shi zhengli doktor viriologi wuhan

Sehingga ke saat ini, tiada siapa dapat membuktikan dari mana datangnya virus penyebab Covid-19.

Walaupun banyak pendapat menyebut virus yang semakin mengganas kini, datang daripada punca haiwan tenggiling atau kelawar - dakwaan bahawa virus tersebut merupakan satu rekaan dalam makmal oleh manusia juga tidak reda hebahannya.

Dalam pendedahan terbaru melibatkan asal-usul virus SARS-CoV-2, dua orang saintis dari Britain bernama Prof. Angus Dagleish dan rakan sejawatnya dari Norway bernama Dr. Birger Sorensen bukan saja mendakwa virus tersebut bukan saja hasil kerja manusia....

Bahkan mereka mendakwa berdasarkan kajian yang telah mereka jalankan, ada bukti menyokong wujud usaha pihak tertentu untuk menutup kesilapan kerja mereka selepas virus pembawa maut itu tersebar.

Kajian 'Gain of Function'

sampel virus

Untuk memahami terlebih dahulu apa yang didedahkan, kita fahamkan dulu satu kaedah penyelidikan sains yang diistilahkan sebagai 'Gain of Function Research' atau GoFR.

GoFR merupakan kajian dalam lapangan sains bagi mencari kaedah memperkuatkan keupayaan sesuatu organisme, bagi membolehkan organisme tersebut mempunyai kemampuan yang ditingkatkan dalam tiga aspek;

Patogenesis atau keupayaan berevolusi, transmisi atau keupayaan untuk disebarkan dan yang terakhir keupayaan menjangkiti perumah jenis baru yang sepatutnya di luar kemampuan asal virus tertentu.

Eksperimen pertama yang dikategorikan sebagai kajian GoFR dilaporkan pada tahun 2000, selepas sekumpulan penyelidik Belanda berjaya mengubah suai kadar mutasi sejenis virus corona yang diketahui sepatutnya hanya mampu menjangkiti tikus. 

Hasil perubahan yang dijalankan, virus itu mampu menjangkiti kucing selepas proteinnya yang terkandung di dalamnya digantikan dengan protein virus berbeza.

Oleh kerana risiko yang dibawa dalam menjalankan kajian sebegini mampu menghasilkan bahan yang boleh memulakan pandemik, kumpulan penyelidik sendiri terbelah dua sama ada menyokong atau membangkang kaedah GoFR.

Pendokongnya berpendapat kajian berbentuk GoFR jika dijalankan dengan baik, penemuan yang terhasil daripada perubahan ke atas virus mampu memberikan kita lebih kefahaman terhadap sifat-sifatnya, membuatkan kita lebih memahami sebarang bentuk serangan.

Bagi pengkritiknya pula, GoFR ini adalah satu lapangan kajian yang berbahaya kerana jika tersalah langkah, mampu menghasilkan senjata biologi yang sangat efektif mampu membunuh apa yang disasarkan dalam skala besar.

Apakah dakwaan Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen?

angus dalgleish sorensen covid virus

Kajian yang telah mereka jalankan (bakal diterbitkan dalam jurnal penyelidikan biofizik Quarterly Reviews of Biophysics Discovery), Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen mendapati ada petanda virus penyebab Covid-19 berkemungkinan besar merupakan hasil daripada kajian GoFR di China yang terlepas.

Menerusi sampel virus yang dikaji semasa mereka terlibat membangunkan calon vaksin Biovacc-19, virus yang diterima mempunyai kitaran perubahan evolusi luar biasa, yang hanya akan berlaku apabila wujud campur tangan manusia mengubahnya.

Laporan penuh yang bakal diterbitkan ini menyokong laporan awal pertengahan tahun 2020 terbitan kedua-dua penyelidik, cuba memperjelaskan beberapa isu yang membingungkan berkenaan sifat virus tersebut;  khasnya berkaitan susun atur asid amino dalam sampel virus SARS-CoV-2 yang mereka terima.

Dengan menggunakan simulasi model komputer, mereka mendapati perubahan tidak semulajadi telah berlaku pada 6 bahagian protein virus -meninggikan kadar kemampuan virus SARS-CoV-2 untuk menjangkiti manusia sehingga 78.4%.

Evolusi virus yang berkebolehan lebih baik

virus corona

Perubahan ini yang disifatkan Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen tidak seiring dengan konsep evolusi semulajadi virus, bukan saja membolehkan SARS-CoV-2 mempunyai kadar tinggi jangkitan manusia bahkan mampu membolehkan virus hidup lebih lama pada individu dijangkiti.

Kedua-duanya bersetuju ada sesuatu yang ketara berbeza dengan SARS-CoV-2. Virus corona memang sudah diketahui akan berevolusi secara semulajadi. Lebih lama sesuatu virus itu membiak dan mengalami mutasi, lebih mudah untuk virus menjangkiti makhluk hidup yang diketahui memang mampu menjadi perumahnya.

Namun dalam masa yang sama, kadar jangkitan virus tersebut ke atas perumahnya akan berkurangan. Ini membolehkan kadar jangkitan kepada pesakit semakin lama semakin menurun selepas virus tersebut melalui beberapa fasa perubahan.

SARS-Cov-2 pula menunjukkan sifat yang berbeza, dilihat mempunyai keupayaan untuk menjangkiti yang semakin berkembang tetapi dalam masa yang sama juga mempunyai kadar jangkitan yang meningkat kepada pesakit.

Dalam erti kata lain, virus ini semakin lama semakin pantas merosakkan sel manusia walaupun telah menjalani mutasi demi mutasi.

Apa yang lebih mengejutkan, melalui sampel yang mereka terima, mereka juga menemui petunjuk ada usaha di kalangan saintis yang dikatakan beroperasi di Wuhan, China, berjaya mencipta sejenis retro-virus sekitar pada awal tahun 2020 hasil daripada virus SARS-CoV-2 yang telahpun tersebar.

Dakwaan Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen, virus retro ini akan dijadikan sampel bukti bahawa SARS-CoV-2 merupakan evolusi dari retro-virus tersebut yang berlaku secara semulajadi, bukanlah terhasil disebabkan oleh perubahan yang dilakukan dengan tangan manusia.

Tanpa kita sedar, sudah hampir setahun Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen cuba memperjelaskan teori mereka kepada dunia. Bagaimanapun penjelasan mereka ditentang sendiri saintis-saintis yang berpegang bahawa tiada apa-apa keganjilan wujud pada susun atur SARS-CoV-2.

Bagi Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen, mereka berpendapat majoriti saintis enggan untuk menerima teori kemungkinan SARS-CoV-2 bukan bersifat semulajadi, disebabkan rasa bimbang sebarang bentuk pengesahan akan menjadi titik noktah ke atas penyelidikan bersifat GoFR yang sedang dijalankan di seluruh dunia.

Adakah virus ini hasil kebocoran makmal di Wuhan?

wuhan institute of virology

Pada 26 Mei 2021, berdasarkan situasi  semasa serta kadar jangkitan yang nampaknya masih belum reda - Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengeluarkan arahan rasmi agar agensi risikan Amerika Syarikat kembali membuka siasatan apakah kemungkinan virus SARS-CoV-2 adalah ciptaan manusia serta berasal dari kajian makmal.

Ketika ini semakin ramai penyelidik dan saintis yang sudah mula terbuka untuk sekurang-kurangnya berani membincangkan hipotesis bahawa pandemik yang sedang berlaku bukanlah sesuatu yang semulajadi.

Kita pun sudah lebih setahun hidup dalam 'norma baru', yang masih belum menampakkan sebarang bentuk perubahan positif. Kerajaan Vietnam pula baru saja melaporkan penemuan varian terbaru virus Covid-19 yang dipercayai mempunyai keupayaan lebih menakutkan.

Sudah tiba masanya isu pandemik ini dilihat daripada perspektif yang berbeza, kerana jelas apa yang berlaku sekarang bukan lagi boleh dilihat dari kaca mata biasa. Harus diperjelaskan kami tak katakan pandangan Prof. Dalgleish dan Dr. Sorensen benar dan anda harus terima bulat-bulat apa kata mereka.

Tetapi bagi mereka yang tak pernah percaya virus sehebat ini merupakan hasil tangan manusia, mungkin sudah tiba masanya kita cuba mendengar kata dari pihak sebelah sana pula dan bukan hanya penjelasan daripada pihak berwajib semata-mata.

Rujukan

The Evidence which Suggests that This Is No Naturally Evolved Virus - A Reconstructed Historical Aetiology of the SARS-CoV-2 Spike (pautan PDF)

Covid-19 has 'no credible natural ancestor', claims new research



Hakcipta iluminasi.com (2017)