Astro Awani melaporkan pada 10 Oktober 2017 berkenaan isu sektor pekerjaan paling berkemungkinan besar membuang pekerjanya, yang kini bukan sahaja melanda dunia bahkan turut berlaku di negara kita.

Menurut laporan Persekutuan Majikan Malaysia atau MEF melalui Datuk Shamsuddin Bardan, MEF telah mengeluarkan amaran berkenaan isu ini yang melibatkan tiga sektor iaitu sektor pembuatan, peruncitan dan sektor kewangan - kerana berlakunya proses automasi pekerja dalam skala besar-besaran, tidak lagi memerlukan tenaga manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

robot kecil bertarung

Dilaporkan juga pada tahun 2015, 44,000 orang pekerja telah pun diberhentikan di seluruh dunia dan 18,000 daripadanya adalah pekerja dalam sektor perbankan.

Jumlah itu meningkat bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun 2017 apabila seramai 40,000 orang pekerja telah diberhentikan dan lebih 17,000 orang telah pun dibuang pekerjaannya.

Menurut laporan oleh Oxford University yang diterbitkan pada tahun 2013, mereka menyenaraikan 702 pekerjaan yang selalu kita dengari dan mengkelaskannya mengikut risiko-risiko digantikan dengan automasi.

Melalui kajian itu, berikut adalah 6 pekerjaan paling tidak selamat untuk tempoh 5 tahun akan datang :

Pekerjaan paling berisiko akan diautomasi

1. Telemarketer (99% akan mengalami automasi)

2. Pegawai pinjaman bank (98% akan mengalami automasi)

3. Juruwang (97% akan mengalami automasi)

4. Paralegal dan pembantu peguam (94% akan mengalami automasi)

5. Pemandu teksi (89% akan mengalami automasi)

6. Tukang masak restoran makanan segera (81% akan mengalami automasi)

Lima pekerjaan paling kurang berisiko

1. Pembantu sosial wad sakit mental dan pemulihan dadah(0.3%)

2. Penasihat kerjaya (0.35%)

3. Pakar diet dan permakanan (0.39%)

4. Doktor dan pakar bedah (0.42%)

5. Pakar berkaitan ilmu agama (0.81%)

Bagaimana dengan risiko kerjaya anda?

robot kerja kilang

Untuk mengetahui adakah pekerjaan anda berisiko, pekerjaan-pekerjaan kebiasaannya adalah pekerjaan yang mempunyai rutin yang sama perlu dilakukan berulangkali.

Sebagai contoh, industri 'telemarketing' tidak memerlukan banyak variasi pada rutin harian pekerja.

Begitu juga pengadil perlawanan misalnya yang berkemungkinan besar boleh digantikan dengan mesin-mesin pengimbas dan kamera berkelajuan tinggi yang mempunyai kadar ralat lebih rendah, seperti sistem VAR atau Eagle Eye.

Jika kita ke sesetengah pusat membeli belah kita sudah pun mempunyai kaunter khas layan diri di mana kita sendiri mengimbas dan membayar jumlah yang perlu kita bayar.

Konduktor bas juga sudah kurang kelihatan malahan sistem MRT di negara kita juga menggunakan sistem tanpa pemandu.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, jelaslah pekerjaan yang memerlukan seseorang pekerja itu mengulangi tabiat dan rutin yang sama setiap hari mempunyai risiko diautomasi lebih pantas berbanding sektor lain.

Pekerjaan yang kebal daripada automasi

manusia diganti pekerja robot

Ada 3 jenis pekerjaan yang dikatakan sukar untuk diautomasikan.

Yang pertama adalah pekerjaan yang memerlukan kreativiti tulen seperti seorang artis, seorang saintis atau seseorang yang mampu mencipta pelan perniagaan yang baru.

Yang kedua, adalah pekerjaan yang memerlukan sentuhan manusia.

Jururawat, doktor dan pekerja sosial adalah antara pekerjaan yang berkemungkinan besar akan terus memerlukan peranan manusia dalam memastikan pelanggan atau pesakit mendapat layanan yang terbaik.

Ketiga adalah pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan kemahiran spesifik pada waktu-waktu tertentu, seperti tukang paip atau tukang baiki peralatan elektronik.

Mampukah anda kekal relevan?

lelaki bersama komputer riba

Apa yang kami boleh katakan di sini, zaman di mana seseorang itu mampu hidup hanya dengan bergantung kepada satu kemahiran sudah berakhir.

Apa yang perlu anda buat adalah memperlengkapkan diri anda dengan beberapa kemahiran yang mampu menjana pendapatan kepada anda sebelum zaman automasi dalam industri benar-benar tiba.

Menurut kajian World Economic Forum, dalam tempoh 2015 hingga 2020 dianggarkan 5 juta orang akan hilang pekerjaan kerana digantikan dengan mesin.

Para penyelidik dalam isu berpendapat, sehingga tahun 2020 trend pekerjaan yang berlaku bukan sepatutnya dipandang sebagai satu fasa di mana orang ramai hilang pekerjaan.

Sebaliknya perlu dilihat sebagai satu fasa di mana berlakunya penempatan semula individu-individu berkemahiran dalam pekerjaan baru yang akan memudahkan lagi proses automasi pekerja dilakukan.

Persoalannya, sudahkah anda bersedia jika anda sendiri tergolong dalam pekerjaan berisiko diautomasikan?

Mampukah anda ditempatkan semula dalam industri berbeza yang memerlukan tahap kepakaran berlainan dengan karier biasa anda?

Rujukan

Oxford Martin School

Guardian UK




Hakcipta iluminasi.com (2017)