Seorang pakar ginekologi (sakit puan) Malaysia telah memperkenalkan kondom ciptaannya yang dinamakan sebagai Wondaleaf Unisex Condom. Kondom ciptaannya adalah yang pertama di dunia di mana ia boleh dipakai oleh kedua-dua jantina sama ada lelaki mahupun wanita.

Penciptanya, Dr. John Tang Ing Ching berharap agar ciptaannya itu dapat membantu merevolusikan kesihatan seksual selain menyediakan pilihan yang lebih fleksibel kepada pengguna.

Kondom dwi-jantina

Wondaleaf Unisex Condom itu diperbuat menggunakan filem lutsinar gred perubatan yang biasanya digunakan sebagai pembalut untuk kecederaan atau luka.

Dr. Tang yang berasal daripada Sarawak dan mendapat pendidikan di Australia dan United Kingdom ini memilih bahan poliuretana untuk menghasilkan Wondaleaf Unisex Condom kerana ia nipis dan fleksibel tetapi pada masa yang sama ia tahan serta kalis air. 

wondaleaf unisex condom

Kondom itu boleh digunakan dengan cara membaluti zakar atau diletakkan di dalam faraj. Filem lutsinar yang mempunyai bahan pelekat itu akan melekat pada kawasan kemaluan.

Bahan pelekat terdapat pada satu bahagian kondom sahaja dan pengguna boleh memilih untuk melekatkannya pada bahagian kemaluan lelaki atau wanita dengan hanya menterbalikkannya sahaja.

Lebih perlindungan berbanding kondom biasa

Menurut Dr. Tang lagi, fungsi Wondaleaf Unisex Condom adalah tidak jauh berbeza dengan kondom konvensional di mana ia menghalang pertukaran cecair badan dan sentuhan kulit secara langsung semasa hubungan seks supaya dapat mengurangkan risiko kehamilan dan jangkitan penyakit kelamin.

"Ia pada asasnya adalah kondom biasa dengan penutup berpelekat," ujar pengasas firma bekalan perubatan Twin Catalyst itu ketika ditemuramah Reuters.

Cuma, Wondaleaf Unisex Condom ini boleh digunakan oleh kedua-dua jantina dan saiznya yang besar boleh memberikan perlindungan tambahan pada kawasan sekeliling kemaluan.

Penghasilan Wondaleaf Unisex Condom

Selain nipis dan tahan, penggunaan bahan poliuretana juga bermakna ia selamat untuk mereka yang mempunyai alahan getah (latex). Malah, ia tiada bau atau rasa getah seperti kondom biasa.

Dr. Tang dan pasukannya cuba sedaya upaya untuk menghasilkan bahan itu senipis yang mungkin iaitu hanya setebal 0.03mm. Ini bagi mengelakkan pengguna kehilangan rasa sensasi ketika berhubungan jika kondom terlalu tebal.

dr john tang ing ching

Dr. John Tang Ing Ching (kanan)

Pelekat pada kondom ini juga tidak terlalu sakit untuk ditarik daripada kulit dan Ia mungkin lebih selesa bagi mereka yang membersihkan bulu ari-ari (kemaluan) terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Kondom uniseks ini juga telah melalui beberapa ujian klinikal. Sukarelawan lelaki dan wanita mendapati ia berfungsi hampir sama atau lebih baik berbanding kondom konvensional. Malah, ia juga lebih tahan dan tidak mudah tergelincir.

Kajian itu juga mendapati kebanyakan sukarelawan lelaki dan wanita lebih mengutamakan untuk menggunakan Wondaleaf Unisex Condom berbanding kondom wanita yang ada di pasaran.

Ingin dikembangkan ke pasaran luar

Buat masa ini, Wondaleaf Unisex Condom hanya diedarkan dan boleh dibeli di Malaysia sahaja. Untuk diedarkan ke negara luar, kondom ini perlu mendapat kelulusan pemeriksaan yang ketat untuk setiap negara.

Setiap kotak Wondaleaf Unisex Condom mengandungi dua kondom dan dijual pada harga RM 14.99. Biasanya, harga sedozen kondom di Malaysia bernilai antara RM 20 hingga 40 ringgit.

Twin Catalyst Sdn. Bhd. yang menghasilkan Wondaleaf Unisex Condom ini berharap dapat memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara dalam masa terdekat.

wondaleaf unisex condom product

Selain Wondaleaf Unisex Condom, syarikat Twin Catalyst juga menghasilkan beberapa produk lain seperti Wondaleaf Cap Condom iaitu kondom untuk wanita dan Wondaleaf Adhesive Pouch, produk yang digunakan untuk melindungi luka selepas berkhatan.

Berdasarkan ujian klinikal yang mereka lakukan, Dr. Tang agak optimistik bahawa produknya akan menjadi salah satu produk umum yang digunakan untuk mencegak kehamilan tidak dirancang dan jangkitan penyakit kelamin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)