'Meme' (disebut sebagai 'mi:m') merupakan antara budaya internet dan media sosial yang cukup terkenal dipraktikkan.

Dijadikan bahan gurauan, balasan, kritikan dan 1001 cara lagi kegunaan, 'meme' mempermudahkan komunikasi dalam cara yang disenangi dan juga tidak disenangi individu.

Budaya meme juga melahirkan ramai individu yang wajah mereka selamat diangkat sebagai penghias meme, mencipta legasi yang tidak kita ketahui diterima baik pemilik wajah-wajah itu atau tidak - termasuklah di kalangan rakyat Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Individu manakah di Malaysia yang wajahnya sering dijadikan meme terkenal? Berikut adalah 6 individu yang wajahnya kerapkali dikongsikan,

1. Cikgu Shida

cikgu teacher shida

Seorang guru, Cikgu Shida atau lebih terkenal dengan nama 'Teacher Shida' pernah menghiasi media sosial dengan video-video dirinya menyanyikan lagu-lagu popular dalam pelbagai watak berbeza.

Dengan wajah penuh ekspresi, Teacher Shida atau nama sebenarnya Roshida binti Abdul Aziz merupakan seorang tenaga pengajar di sekolah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Muzik. Bagaimanapun, keselambaan beliau beraksi di depan kamera turut mengundang kritikan, dikatakan terkinja-kinja serta tak tahu malu berbanding profesion beliau yang dilihat perlu dijaga statusnya.

Selepas kritikan dan laporan terhadap videonya dibuat, Teacher Shida dikatakan terpaksa bertemu dengan pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri yang menegur kelakuannya seterusnya mengakibatkan aktiviti beliau mula perlahan, sekitar tahun 2010.

Walau demikian mimik muka dan ekspresi beliau yang ditangkap layar terus hidup sebagai meme internet, masih dimuat naik walaupun era populariti beliau telah menjunam.

2. Sharifah Zohra Jabeen

ks bawani sharifah zohra listen

Malang bagi wanita bernama Sharifah Zohra Jabeen, insiden pertengkaran beliau bersama seorang pelajar bernama KS Bawani di Universiti Utara Malaysia sekitar tahun 2013 - terus hidup di internet dalam pelbagai bentuk, khasnya meme.

Tindakan beliau cuba menyanggah pandangan Bawani yang jelas pro-pembangkang dengan cara yang agak kasar, menularkan slogan 'listen, listen, listen' yang akhirnya menjadi satu dialog popular di kalangan netizen sehingga kini.

listen listen listen

Ketika kejadian tersebut Sharifah Zohra yang hadir selaku Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia, akhirnya bertindak memohon maaf kepada penganjur atas kontroversi yang timbul serta memohon agar cemuhan dan kritikan yang ditujukan kepadanya, dapat dihentikan.

Sayangnya, insiden yang berlaku lebih 8 tahun lalu tetap terus segar diingatan orang ramai dalam bentuk meme.

3. Uncle Roger

uncle roger nasi goreng

Seorang bekas saintis data yang memilih komedi sebagai karier utama, Nigel Ng atau lebih terkenal sebagai 'Uncle Roger' mula mencuri perhatian selepas mengkritik (secara lucu) sebuah rancangan masakan terbitan BBC yang memaparkan resipi nasi goreng.

Wajahnya yang tidak dapat mempercayai teknik masakan yang digunakan hos rancangan tersebut. Hersha Patel menjadi antara meme yang popular dikongsikan. Reaksi beliau yang tular akhirnya menemukan dua 'musuh ketat' itu dalam sebuah video kerjasama komedi.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini kini menetap di London, meneruskan karier sebagai pelawak komedi langsung yang sering dijemput mengadakan persembahan di seluruh Eropah - selain terus aktif dalam media sosial melalui saluran peribadi.

4. Wanita stereng lock Kiki Kamaruddin

kiki kamaruddin meme netizen

Walaupun insiden mengamuk dengan menggunakan pengunci stereng telah berlaku 7 tahun lalu, netizen pasti masih terkenangkan video tular memaparkan seorang wanita mengamuk bersenjatakan alatan kereta tersebut.

Nama 'Kiki Kamaruddin' atau nama penuhnya Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin mula meletup, dikecam netizen dengan bermacam cara sama ada melalui balasan komen, video reaksi, perkongsian video serta meme.

Atas aksi yang menakutkan dilakukan wanita tersebut, mahkamah mendenda beliau RM5,000 serta perintah kerja komuniti selama 240 jam sebagai hukuman kerana mengugut dan menakutkan mangsa, seorang warga emas berusia 68 tahun (ketika kejadian) bernama Sim Siak Hong.

5. Najib Tun Razak

najib razak meme popular

Selepas hilang kuasa akibat tekanan daripada skandal yang melanda. Datuk Seri Najib Tun Razak serta pasukan penasihatnya berjaya melakukan perubahan imej yang amat ketara sekali pada persona beliau dalam dunia maya.

Slogan 'bossku' mula dipopularkan, dengan keakraban Datuk Seri Najib bersama mat-mat motor 'YSuku' mula menghiasi muka depan laman-laman politik tempatan. Apa saja yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib disensasikan, sehingga semakin hari semakin banyak meme yang memaparkan wajah beliau tular di merata-rata.

najib senyap

Sama ada positif atau negatif, wajah Datuk Seri Najib sebagai meme bukan saja menular di media sosial, bahkan mula dikongsi dalam aplikasi mesej popular seperti Whatsapp untuk digunakan.

Sama ada anda gemar atau tidak beliau secara peribadi, tidak dapat dinafikan kewujudan 'Najib Razak' dalam bentuk meme berjaya mempopularkan nama beliau sebagai tokoh politik tempatan paling berpengaruh dalam penggunaan internet.




Hakcipta iluminasi.com (2017)