Sebut pasal Malaysia pasti ramai yang akan membayangkan kelazatan makanan dan minuman yang ada di sini. 

Budaya makanan kita mempunyai terlalu banyak variasi hasil daripada adunan majmuk pengaruh pelbagai bangsa membuatkan apa yang kita makan juga selalunya bercampur baur elemennya, tak kiralah elemen ketimuran atau kebaratan.

Nama-nama makanan ini sering menjadi sebutan kita, tetapi tahukah anda kenapa resipi-resipi popular di Malaysia ini - dinamakan sedemikian rupa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Nasi goreng USA

nasi goreng usa ayam sotong udang

Penulis sempat jugalah merasai 'nasi goreng USA' sebenar sebelum resipinya diubah suai, seperti apa yang kita kenal sekarang. 

Nama 'nasi goreng USA' sebenarnya hadir daripada nama 'nasi goreng Udang Sotong Ayam', sejenis juadah yang cukup popular bagi mereka yang menggemarinya. Entah kenapa versi resipi ini berubah seperti versi yang kita nampak sekarang, mungkin kerana kos yang tinggi.

Kini apabila anda pesan nasi goreng USA, anda akan dihidangkan nasi goreng dengan daging merah serta telur mata kerbau - membuatkan warga Amerika Syarikat yang melancong ke sini pelik apa kaitan negara asal mereka dengan nasi goreng tersebut.

Walau bagaimanapun, masih ada beberapa lokasi yang kekal menawarkan nasi goreng USA versi original yang asli mengekalkan ramuan asalnya.

2. Char koay teow kerang

char kuey teow penang pulau pinang

Pernahkah anda terfikir kenapa kerang menjadi salah satu ramuan wajib ada dalam masakan koay teow goreng? Ada sejarahnya!

Diaspora masyarakat China yang melarikan diri ke Asia Tenggara khasnya etnik Teochew dan Hokkien, turut sama membawa teknik adunan tepung yang kita kenali sebagai koay teow. 'Koay teow' dalam bahasa asalnya adalah 'adunan tepung beras' yang kemudiannya dipotong panjang.

Disebabkan oleh status mereka sebagai pendatang ketika itu yang mencari rezeki, masyarakat China ini memerlukan makanan yang cepat disediakan, murah dan yang penting memberikan tenaga.

Jadi ada di kalangan peniaga warung yang menggoreng koay teow dengan kicap dan lemak babi, membentuk resipi murah dan cepat yang ada.

Pada ketika itu juga permintaan terhadap kerang agak berkurangan namun bekalannya banyak, jadi nelayan cuba menjual kerang yang ada sebagai ganti ketiadaan daging. Rasanya yang kena antara satu sama lain, menyebabkan resipi tersebut mula popular menjadi makanan ruji golongan kelas bawahan.

3. Rojak

rojak buah sedap

Rojak merupakan salah satu makanan yang cukup popular di kalangan rakyat kita, khasnya melibatkan rojak jualan peniaga India Muslim atau golongan mamak. Ini agak menghairankan! Kenapa?

Ini kerana makanan ini jelas sekali berasal daripada tanah Jawa di Indonesia, yang mempunyai sejenis makanan tradisi dinamakan sebagai 'rurujak.'

Rurujak merupakan hidangan yang menggunakan buah yang belum benar-benar masak, dipotong dan dihiris serta digaulkan dengan sejenis sambal pedas. Kenapa pula gelarannya 'rujak'?

'Rujak' sebenarnya adalah kata kerja yang diguna untuk merujuk perbuatan memotong sesuatu kepada bahagian lebih kecil, digunakan dalam bahasa Jawa sebagai 'angrujak.'

Dalam zaman moden, sebut rujak saja semua akan faham kita sebenarnya sedang merujuk kepada makanan popular itu dan di Indonesia, rujak memang mudah didapati di mana-mana. Kini 'rojak' sudah digunakan secara meluas sebagai satu istilah untuk menunjukkan perbuatan mencampurkan sesuatu secara rawak.

4. Pasembor

pasembur rojak mamak

Rojak dan pasembor senang sekali dikelirukan bukan? Sebenarnya kedua-duanya berbeza. Rojak atau rujak asalnya adalah makanan berasaskan buah, pasembor pula  berasaskan kuih. Kini nama kedua-duanya sudah mula disekalikan.

'Rojak mamak' merupakan istilah popular merujuk kepada makanan hasil campuran kuih, tauhu, cucur udang, telur, timun, tauge serta kuah kacang. Juga dimakan dengan mee, sotong atau telur. Kemudian ada 'rojak buah' - ini 'rujak' sebenar.

Pasembor pula adalah istilah di bahagian utara Semenanjung Malaysia, merujuk kepada 'rojak mamak'. Jika anda ke Kedah atau Pulau Pinang ingin merasai rojak atau pasembur, pastikan anda tahu bezanya.

Kenapa namanya 'pasembur'? Tidak ada jawapan jelas kenapa. Teori kami, terdapat sebuah daerah di Mumbai, India bernama Chembur; sebuah bandar pelabuhan. Selain itu ada sebuah kampung di negeri Tamil Nadu bernama Semboor.

Mungkin individu yang mula-mula sekali memperkenalkan pasembur/rojak mamak di Tanah Melayu, khasnya Pulau Pinang berasal dari sana - menyebabkan makanan popular ini terus kuat dirujuk sebagai pasembur di bahagian utara.

5. Nasi kandar

gambar peniaga nasi kandar lama

Restoran nasi kandar masih terus menjadi fenomena di kalangan masyarakat kita, khasnya apabila melibatkan mistik nasi kandar Pulau Pinang, yang dikatakan teramat-amat-amat-amat sedap berbanding nasi kandar di tempat lain.

Walaupun sudah bergelar restoran francais, kedai nasi kandar terus mengekalkan nama 'kandar', yang merujuk kepada kayu panjang yang dipikul pada bahu seseorang bagi memudahkan dia membawa sesuatu yang berat. 

Sejarahnya, komuniti India Muslim yang hadir ke Tanah Melayu satu masa dahulu gemar menjaja nasi dengan lauk, yang akan dikandarkan dari satu lokasi ke satu lokasi berjalan kaki.

Cukup popular di kalangan golongan pekerja yang mahu makanan murah dan mudah, lama kelamaan penjaja sebegini dirujuk sebagai 'penjaja nasi kandar' terus dinantikan kehadiran mereka di satu lokasi yang biasanya menjadi tempat makan.

Nama itu terus lekat walaupun kandar sudah tidak lagi digunakan dan perniagaan 'nasi kandar' berubah mempunyai gerai seterusnya premis sendiri. Harganya juga tidak lagi mesra golongan bawahan, sepinggan nasi boleh mencecah belasan ringgit harganya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)