Mungkin generasi hari ini ramai yang tidak mengenali nama ini, namun bagi peminat bola sepak tegar, Hakan Sukur pernah menjadi antara salah seorang pemain yang diingati.

Yang paling segar bermain di minda sudah tentulah jaringan beliau yang ditabalkan sebagai jaringan paling pantas dalam sejarah Piala Dunia. 

Dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada Piala Dunia 2002 itu, Hakan Sukur menghukum kesilapan pemain pertahanan lawan dengan menyumbat masuk gol seawal 11 saat selepas tiupan wisel.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga ke hari ini, rekod tersebut masih belum dipecahkan dan Hakan dianggap sebagai wira bola sepak Turki.

Namun, Hakan yang sepatutnya menikmati persaraan yang sangat selesa sebagai legenda sepak seperti bintang-bintang ternama lain bertukar menjadi tragedi. 

Terbaru, Hakan memberitahu akhbar Jerman Welt am Sonntag dalam sebuah wawancara bahawa beliau kini bekerja sebagai pemandu Uber untuk meneruskan hidup.

Bekas penyerang Turki ini menjaringkan 51 gol dalam 112 penampilan negara, menjadikannya penjaring gol terbanyak bagi negara tersebut.

Malah, di antara tahun 1987 dan 2008, Hakan bermain untuk beberapa pasukan ternama seperti Galatasaray, Parma, Blackburn Rovers dan juga Inter Milan.

Selepas bersara dari dunia bola sepak pada tahun 2008 di usia 36 tahun, Hakan bekerja sebagai pakar bola sepak sebelum masuk ke arena politik.

hakan sukur dan recep tayyip erdo an

(Recep Tayyip Erdoğan dan Hakan Sukur)

Pada tahun 2011, beliau memenangi kerusi di parlimen Turki sebagai ahli Parti Keadilan dan Pembangunan kanan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan juga pernah menghadiri majlis perkahwinan Hakan dengan isteri pertamanya, Esra Elbirlik, yang terbunuh dalam tragedi gempa bumi di İzmit pada tahun 1999.

Dua tahun selepas bergelar ahli parlimen, Hakan keluar daripada parti tersebut disebabkan berlakunya konflik pendapat. 

Bintang bola sepak Turki ini juga dikaitkan dengan cendekiawan Islam Turki, Fethullah Gülen, yang menentang Erdogan, dengan presiden Turki ini mula mencari mereka yang mengikuti Fethullah.

Ini membawa kepada pengunduran Hakan dari parlimen dan kemudiannya beliau berhadapan dengan masalah-masalah dengan pentadbiran berkaitan dengan perniagaannya di Turki.

fethullah g len

(Fethullah Gülen didakwa cuba menggulingkan kerajaan Erdogan pada tahun 2016)

Selepas keluar dari parti Erdogan, Hakan mendakwa bahawa beliau mula menerima ugutan. Beliau juga memberitahu bahawa kedai milik isterinya diserang dan anak-anaknya diganggu.

Dan pada tahun 2015, Hakan memutuskan untuk berhijrah ke Palo Alto, California dan berakhir dengan membuka sebuah kafe di kawasan setempat.

Akan tetapi, kehidupan baharu Hakan bersama isteri dan tiga anaknya di Amerika Syarikat bertukar menjadi huru-hara pada tahun 2016, apabila satu cubaan menggulingkan kerajaan Erdogan disyaki telah dirancang oleh Fethullah.

Oleh kerana beliau dikaitkan dengan Fethullah, satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Hakan dn beliau dilaporkan oleh media Turki yang dikendalikan kerajaan sebagai menikmati "kehidupan mewah" sebagai "ahli Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO) yang diburu". 

Bapa Hakan, Sermet, yang pada ketika itu masih tinggal di Turki didakwa telah ditangkap dan dipenjarakan hampir setahun.

hakan sukur

Agensi Anadolu melaporkan bahawa Hakan tinggal dalam mahligai bernilai RM12 juta di "kawasan paling kaya di San Francisco Bay Area" dan beliau memberitahu bahawa orang yang "aneh" mula mengunjungi kafe milik beliau. 

Hakan juga mendakwa bahawa kerajaan Erdogan telah merampas semua rumah, perniagaan dan akaun bank beliau di Turki.

Kini, perniagaan kafe beliau di AS menemui kegagalan dan hidup Hakan menjadi bertambah sukar.

Dari segi standard di AS, hidup beliau di katakan berada di ambang kemiskinan. Hakan kini bekerja sebagai pemandu Uber dan jika mempunyai kelapangan, beliau menggunakan peluang tersebut untuk menjual buku di tepi jalan.

Walaupun begitu, ramai yang masih mengenali siapa Hakan Sukur. Beliau menceritakan pengalamannya sebagai pemandu Uber dalam satu wawancara di mana seorang penumpang memasuki keretanya dan berkata, "Saya kenal kamu dan saya sukakan kamu sebagai pemain bola sepak. Tetapi saya perlu keluar sekarang, maafkan saya, saya tak mahu ada kena mengena dengan kamu,".

hakan sukur sedang memandu uber

hasan sukur pemain bola profesional pemandu uber

Dalam satu temubual, Hakan menceritakan tentang cerita yang berlaku sebelum cubaan rampasan kuasa di Turki. Ketika itu, seorang warga Turki yang merupakan seorang pelajar di Amerika Syarikat mengambil gambar bersama Hakan.

Apabila pelajar tersebut pulang ke Turki, pihak berkuasa menemui gambar tersebut dalam telefonnya, membawa kepada penahanan pelajar tersebut yang kemudiannya dipenjarakan 14 bulan.

Hakan memberitahu bahawa kerajaan Turki melakukan perkara tersebut dengan sengaja. Beliau mendakwa bukan sahaja dirinya dibuang negara, tetapi juga pihak berkuasa mahu dirinya "dipadam" seolah-olah tidak wujud.

Rujukan:

1. CNBC

2. Give Me Sport

3. Football Talk




Hakcipta iluminasi.com (2017)