Mesyuarat persidangan video menerusi platform Zoom itu menempatkan lebih 40 peserta. Kesemuanya rekrut baru sebuah firma rekaan grafik bercirikan dinamik dan bertenaga; dinamakan Madbird.

Madbird divisikan bakal membawa perubahan kepada industri rekaan dan grafik oleh pengasasnya, seorang lelaki bernama Ali Ayad.

Kata-kata semangat diucapkan Ali bagi memberikan inspirasi kepada kumpulan pekerja Madbird yang baru dilantik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang kumpulan pekerja Madbird itu tidak sedari, beberapa orang di kalangan peserta mesyuarat itu hanyalah akaun-akaun palsu yang direka menggunakan wajah individu lain, diambil kebanyakannya daripada capaian portal Linkedin.

Inilah kisah bagaimana Ali Ayad mencipta sebuah firma rekaan grafik yang mampu mengambil lebih 50 orang pekerja dalam tempoh hampir 6 bulan melakukan semua arahannya, sebelum tembelangnya pecah.

Madbird sebenarnya tidak wujud.

Scam baru zaman pandemik

mesyuarat maya melalui aplikasi zoom

Keperluan pekerjaan dalam era pandemik cukup mencabar bagi sesetengah pihak.

Bagi individu seperti Chris Doocey, seorang pengurus pemasaran berusia 27 tahun dari Manchester yang hilang pekerjaan, dia menerima tawaran dari Madbird untuk memulakan karier baru di sana. Selain Doocey, seorang lagi pegawai pemasaran bernama Jordan Carter berusia 26 tahun memulakan kerjaya di bawah Doocey.

Kedua-duanya bersama pasukan pemasaran dalam Madbird bekerja dari rumah sepenuhnya, atas arahan Ali ketika era pandemik.

Tidak ada apa-apa yang aneh tentang Madbird pada awalnya. Doocey dan Carter bersama lebih 50 orang yang terlibat membentuk bahagian pemasaran, rekaan dan pengurusan, sama-sama bertanggungjawab melaksanakan semua usul hari ke hari Madbird dari rumah.

Mereka berhubungan secara rasmi menggunakan emel dan jika ada perbincangan perlu dilakukan, mesyuarat dikelolakan melalui aplikasi Zoom.

Bagi mereka yang baru menyertai Madbird yang berpusat di London, kecergasan Madbird yang telah dibuka lebih satu dekad berkembang memang mengagumkan.

Mensasarkan untuk menjadi firma rekaan global, Madbird di bawah kendalian pengasasnya Ali Ayad mula melantik pasukan pemasaran di Qatar, Uganda, India, Afrika Selatan, Filipina dan beberapa negara lagi untuk meluaskan pengaruh. Setiap mesyuarat yang diatur mempunyai feel antarabangsa.

Sebagai insentif, Ali turut menjanjikan kepada mana-mana pekerja yang layak dan mematuhi syarat ditetapkan peluang untuk bertugas di ibu pejabat Madbird di London, dengan tajaan visa dan tiket penerbangan. Bagi individu pekerja dari negara membangun, itu satu tawaran yang cukup lumayan.

Semuanya tampak menarik, tetapi kita belum hadir ke bahagian penamatnya. Ingat, ini kisah scammer.

Pengasas syarikat yang tinggi pesona dan penuh karisma

ali ayad foto instagram

Walaupun tiada di antara kumpulan pekerja yang dilantik mengenali Ali Ayad sebelum menyertai Madbird, semakan ke atas akaun Linkedin miliknya cukup untuk meyakinkan sesiapa saja.

Ali merupakan seorang pereka kreatif di Nike, pernah berkhidmat dengan beberapa firma rekaan besar dalam bidang fesyen. Selain itu dalam rekodnya, Ali turut sama-sama berkhidmat dengan Dave Stanfield - seorang lagi pengasas Madbird, ketika keduanya bekerja dengan label fesyen terkenal Oregon di Amerika Syarikat.

Hasil pengalamannya bergelumang dalam industri, Ali mampu memukau sesiapa saja.

Tutur katanya jelas dan yakin. Dia bijak memujuk dan meyakinkan orang lain. Tiga orang calon pekerja Madbird berjaya diyakinkan untuk berhenti kerja dan berhijrah ke Madbird hanya disebabkan kata-kata Ali yang meyakinkan.

Untuk beberapa bulan, Madbird bergerak lancar.

Semua projek yang dibawa masuk pasukan pemasaran mula diterjemahkan ke dalam bentuk rekaan dan laman web oleh pasukan rekaan dan grafik. Disebabkan terlalu banyak projek dalam proses, Madbird terpaksa menambah lagi jumlah pereka yang digajikan dibimbangi akan terlepas tarikh penghantaran.

Semua aktiviti ini meyakinkan mereka yang berkhidmat, walaupun hanya bersua muka dalam video.

Apa yang anda sebagai pembaca perlu tahu - semua pekerja yang bertugas di Madbird, baik bahagian pemasaran atau rekaan sebenarnya bekerja tanpa mendapat sebarang imbuhan.

Sejak mula, mereka telah bersetuju untuk berkhidmat sedemikian rupa kerana setiap pekerja hanya ditawarkan satu bentuk kontrak aneh; kerja dahulu dan dapat gaji kemudian.

Hidup terdesak, menyebabkan pekerja mudah ditekan

kerja dari rumah

Kesemua pekerja bekerja secara jarak jauh dengan Madbird, ditawarkan kontrak awal berasaskan komisyen di mana mereka hanya akan dibayar peratusan komisyen daripada kontrak yang telah selamat dipenuhi, untuk 6 bulan pertama kerja.

Hanya selepas 6 bulan itu selesai dan mereka melepasi tahap percubaan, barulah mereka akan diberikan gaji pada kadar permulaan sekitar £35,000 (RM196,325) setahun.

Majoriti yang dilantik bersetuju untuk menerima tawaran tersebut kerana sudah terdesak. Apatah lagi ramai antara mereka masih muda, bergelut dengan pandemik di mana pekerjaan sukar hadir, melainkan dalam bidang yang benar-benar ketara keperluannya.

Bagi menampung hidup sambil menunggu 6 bulan percubaan itu tamat, kebanyakan pekerja menyara diri menggunakan kad kredit atau meminjam dengan keluarga. Majoritinya berharap semua projek yang telah mereka dapatkan atau laksanakan bakal membawa pulangan besar kepada mereka.

Atas sebab itulah, tidak ramai yang memilih untuk meninggalkan Madbird walaupun tidak dibayar sesen pun untuk beberapa bulan. Komisyen yang dijanjikan diyakini akan hadir kerana banyak kerja telah terlaksana. Pengurusan Madbird juga sering mengumumkan berita gembira berkenaan banyak kontrak baru yang telah ditandatangani, hasil penat lelah pasukan pemasaran.

Sehinggalah pada satu hari, seorang pereka yang mula curiga menemui petunjuk mereka sedang dipermainkan di Madbird oleh pengasasnya.

Kantoi busuk semuanya scam

gemma brett madbird syarikat tipu

Gemma Brett seorang pereka yang ketika itu baru 2 minggu berkhidmat dengan Madbird.

Menetap di bahagian timur London, Gemma mula mencongak bagaimanakah perjalanannya di masa akan datang untuk hadir ke pejabat Madbird, sekiranya mereka mula diarah hadir bekerja di pejabat.

Melakukan carian di Google, Gemma mendapati alamat pejabat Madbird yang diwar-warkan sebenarnya sebuah apartment yang terletak di Kensington, London. Bagi mengesahkan cariannya, Gemma menghubungi ejen hartanah di sana yang mengesahkan semua unit di sana adalah unit jenis kediaman.

Tidak ada unit untuk pejabat. 

Gemma terus ke 'pejabat' yang dikatakan wujud bagi menyiasat. Pihak pengurusan bangunan itu mengakui tidak wujud individu bernama Ali Ayad yang duduk di sana ataupun kewujudan firma rekaan grafik antarabangsa yang beroperasi di alamat itu.

Mula curiga, Gemma berkongsi penemuannya dengan seorang lagi pekerja bernama Antonia Stuart, yang ketika itu sedang sibuk menguruskan perkembangan Madbird di Dubai, melalui beberapa lantikan wakil pemasaran di sana.

Kedua-duanya mula melakukan carian-carian di internet dan mendapati portfolio Madbird yang digunakan untuk persembahan kepada bakal pelanggan, adalah hasil curian katalog kerja syarikat-syarikat lain dari internet. Carta organisasi Madbird juga adalah carta yang diilhamkan dari sebuah syarikat berbeza.

Beberapa orang individu yang dikatakan duduk dalam pengurusan senior Madbird, sebenarnya merupakan individu tidak berkait yang gambar mereka dicuri dan dipalsukan, untuk mencipta akaun-akaun di Linkedin, Zoom, Instagram dan sebagainya atas nama berbeza.

Antara individu yang gambar mereka dicuri guna melibatkan seorang doktor dari Lubnan, seorang pelakon dari Sepanyol dan seorang pempengaruh dari Itali yang didakwa Madbird berkhidmat sebagai pereka, pengurus perkembangan perniagaan dan juga pengurus pemasaran.

Lebih mengejutkan, 'pengasas bersama' Madbird iaitu Dave Stanfield yang sering dirujuk-rujuk oleh Ali Ayad sebagai individu kedua terpenting agensi dan orang paling dipercayainya, adalah wajah seorang lelaki bernama Michal Kalis seorang penternak lebah di Austria.

Dengan bukti yang ada, Gemma dan Antonia bertindak menghantarkan emel kepada semua pekerja dengan menggunakan nama samaran; menggariskan empat dakwaan utama terhadap Madbird - memalsukan pasukan pekerja, memalsukan portfolio dan senarai pelanggan, memalsukan projek yang pernah disertai dan memalsukan alamat pejabat yang sebenarnya sebuah kediaman.

Pendedahan yang menggoncang keyakinan pekerja

emel madbird syarikat tipu palsu

Reaksi emel yang mendedahkan perkara itu sudah pastilah sukar diterima, apatah lagi Madbird sedang aktif berkembang ke pelusuk dunia - menyebabkan ramai di antara pekerja yang belum pernah mendapat gaji terduduk.

Siasatan lebih mendalam oleh pihak BBC selepas emel Gemma dan Antonia itu tersebar, menemui skim penipuan lebih lanjut - semua portfolio yang dikatakan telah dikumpul Madbird selama lebih 10 tahun dalam industri disahkan palsu, kerana Madbird sendiri baru saja didafaftarkan sebagai syarikat pada tahun 2020. 

Pengalaman kerja bersama Nike sebagai pereka kreatif yang disebutkan Ali Ayad? Itu juga palsu. Semua yang mereka tahu tentang Ali termasuklah semua kelulusan pendidikan dan pengalaman kerja gemilang - semua itu juga didedahkan palsu.

Ekoran pendedahan demi pendedahan, kumpulan pekerja mula secara terbuka mempersoalkan Ali menerusi emel disebabkan tiada lagi pertemuan menerusi Zoom diaturkan. 

Dalam emel terakhir Ali yang dihantarkan kepada semua pekerja Madbird, dia menyatakan rasa terkejut dengan semua dakwaan yang diperkatakan dan berjanji tidak akan berdiam diri, akan menyiasat kebenaran sebenar ke atas semua dakwaan yang disenaraikan dalam emel itu.

Itulah kali terakhir kumpulan pekerja yang berkhidmat dengan Madbird selama lebih 5 bulan mendapat berita terkini dari majikan mereka.

Ali Ayad kemudiannya menghilangkan diri, tidak lagi boleh dihubungi. Laman web rasmi Madbird tidak lama selepas itu sudah tidak lagi beroperasi dan akaun utama Linkedin Ali Ayan yang penuh dengan portfolio hebat, tidak lagi boleh ditemui.

Masih lagi tidak mahu mengaku salah

ali ayad pengasas syarikat scam madbird

Selepas kumpulan pekerjadapat menerima hakikat mereka telah menjadi mangsa tipu, mereka mula menyedari tidak banyak yang dapat mereka lakukan disebabkan kontrak yang telah mereka tandatangani.

Masa mereka telah habis, tenaga mereka telah dibuang, habuan yang dijanjikan rupa-rupanya hanyalah ilusi kontang. Wartawan BBC berjaya menjejaki Ali Ayad ketika dia sedang berjalan di London pada bulan Oktober tahun 2021.

Apabila disoal adakah dia rasa bersalah dengan penipuan yang dia lakukan, jawapannya mudah;

"Apa yang saya tahu saya telah cuba mencipta peluang untuk orang ramai menjana pendapatan, pada waktu pandemik."

Tidak banyak dapat diselidik wartawan ketika itu ekoran sikap Ali yang tidak mahu memberikan kerjasama.

Ali cuba dihubungi melalui emel dan dia membalasnya. Dalam emel balas kepada pihak BBC, Ali mengakui ada beberapa dakwaan yang dibawa naik dalam emel itu benar tetapi dia tidak memberikan perincian dengan tepat.

Itulah kali terakhir Ali Ayad, pengasas firma rekaan Madbird - sebuah agensi rekaan antarabangsa palsu berjaya dihubungi.

Tidak ada siapa tahu apakah tujuan sebenar Ali bertindak sedemikian rupa.

Ada yang berpendapat Ali benar-benar mengharapkan agensi yang bermula dengan cara menipu itu, boleh berkembang sehingga mampu benar-benar menggajikan pekerja secara sah sekiranya semua kontraknya berjaya dipenuhi.

Ada juga yang merasakan dia hanyalah seorang penipu yang mahu merasai pengalaman menjadi seorang majikan dan pengasas syarikat yang disegani.

Walaupun ada banyak persoalan, hanya Ali Ayad mampu menjawab semua yang dipersoalkan.

Dalam era di mana sebuah syarikat mampu dioperasikan dari jarak jauh tanpa perlunya organisasi tadi duduk setempat - nasihat kami untuk anda berdasarkan kisah 'jatuh bangun' Madbird, adalah supaya anda berhati-hati.

Pengajaran utamanya yang boleh kita ambil, seandainya anda ditawarkan peluang pekerjaan dan diminta bekerja di rumah dalam jarak jauh - cubalah semak dahulu di manakah sebenarnya majikan anda beroperasi.

Silap-silap berbulan anda bekerja, anda tak akan dibayar gaji.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Jobfished: the con that tricked dozens into working for a fake design agency yang diterbitkan pada 21 Februari 2022.




Hakcipta iluminasi.com (2017)