kisah bangsa yang dicuri

Pada era penghujung 1890-an sehinggalah tahun 1970-an, kerajaan Australia telah melakukan sesuatu yang kedengaran mustahil tergamak dilakukan. Namun realitinya perkara itu berlaku berlaku serta menjadi sebahagian besar daripada catatan hitam dalam sejarah negara tersebut.

Atas beberapa sebab yang dirasakan perlu, kerajaan Australia meluluskan satu rang undang-undang membolehkan mana-mana bayi yang lahir daripada keluarga kulit hitam - diambil hak penjagaannya, tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapanya sendiri.

Generasi yang diculik secara rasmi ini, dikenang dalam lipatan sejarah Australia sebagai 'generasi yang dicuri' atau 'the stolen generations.'

Proses asimilasi paksaan dan buatan

mencari keturunan sebenar

Semuanya berpunca daripada matlamat kerajaan Australia pada waktu tersebut, yang mahu membentuk sebuah masyarakat yang bersatu, berkongsi warna kulit serta budaya yang sama sebagai satu bangsa Australia.

Itulah menjadi tunjang polisi kerajaan Australia selama lebih 50 tahun, dalam proses pembentukan budaya mereka.

Pada awalnya, orang asal Australia atau orang Aborigines diramalkan bakal pupus secara semulajadi, akibat kematian dan ketiadaan waris. Bagaimanapun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku, berlaku. Semakin banyak perkahwinan dan hubungan di antara masyarakat kulit putih dan kulit hitam di Australia muncul, menyebabkan wujudnya golongan yang digelarkan sebagai 'half cast' atau 'kasta pertengahan.'

Ini menyebabkan kerajaan Australia perlu mencari jalan lain bagi menyatukan budaya mereka. Peraturan yang mengasingkan masyarakat Aborigines supaya tinggal di kawasan hutan simpan dan orang kulit putih yang berada di bandar dan pekan dibatalkan, dengan polisi asimilasi baru diperkenalkan.

Membersihkan darah masyarakat

kanak kanak aborigines australia

Tujuan polisi baru itu dibentuk adalah bagi melahirkan generasi baru Australia yang berdarah tulen. Golongan  kasta pertengahan pula diseru supaya bercampur dengan komuniti kulit putih dengan harapan - orang Aborigines dibiarkan lenyap.

Polisi ini diwujudkan berdasarkan kepada fahaman masyarakat kulit putih bahawa bangsa kulit putih mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding mereka yang berkulit gelap, selaras dengan perlembagaan negara tersebut pada tahun 1937 yang menggalakkan asimilasi sepenuhnya seluruh masyarakat mereka, supaya menuruti budaya kulit putih.

Kerajaan Australia juga percaya dengan mengambil cara hidup masyarakat barat, kualiti hidup orang Aborigines dapat ditingkatkan dalam semua aspek, termasuklah budaya, adat dan juga agama.

Sebagai langkah permulaan, tanah masyarakat komuniti Aborigines diambil, bagi dibangunkan perumahan dan perlombongan. Ini memaksa komuniti Aborigines keluar ke pekan dan bandar bagi mencari kerja. Bagaimanapun, disebabkan warna kulit serta ketiadaan pengalaman yang diperlukan, mereka akhirnya hidup merempat di pinggir bandar tanpa ada sebarang sumber hidup. Inilah yang diharapkan berlaku bagi memutuskan warisan mereka.

Mula merampas anak orang lain

aborigines stolen generation

Bagi memastikan matlamat penyatuan budaya ini tercapai, kerajaan Australia juga melakukan sesuatu yang agresif. Mereka mengenalpasti bayi yang diramalkan mampu beradaptasi dengan lebih baik dalam komuniti kulit putih, hasil kelahiran kasta pertengahan atau Aborigines tulen.

Dalam tempoh lebih 70 tahun, beribu waris kepada orang Aborigines Australia diambil daripada keluarganya, diserahkan kepada keluarga angkat kulit putih atau institusi penjagaan yang dilantik kerajaan. Bayi ini akan dipastikan membesar dalam suasana mesra kulit putih.

Perancangan jangka panjangnya adalah untuk memastikan bayi ini membesar dan mengahwini lelaki kulit putih. Selepas satu atau dua generasi, mereka mahukan waris kepada generasi yang diambil ini mempunyai kulit putih dan tidak lagi mengetahui asal-usul mereka yang sebenar.

Bagi mencipta alasan untuk merampas anak-anak orang Aborigines, kerajaan Australia mula menyebarkan propaganda bahawa ibu bapa bayi ini gagal menjaga anak sendiri sebaik mungkin, malahan ada yang dituduh berlaku cuai dalam hal penjagaan anak. Bayi sasaran mereka didakwa kelaparan dan kekurangan zat, dengan bantuan perlu diberikan oleh kerajaan untuk memastikan anak-anak ini dapat terus hidup.

Majoriti bayi yang dirampas tergolong dalam kumpulan kasta pertengahan, hasil campuran darah kulit putih dan kulit hitam.

Ini kerana zuriat daripada kelompok itu lebih mudah 'diputihkan' berbanding kulit hitam tulen. Mereka dikategorikan kepada dua kumpulan; bayi gred A yang berkulit cerah diberikan kepada keluarga angkat tanpa diberitahu asal-usulnya sementara bayi gred B pula dilabelkan kepada bayi yang masih menunjukkan ciri-ciri orang Aborigines pada tubuh mereka.

Membesar sebagai individu berbeza

permohonan maaf kerajaan australia

Kebiasaannya, bayi akan diambil kerajaan selepas lahir, mengakibatkan ibunya sendiri tidak sempat melihat anaknya. Malangnya, jururawat pun turut bersekongkol dalam hal ini, melindungi penculikan dengan menutup bayi itu dan menyembunyikan bayi itu daripada ibu mereka.

Kebanyakan bayi di hantar ke pusat penjagaan dan keluarga angkat, dibesarkan dalam suasana tanpa ada sebarang unsur Aborigines dalam kehidupan mereka.

Rekod berkenaan generasi yang diculik ini sebenarnya ada disimpan oleh kerajaan Australia pada mulanya.

Ini termasuklah pihak penjaga yang diwakilkan seperti gereja, keluarga angkat, pusat perlindungan dan agensi-agensi lain. Bagaimanapun, berikutan tempoh polisi pengambilan yang terlalu panjang - lama-kelamaan pengurusan rekod menjadi caca-merba. Bencana alam seperti banjir, insiden kebakaran dan juga sengaja dimusnahkan pihak tertentu, juga  menyebabkan banyak rekod yang mendokumenkan bayi-bayi ini dan keluarga asal mereka musnah.

Pada tahun 1995, kerajaan Australia melakukan siasatan ke atas apa yang berlaku disebabkan polisi kerajaan mereka terdahulu.

Laporan itu diserahkan dan dibentangkan di Parlimen Australia pada 26 Mei 1997, menganggarkan dalam tempoh lebih 60 tahun; 10 ke 33 peratus daripada semua bayi yang dilahirkan oleh ibu berdarah Aborigines, diculik daripada keluarganya.

Sudah banyak inisiatif dijalankan kerajaan Australia dalam memperbaiki kesilapan yang telah mereka lakukan namun sehingga kini, masih ramai rakyat mereka yang tidak tahu identiti sebenar diri sendiri - hanya kerana kegelojohan pemerintah yang tak sedar diri

Pada bulan Februari 2008, kerajaan Australia melakukan permohonan maaf secara rasmi, tetapi kerosakan sudah pun lama berlaku, jadi apa yang mampu dibuat lagi?

Rujukan

NY Times


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)