Demam kuning bayi merupakan suatu masalah yang mungkin sudah lazim didengari. Kebanyakan bayi yang baru dilahirkan mungkin akan mendapat gejala jaundis atau lebih dikenali sebagai demam kuning. Walau bagaimanapun, tentu ramai ibu bapa yang tidak mengetahui apakah punca dan rawatan sebenar bagi penyakit ‘demam’ ini.
Kenali demam kuning @ jaundis
Masalah demam kuning (jaundis atau hyperbilirubinaemia) dalam kalangan bayi baru lahir adalah suatu keadaan di mana seorang bayi mengalami perubahan warna kulit atau mata putih yang menjadi kekuningan.
Keadaan ini biasanya berlaku seawal 48 jam selepas si kecil dilahirkan dan terjadi kepada kira-kira 60% bayi cukup umur serta 80% bayi pramatang.
BESARKAN TEKS A- A+
Punca perubahan warna kulit ini timbul adalah disebabkan peningkatan kandungan bilirubin dalam darah bayi tersebut.
Sungguhpun demam kuning ini merupakan suatu kondisi yang biasa dialami bayi baru lahir tetapi jika dibiarkan sehingga kadar bilirubin mencecah paras bahaya, ia juga boleh mendatangkan komplikasi lain kepada bayi.
Sekiranya demam kuning yang dialami tidak reda selama lebih 14 hari bagi bayi cukup bulan ataupun 21 hari bagi bayi pramatang, jaundis mula dianggap sebagai jaundis berpanjangan ("prolonged jaundice").
Bilirubin punca jaundis?
Bilirubin adalah sejenis pigmen berwarna kekuningan yang terhasil melalui pemecahan sel darah merah. Setelah itu, hati akan memproses dan menyingkirkan bilirubin dari darah sebelum dikeluarkan melalui proses penyahtinjaan iaitu pembuangan najis melalui dubur.
Bayi yang baru dilahirkan masih lemah dan organ-organ dalaman mereka pula masih belum dapat berfungsi dengan baik seperti orang dewasa. Justeru, hati mereka tidak mampu untuk mengeluarkan lebihan bilirubin yang wujud dalam tubuh. Disebabkan inilah kadar bilirubin boleh meningkat dengan pantas sehingga menyebabkan jaundis berlaku.
Simptom dan tanda-tanda demam kuning
Tanda-tanda demam kuning pada bayi dapat dilihat apabila tubuh mereka berubah menjadi kekuningan. Perubahan yang bermula dari kulit di kawasan muka ini kemudian akan merebak ke bahagian dada, perut dan akhirnya ke bahagian kaki. Warna kuning ini juga dapat dikesan sekitar mata putih.
Sekiranya anda cuba menekan kulit bayi perlahan-lahan menggunakan hujung jari, warna kuning akan lebih jelas dilihat apabila jari diangkat. Namun begitu, kaedah ini mungkin agak sukar dikesan pada si comel yang mempunyai kulit dengan tona lebih gelap.
Jaundis tidak menyebabkan sebarang kesakitan pada bayi. Bagaimanapun, bayi yang mengalami demam kuning dengan bacaan bilirubin tinggi mungkin lebih kerap tidur, sukar dibangunkan, tidak mahu menyusu dan lebih kerap meragam.
Jenis-jenis jaundis
1. Jaundis fisiologi
Jaundis yang bermula selepas 48 jam kelahiran ini adalah sangat lazim berlaku dan ibu bapa tidak perlu runsing kerana ia tidak membahayakan. Jaundis akan beransur pulih dengan sendiri dalam masa 5-7 hari.
2. Jaundis patologi
Jaundis patologi dikategorikan sebagai abnormal dan terjadi pada hari pertama kelahiran iaitu dalam masa tidak sampai 24 jam bayi dilahirkan.
Antara punca berlakunya jaundis patologi adalah disebabkan ketidakserasian kumpulan darah antara ibu dan anak. Kebiasaannya, ibu yang mempunyai darah dengan rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’ akan menyebabkan bayi mengalami jaundis kategori ini.
Selain itu, bayi pramatang, jangkitan kuman atau kekurangan enzim G6PD juga boleh menyebabkan jaundis patologi. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu berasa khuatir kerana keadaan ini agak jarang berlaku.
Tidak boleh dipandang remeh
Walaupun jaundis sangat biasa terjadi dalam kalangan bayi baru lahir, namun ia tidak seharusnya diambil mudah oleh ibu bapa. Jika tahap bacaan bilirubin melebihi 20mg/dL, bayi sebenarnya berisiko untuk mendapat komplikasi lain yang lebih membahayakan.
Antara komplikasi yang boleh terjadi apabila bacaan bilirubin terlampau tinggi adalah bayi boleh hilang pendengaran, berisiko mengalami palsi serebrum atau mengalami kerosakan tertentu di bahagian otak. Oleh sebab itu ibu bapa perlu membawa anak ke klinik kesihatan atau hospital setiap hari untuk memantau bacaan bilirubin si comel.
Demam kuning biasanya akan pulih sendiri setelah organ bayi mula berfungsi dengan lebih baik dan mampu mengeluarkan lebihan bilirubin daripada tubuh. Semakin kerap bayi menyusu, maka bayi akan lebih kerap membuang air besar dan proses pemulihan juga akan menjadi bertambah baik.
Walaupun ada kes jaundis yang berpunca daripada susu ibu sendiri, namun ibu-ibu perlu meneruskan sahaja penyusuan dengan sekerap mungkin. Sekiranya bayi didapati sering tidur lebih lama daripada kebiasaan, ibu perlulah mengejutnya bangun supaya dapat disusukan. Pegawai perubatan juga mungkin akan memberi saranan supaya penyusuan ditambah menggunakan susu formula jika bekalan susu ibu masih belum mencukupi.
Cara kurangkan demam kuning bayi
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, demam kuning bayi akan beransur pulih dengan sendiri dalam masa satu hingga dua minggu.
Bagi kes jaundis yang lebih serius pula, rawatan hendaklah disegerakan supaya tiada komplikasi lain berlaku pada bayi. Antara rawatan yang biasa diberikan kepada bayi yang mengalami jaundis dengan bacaan bilirubin tinggi adalah seperti berikut:
1. Penambahan cecair
Bayi yang lebih kerap tidur dan kurang menyusu boleh mengalami penyahhidratan. Situasi ini boleh mengakibatkan kadar bilirubin terus bertambah dengan lebih pantas. Jadi anda perlu lebih kerap menyusukan bayi. Lagi banyak bayi berak dan kencing, lagi cepat kadar bilirubin turun.
2. Fototerapi
Kulit bayi akan dibiarkan tidak berbaju dan didedahkan dengan cahaya lampu biru khusus untuk merawat jaundis. Mata bayi akan ditutup untuk mengelakkan kerosakan pada retina apabila berada di bawah cahaya intensif ini.
Cahaya biru tersebut akan dipasang pada gelombang tertentu untuk membantu memecahkan bilirubin menjadi bentuk yang lebih mudah disingkirkan melalui najis. Tahap penghidratan dan bacaan bilirubin juga akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
3. Imunoglobulin intravena (IVIg)
Bayi yang mengalami masalah darah tidak serasi akan diberikan rawatan melalui vena. Rawatan ini akan menghalang antibodi yang menyerang sel darah merah serta mengurangkan keperluan untuk menjalani proses pengeluaran dan pemindahan darah.
4. Pertukaran darah
Prosedur kecemasan ini merupakan jalan terakhir dan hanya akan dilakukan sekiranya bacaan bilirubin berada pada tahap bahaya atau masih tidak berubah setelah bayi menjalani rawatan fototerapi.
Bagi menurunkan bacaan bilirubin dengan lebih pantas, proses pertukaran darah akan dijalankan di mana darah bayi akan dikeluarkan dan digantikan dengan darah penderma yang sesuai.
Jangan sesekali jemur anak di luar rumah!
Ibu bapa tidak boleh leka sepanjang proses pemulihan anak yang mengalami jaundis di rumah bagi mengelakkan risiko berlakunya sebarang komplikasi yang tidak diingini.
Sekiranya anak dijaga sendiri di rumah, ibu bapa bolehlah mengamalkan panduan berikut:
- Jangan sesekali menjemur atau meninggalkan anak di bawah sinaran matahari. Keadaan ini boleh mengakibatkan kulit anak terbakar, kenaikan suhu badan selain mendedahkan anak kepada bahaya di luar rumah seperti gangguan haiwan liar atau serangga berbahaya.
- Meningkatkan kekerapan aktiviti penyusuan. Lebihan bilirubin hanya dapat dikeluarkan melalui najis bayi. Jadi, lebih banyak anak anda menyusu, maka lebih keraplah proses penyingkiran bilirubin melalui tinja akan berlaku.
- Ibu yang menyusukan secara eksklusif hendaklah mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Ibu perlulah mengambil banyak sayuran hijau dan buah-buahan supaya nutrisi yang lengkap dapat disalurkan kepada bayi.
- Dapatkan nasihat pakar perubatan bertauliah sekiranya menghadapi sebarang masalah atau berasa bimbang dengan keadaan bayi. Elakkan mengamalkan petua atau panduan yang diambil daripada media sosial atau yang tidak diketahui kesahihannya kerana hal ini boleh mendatangkan bahaya kepada bayi.
Rujukan: