abuelas adriana pertemuan

40 tahun lalu, seorang bayi perempuan diculik daripada ibunya yang sedang dipenjarakan di Argentina.

Pemerintahan junta tentera sebelum itu terlebih dahulu membunuh ayahnya, sebelum ibu malang itu diseksa dan dibunuh. Bayi kecil itu yang langsung tidak tahu apa yang berlaku 'dihadiahkan' pada penyokong rejim pemerintah. Genap bulan Ogos 2018, bayi kecil itu yang dinamakan sebagai Adriana kini sudah berusia 40 tahun.

Pada usia tersebut, dia cukup matang untuk menerima perkhabaran baru mengenai dirinya sendiri - kebenaran tentang sejarah dirinya serta apa yang berlaku pada kedua ibu bapa kandungnya. Semuanya hasil usaha sekumpulan wanita veteran yang menggelarkan diri mereka 'Grandmothers of the Plaza de Mayo.'

Adriana adalah salah seorang individu yang ditemui mereka daripada jumlah anggaran keseluruhan lebih 500 bayi yang diculik semasa - era yang digelarkan sebagai 'Perang Kotor' antara detik paling hitam dalam sejarah negara Argentina.

Pemerintahan diktator

jorge rafael videla diktator argentina

Jorge Rafael Videla, seorang pegawai senior angkatan tentera Argentina merampas kuasa pada tahun 1976. Beliau berjaya menjatuhkan Presiden Argentina ketika itu, Isabel Martinez de Peron. Dalam tempoh 5 tahun memerintah sehingga tahun 1981, Videla mengamalkan pemerintahan secara diktator - menggunakan kuasanya bagi 'menghilangkan' lebih 30,000 rakyat Argentina yang tidak menyokongnya.

Majoriti individu yang hilang berumur di antara 16 hingga ke 35 tahun diculik, kemudiannya dibunuh dengan bermacam cara sama ada ditanam hidup-hidup, diletupkan atau dilemaskan di lautan. Bagi mereka yang sudah mempunyai zuriat pula, anak-anak mereka akan ditinggalkan saja di tepi jalan atau dihantar ke rumah anak yatim. Bagi bayi yang lebih bernasib baik seperti Adriana, mereka akan dijadikan hadiah kepada pegawai tertinggi pemerintah atau penyokong kuat kerajaan ketika itu.

Tujuan semua tindakan kejam itu hanya satu - menghilangkan gerakan penentang dengan memadamkan terus satu generasi individu yang mampu menjatuhkan pemerintahan Videla. Bayi seperti Adriana pula diselamatkan dengan harapan agar mereka membesar dalam suasana yang baru, dapat akur dengan segala tindakan yang dilakukan rejim junta tentera.

Penubuhan persatuan wanita penentang kekejaman rejim

tunjuk perasaan abuelas

Berikutan tindakan melampau yang dilakukan, sekumpulan wanita yang kehilangan ahli keluarga mula melancarkan protes jalanan di Buenos Aires. 

Digelarkan' perempuan gila' oleh wakil kerajaan, kumpulan ini yang dinamakan sebagai 'Las Locas de Plaza de Mayo' mula berusaha mendesak pemerintah ketika itu supaya menghentikan semua tindakan penghapusan golongan tertentu.

Kumpulan wanita yang lebih dikenali dengan nama gelaran mereka 'Abuelas' mula mencari rekod-rekod berkenaan bayi-bayi yang diculik, ditinggalkan atau dihadiahkan pada anggota pemerintah kerajaan. Usaha yang dimulakan sejak tahun 1977 tidak pernah berhenti sehingga kini.

Mempercayai lebih 500 bayi yang telah hilang, mereka bekerjasama dengan banyak pihak khasnya pakar-pakar forensik  dalammendapatkan rekod berkenaan wanita yang telah bersalin semasa tahanan junta tentera. Abuelas juga berjaya menubuhkan sebuah bank data genetik individu-individu yang telah diculik atau dibunuh semasa pemerintahan junta tentera, bagi membolehkan waris mereka mempelajari siapa ibu bapa kandung mereka sebenar - sekiranya waris itu ditemui.

Bagi menimbulkan kesedaran pada orang ramai agar lebih peka tentang identiti sebenar masing-masing, kumpulan wanita ini memperkenalkan kempen yang dinamakan sebagai 'vos sabes quien sos' atau 'adakah anda tahu siapa diri anda yang sebenar?' bagi membolehkan individu yang tertanya-tanya, berani mengorak langkah pertama menghubungi mereka.

Berakhirnya pemerintahan diktator

raul alfonsin presiden argentina

Pemerintahan junta tentera akhirnya ditumbangkan pada tahun 1983. Majoriti pegawai tentera yang bertanggungjawab terhadap kekejaman yang telah berlaku dihadapkan ke mahkamah, di bawah kerajaan baru pimpinan Raul Alfonsin. Alfonsin menjadi presiden Argentina pertama dipilih melalui sistem demokrasi.

Perbicaraan mahkamah yang dijalankan bermula pada bulan April tahun 1985. Pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan 709 pendakwaan, namun hanya 280 kes sempat dibicarakan melibatkan penculikan, penyeksaan dan pembunuhan hampir 30,000 orang individu kesemuanya. Walaupun demikian, usaha itu tetap  mendapat tentangan apabila kerajaan Alfonsin tetap berdepan dengan tentangan daripada penyokong junta tentera yang mahu melengahkan perbicaraan.

29 ancaman pengeboman sekolah dan beberapa siri letupan melibatkan bangunan kerajaan memaksa Presiden Alfonsin mengisytiharkan darurat selama 60 hari. Dugaan yang dihadapi bagaimanapun tidak menghalang pihak mahkamah mensabitkan kesalahan pada Jeneral Jorge Videla. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan yang dilakukannya.

Diktator kejam dibebaskan?

videla tua di mahkamah

Malangnya selepas menjalani hukuman selama 5 tahun, Presiden Argentina selepas Alfonsin, Carlos Menem memberikan keampunan pada sebahagian besar anggota tentera yang terlibat dalam pemerintahan junta tentera termasuklah Videla.

Hanya pada tahun 1998, Videla kembali ditahan selepas didapati bersalah dan perlu bertanggungjawab dalam beberapa insiden penculikan bayi. Videla kembali menghadiri perbicaraan atas jenayah yang telah dilakukannya.

Hanya pada tahun 2010 Videla berjaya direkodkan pengakuannya, mengaku bertanggungjawab atas segala kekejaman yang telah dilakukan oleh anggota tentera semasa zaman pemerintahannya. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 50 tahun pada Julai 2012, atas dakwaan menculik lebih 400 orang bayi.

Videla meninggal dunia dalam penjara pada bulan Mac 2013, semasa tidur akibat pendarahan dalam badan selepas terjatuh dalam bilik air. 

adriana tahu identiti sebenar

Sehingga kini, usaha Las Locas de Plaza de Mayo untuk membetulkan semua kesilapan yang dilakukan Videla berdepan kesukaran.

Dianggarkan tidak sampai separuh bayi yang telah diculik oleh pemerintahan Videla berjaya dikenal pasti. Usaha untuk terus memujuk orang ramai supaya berani melakukan ujian DNA berdepan rintangan yang agak tinggi - kerana tidak ramai individu yang telah diculik sedar sejarah sebenar identiti mereka.

Adriana menjadi bayi yang ke 126 berjaya ditemui. Ini bermakna masih ada ratusan lagi individu di Argentina, yang membesar tanpa mengetahui siapa sebenarnya diri mereka sendiri.



Hakcipta iluminasi.com (2017)