kristian sin eater

Ramai di antara kita melihat kerja yang kita ada sebagai satu beban yang tidak berbaloi dilakukan, sekiranya dibandingkan dengan pendapatan yang kita terima. 

Tetapi dalam era moden ini, seburuk-buruk mana pun pekerjaan anda - tahap keburukannya itu sukar untuk menandingi jawatan-jawatan penting dalam masyarakat, memainkan peranan besar bergantung kepada tugas yang disandang.

Berikut adalah lima jawatan penting paling buruk pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia, yang mampu membuatkan anda bersyukur anda ada kerja.

1. Tukang kejut orang bangun pagi

knocker uppers kerja kejut orang

Kita mulakan dengan kerja paling mudah dan kurang memalukan, kerana memberikan faedah kepada semua. Pernahkah anda terfikir bagaimana masyarakat zaman dahulu, sebelum wujudnya jam loceng membangunkan diri mereka dari tidur khasnya semasa zaman perindustrian?

Bagi menyelesaikan masalah ini, masyarakat di Britain khasnya melantik individu yang akan hadir dari rumah ke rumah mengetuk pintu bermula jam 5 pagi. Namun bunyi bising yang terhasil mengganggu jiran-jiran yang bersebelahan jadi semua petugas ini akan dibekalkan satu alat berupa kayu dengan bongkah kayu dihujungnya. 

Dengan kayu itu, mereka boleh mengetuk tingkap individu yang perlu dibangunkan secara spesifik. Pekerjaan itu mula digelar sebagai 'knocker-upper', yang terus ditagih khidmatnya sehingga era 1970-an sebelum penggunaan jam loceng benar-benar menjadi satu perkara biasa.

2. Tukang pusing kipas bangsawan

punkah wallah

Walaupun sudah mula bertugas sebelum era kolonial British di India, tugas seorang tukang pusing kipas atau punkah wallah benar-benar meledak semasa negara itu dijajah.

Ini disebabkan oleh kemanjaan pegawai-pegawai kolonial British yang merasa kurang selesa dengan cuaca panas di India - menyebabkan mereka perlu ada sistem kipas automatik sendiri.

Kipas yang diperbuat daripada buluh itu memerlukan seseorang menggerakkannya - yang biasanya digajikan untuk tugas ini adalah individu dari kasta rendah. Mereka yang terpilih akan bertugas sepanjang hari mengendalikan dua tali yang terpasang pada kipas itu, bertanggungjawab menggerakkan tali itu agar kipas yang dipasang berayun.

Bagi memastikan suasana sentiasa nyaman, setiap bilik pegawai kolonial British dipasang 'punkah' sendiri dan punkah wallah akan bergerak dari satu bilik ke satu bilik untuk memastikan keselesaan majikan mereka terjaga.

3. 'The Whipping Boy'

whipping boy

Golongan bangsawan Eropah satu ketika dulu, berhadapan kesukaran dalam mendidik dan membentuk kelakuan serta akhlak anak-anak raja bertaraf putera. Mereka tidak boleh dihukum, tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu diajar tentang kepentingan disiplin. 

Untuk membolehkan masalah ini, kelahiran putera dalam keluarga monarki memerlukan mereka mencari seorang teman sebaya sama jantinanya - bakal dibesarkan beriringan dengan putera raja tersebut hanya untuk satu tujuan; dijadikan pengganti tubuh putera itu.

Setiap kali putera raja itu melakukan kesalahan yang perlu dihukum oleh penjaga atau gurunya, 'kembarnya' itu akan mengambil alih tugas menerima hukuman tersebut. 'Whipping boy' ini biasanya datang dari keluarga susah yang sudi memberikan anak mereka kepada pihak istana, agar anak itu beroleh hidup lebih selesa.

Putera raja dan temannya itu dibesarkan bersama-sama, dibiarkan rapat, bagi membentuk hubungan emosi antara kedua-duanya. Diharapkan, apabila putera raja itu melihat teman karibnya itu sakit menahan hukuman yang sepatutnya untuk dirinya - dia akan sedar kesilapan yang telah dilakukan serta tidak akan mengulanginya.

4. Groom of the stool

groom of the stool

Jawatan ini terlalu penting, sehingga nama jawatan itu sendiri diiktiraf sebagai 'The Groom of the Stool' atau dalam erti kata lain tukang urus najis raja. Seorang Groom of the Stool atau GOTS ini bertanggungjawab membuka pakaian raja setiap kali raja perlu membuang air. 

Selepas selesai urusan raja itu, GOTS bukan saja perlu membersihkan semua bahan buangan yang telah selamat dikeluarkan daripada tandas mudah alih yang digunakan ketika itu - bahkan ada GOTS yang dikatakan turut memainkan peranan memeriksa tahap kebersihan lubang dubur raja agar kesihatan raja terpelihara.

Berbeza dengan jawatan-jawatan lain dalam senarai ini, seorang GOTS dipilih daripada individu-individu bangsawan disebabkan oleh kerahsiaan tugas yang perlu dijaga. Seorang GOTS dikatakan rapat dengan raja, jadi jawatan ini menjadi rebutan mereka yang mahu membina pengaruh dan hubungan dengan pemegang kuasa.

Individu terakhir yang dipercayai memegang jawatan ini, adalah James Hamilton, Duke ke-2 Abercorn di England yang berkhidmat kepada Raja Wales, sekitar awal abad ke 20.

5. Tukang makan dosa orang lain

sin eater kepercayaan kristian lama

Apa pekerjaan yang lebih teruk berbanding pemeriksa punggung raja? Seseorang yang sanggup menanggung semua dosa orang yang telah meninggal dunia, hanya kerana mahu mendapat upah.

Digelarkan sin-eater, individu-individu yang bergerak secara bebas ini mula popular semasa ritual pengebumian di Eropah sekitar abad ke 18 dan 19 - disebabkan oleh kepercayaan masyarakat Kristian terdahulu yang yakin kesalahan dan dosa seseorang yang telah mati boleh dipindahkan kepada orang yang sanggup, membolehkan si mati mendapat balasan syurga.

Keluarga si mati akan meletakkan roti di atas dada dan minuman di sebelah tubuh, yang akan menyedut semua perkara tidak elok dari si mati sebelum dikebumikan.

Roti itu kemudiannya akan dimakan oleh individu sin-eater, menandakan peralihan dosa itu telah selesai dan seorang sin-eater akan meneruskan hidupnya bersetuju menanggung beban kesalahan tersebut kesemuanya. Perkhidmatan ini akhirnya pupus tidak lagi diperlukan, ekoran kesedaran orang ramai tentang kesilapan ritual yang mereka jalankan.

Seorang lelaki bernama Richard Munslow menjadi sin-eater profesional terakhir meninggal dunia pada tahun 1906. Munslow bertindak nekad menceburi bidang tersebut selepas terpaksa berhadapan kematian 3 orang anaknya serentak, semasa wabak pertussis (batuk berbunyi) melanda Eropah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)