lebih besar peratusannya.

Lebih 46.7% penduduk Singapura memiliki pendidikan tertiari sekurang-kurangnya sijil atau diploma dan daripada jumlah ini, 31.6% warga Singapura merupakan pemegang kelulusan sarjana muda yang telah mengikuti kursus selama 4 tahun.

Apa pula cerita jiran-jiran terdekat kita?

Dengan menjadikan sasaran 40% sebagai penanda aras, kebanyakan negara Asia Tenggara masih belum mencapai tahap ini.

Indonesia merupakan negara paling rendah di kalangan negara-negara ASEAN dengan 9%, dipercayai disebabkan masalah ketiadaan insentif untuk mereka menyambung pengajian dek ketiadaan peluang pekerjaan yang sesuai.

NEGARAPERATUSAN PEMEGANG IJAZAH SARJANA MUDA
Singapura31.6%
Malaysia 16.4%
Filipina 16.02%
Thailand 14.81%
Brunei11.11%
Indonesia 9%

Thailand berada pada tahap 14.81%, Filipina 16.02% dan Brunei 11.11%. Jika ditukar data ini dalam bentuk jadual, kita akan dapat melihat kaitan ketara antara status taraf pendidikan dan pembangunan ekonomi.  

Apa yang sangat jelas, Singapura jauh ke depan meninggalkan negara Asia Tenggara lain.

Pendidikan sebagai faktor utama penambaik masyarakat

majlis konvokesyen graduan ijazah

Banyak pihak mengkritik sistem pendidikan yang didakwa sudah menjadi satu bentuk perniagaan bermotifkan keuntungan.

Ini ada benarnya dengan lambakan insititusi pengajian tinggi yang pernah tumbuh bak cendawan di negara kita, sehingga ada insitusi mengabaikan kualiti graduan yang dilatih.

Namun dalam satu perspektif lain - untuk melahirkan graduan perlulah wujud pembukaan pusat latihan yang mencukupi.

Kita tidak mahu berlakunya masalah keciciran di kalangan pelajar yang tamat pengajian menengah, gagal menyambung pengajian ke tahap tertiari hanya disebabkan masalah tiada tempat untuk mereka.

Dalam masa yang sama kita juga tidak mahu graduan 'separa masak' dihasilkan oleh institusi yang bermotifkan wang ringgit, meluluskan saja graduan kerana insititusi tidak mahu menanggung kos graduan mengulang subjek yang sepatutnya gagal.

Apa yang cuba dibentangkan di sini bukanlah solusi kepada masalah ini, tetapi kami cuba menunjukkan terdapatnya hubungkait besar di antara peratusan pemegang ijazah sarjana muda dengan taraf ekonomi sesebuah negara itu.

Untuk sebilangan individu yang sering memperlekehkan sistem pendidikan kita dengan bermacam kritikan, anda perlu sedar telah terbukti semakin tinggi tahap pendidikan sesebuah negara - akan semakin baik dan berkembanglah masyarakat di dalamnya.

Kita sendiri sebagai sebuah masyarakat agak ketinggalan, jadi mengapakah kita sering merasakan kita sepatutnya layak diangkat lebih tinggi - sedangkan kita memang sudah duduk di mana kita sepatutnya ada.

Hanya anda yang mampu mengubahnya.

Rujukan 

MOE Educational Statistics (PDF)

World Bank Statistics



Hakcipta iluminasi.com (2017)