adik beradik the family

Pada 1961, seorang guru yoga bernama Anne Hamilton-Byrne berdiri di hadapan rumah Dr. Raynor Johnson, pengetua Melbourne University Queens College tanpa diundang. Melihat wanita itu berdiri di hadapan rumahnya, Dr. Raynor menjemput Anne masuk ke dalam rumahnya lalu menghidangkan teh panas.

Mereka berbual-bual dengan Anne cuba meyakinkan Dr. Raynor yang beliau mempunyai kebolehan untuk melihat ke masa hadapan. Dr. Raynor ketika itu entah mengapa, mula terpukau dengan kisah-kisah yang Anne, adalah kelahiran semula Jesus Christ sebagai seorang wanita. Rancangan Anne meyakinkan Dr. Raynor, seorang ahli akademik terulung di Melbourne ketika itu, rmenjadikan kisah ini menemui batu lonjakan yang dicari Anne selama ini.

Spiritualiti  ketika itu sedang meningkat popular dalam bidang sains dan Dr. Raynor yang baru bersara, mahu meneruskan kerjayanya mendidik. Mendengar tawaran Anne, dia berpindah ke daerah Ferny Cheek, menginap di sebuah villa yang dinamakan Santiniketan, berdekatan dengan kawasan di mana Anne Hamilton-Byrne tinggal. Di Villa Santiniketan, lahirlah sebuah kumpulan ajaran sesat yang digelarkan 'The Family.'

LATAR BELAKANG KETUA KULTUS

anne hamilton byrne semasa muda

Anne mula mengajar yoga pada awal 1960 ketika era awal kemasukan yoga ke Australia. Pelajarnya adalah wanita-wanita pertengahan umur yang datang dalam keluarga pertengahan. Menggunakan kepintaran beliau menasihati pelajar-pelajarnya yang terlibat dalam masalah rumah tangga, Anne membina kepercayaan kukuh antara dia dan pelajar-pelajarnya. Isu feminis, perceraian dan masalah seks songsang yang kerap kali menjadikan pelajarnya sebagai mangsa, menjadi perbualan mereka guru dan murid. Pelajar-pelajar inilah yang menjadi pengikut pertama The Family.

Dengan kemasukan Dr. Raynor yang mempunyai pengaruh besar pada masyarakat ketika itu, golongan-golongan kaya dan berpengaruh mula terpanggil untuk menyertai kelas yoga Anne. Kesempatan itu diguna oleh Anne untuk menyampaikan peringatan-peringatan pada pelajarnya, sambil dia perlahan-lahan mengutip duit derma.

Kisah silam Anne Hamilton-Byrne atau nama sebenarnya Evelyn Edwards, cukup tragik. Lahir pada 1921, dia membesar dalam keluarga peladang di kawasan yang terletak  dua jam dari Melbourne. Ibunya menetap di wad mental selama 27 tahun selepas membakar rambutnya di tengah-tengah jalan. Ayahnya pula bekerja sebagai pekerja yang merantau merata-rata, jadi Anne banyak menghabiskan masa di rumah anak yatim yang menjaganya.

Dia berkahwin kali pertama ketika usianya 20 tahun namun suaminya meninggal dunia kemalangan jalan raya, meninggalkan Anne dengan seorang anak perempuan. Perkahwinan mereka sudah beberapa kali mengalami keguguran janin selepas kelahiran anak pertama. Atas rasa kecewa, suaminya mengambil keputusan mahu mendapatkan seorang anak angkat, sebelum insiden kemalangan meragut nyawa suaminya.

CULIK BAYI DARI IBU DI HOSPITAL

the family adik beradik

'The Family' mengambil anak angkat pertama pada tahun 1970, hasil dari kerjasama semua pengikut Anne yang kini bekerja di hospital. Bayi lahir luar nikah diseludup keluar dari hospital tanpa pengetahuan ibunya, dengan sijil kelahiran semuanya disiapkan oleh pengikut Anne yang taat. Jururawat, doktor, peguam, pegawai kerajaan, ramai yang menjadi pengikut setia beliau memudahkan pelbagai urusan yang dikehendaki.

Kesemua bayi atau anak kecil yang dijaga oleh Anne selepas itu, akan diberitahu yang dia adalah anak kandung Anne. Mereka diajar untuk menghormati Anne sebagai ibu kerana mereka adalah insan-insan terpilih yang akan memulakan semula dunia selepas kiamat berlaku. Rambut setiap anak-anak itu akan diwarnakan putih platinum dan diajar hidup sebagai adik beradik sebenar. Anne kerap mengingatkan mereka yang dia adalah Jesus Christ yang lahir semula.

Jumlah anak angkat Anne meningkat kepada 28 orang hasil penculikan dan penyeludupan bayi dari hospital ataupun 'sedekah' pengikut-pengikut Anne. Semua kanak-kanak diwajibkan bersekolah di rumah dengan sebarang bentuk pelanggaran disiplin akan dikenakan hukuman fizikal. Anne atau penjaga-penjaga yang dilantik akan memukul kanak-kanak tersebut sebagai hukuman dan akan dibiarkan lapar apabila ada berlaku sesuatu yang tidak digemari Anne.

gambar yang wajib digantung di bilik pengikut

Untuk memudahkan urusan, semua kanak-kanak akan diberikan ubat-ubatan setiap hari seperti valium bagi menenangkan mereka. Apabila seseorang kanak-kanak mencapai umur 14 tahun, dia akan melalui upacara dimana dia akan dibekalkan dengan pil LSD yang akan menyebabkan kanak-kanak meningkat remaja itu khayal berhari-hari tanpa henti. Begitulah taktik sama bagaimana Anne mengawal pengikut-pengikutnya yang lain dan sudah dewasa.

Memberi peringatan dengan mencampurkan ajaran Kristian, kepercayaan mistik timur serta peringatan tentang hari terakhir bumi, Anne memujuk semua pengikutnya mengambil pil LSD setiap hari dalam upacara ritual mereka. Apabila itu berlaku, mudah bagi Anne mengawal apa yang mereka fikir, pakai, makan, pasangan dan lakukan.

Hakikatnya bagi pengikut The Family, Anne adalah panduan hidup mereka.

SERBUAN POLIS HANYA SELEPAS 27 TAHUN

pintu masuk rumah the family

Hanya pada tahun 1987 polis Australia berjaya menemui lokasi rahsia The Family, hasil laporan Sarah Hamilton-Byrne, salah seorang anak angkat Anne yang berjaya melarikan diri. Pada ketika itu Anne dan suaminya tidak berada di Australia.

Ekoran serbuan pihak polis dan waran tangkap ke atasnya, dia melarikan diri ke Amerika Syarikat menyebabkan polis Australia terpaksa bekerjasama dengan FBI dan pihak berkuasa UK bagi menjejaki beliau. Pada Jun 1993, Anne Hamilton-Byrne ditangkap di New York, lalu dihantar semula ke Australia untuk perbicaraan.

Melalui operasi The Family, harta terkumpul Anne dianggarkan berjumlah RM499 juta melalui koleksi hartanah, tanah dan wang ringgit yang didermakan oleh pengikut-pengikutnya. Apa yang dikesalkan, Anne tidak dapat disabitkan bersalah dalam kebanyakan pertuduhan. Dia hanya disabitkan kesalahan memalsukan sijil kelahiran dengan denda AUD5000. 

Ketika zaman mewahnya, dia tanpa segan-segan memperagakan kekayaan yang diperolehi dari pengikutnya, dengan gemar mengenakan rantai mutiara dan memakai minyak wangi berjenama Chanel.

LEGASI ANNE HAMILTON-BYRNE

anne hamilton byrne sudah tua

Bagi Dr. Raynor Johnson pula, nasibnya menjadi lebih buruk selepas didapati terlibat dengan kultus The Family ini.Dia meninggal pada tahun 1987, tidak lama selepas kegiatan 27 tahun lebih  mereka terbongkar. Namanya yang digunakan untuk salah satu sayap bangunan Melbourne University College telah ditarik semula. Dalam diarinya yang didedahkan kepada wartawan, beliau mengakui percaya dirinya adalah penjelmaan semula John the Baptist dan makhluk asing akan menyerang bumi.

Beberapa orang pengikut The Family telah membunuh diri akibat tekanan. Sehingga 2013, dilaporkan berlaku perebutan kuasa di antara saki baki ahli kumpulan The Family dalam menentukan siapa sepatutnya naik menggantikan Anne Hamilton-Byrne.

Tidak ramai wanita dalam dunia yang berjaya mengasaskan dan memimpin kumpulan ajaran sesat. Kini berumur 96 tahun, Anne sudah 12 tahun tinggal di rumah jagaan orang-orang tua di Melbourne, akibat penyakit demensia. Dia juga sudah mengalami hilang ingatan yang teruk yang tidak memungkinkan penjelasan lebih lanjut mengapa 'The Family' ditubuhkan, datang daripada tuan punya badannya sendiri.

Apabila disoal apa rahsia beliau berjaya membuatkan ramai orang tertarik, Anne hanya menjawab yang rasa cintanya pada orang lain membuatkan mereka sanggup mengikutnya.

Setiap kali bertemu pengikut berpotensi, Anne tetap akan melakukan satu tindakan yang sama. Dia akan memandang individu itu dengan renungan yang lembut dan berkata : "saya sudah lama menunggu kedatangan anda, kerana anda istimewa."

Rujukan

SpiderCatWeb

The Family (Wikipedia)


tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)