joel willie ben taylor scammer

Seperti hari-hari biasa, Joel Willie duduk di hadapan komputer cuba mencari mangsa yang dapat menghulurkan bantuan kewangan kepadanya.

'Hello. Nama saya Joel dari Liberia. Saya perlukan bantuan anda untuk membantu saya memulakan perniagaan atau derma bagi memudahkan penghidupan saya,' tulis Joel.

Mesej itu sudah berkali-kali dihantar melalui Facebook Messenger namun dek kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan warga Afrika, balasannya semakin jarang diterima.

Salah seorang penerima mesej itu adalah Ben Taylor, seorang pegawai pemasaran berusia 32 tahun dari Utah, Amerika Syarikat.

Pada awalnya Ben hanya membalas mesej Joel dengan penuh rasa sarkastik, nak melayan kerenah lelaki yang dia dah sangkakan sejak mula akan cuba menipu.

'Bagaimana boleh saya tolong?' balas Ben. Siapa sangka balasan itu akan memulakan persahabatan yang sangat indah pengakhirannya.

'Scammer' mula bekerja

gambar kabur ditangkap joel willie

Gembira mendapat balasan, Joel memulakan perbualan.

'Boleh tak awak membantu saya? Saya ada pembeli barang elektronik yang beroperasi di New Jersey. Awak hantarkan barang terpakai kepada mereka, keuntungan yang kita dapat kita akan bahagi dua?'

Ayat seperti itu sudah biasa kita dengari bukan? Itu standard modus operandi penipu dari benua Afrika.

Skeptik sejak mula, Ben membalas dengan niat hanya nak mempermainkan 'Joel Willie' yang berani menghubunginya.

Dia menolak permintaan Joel, tetapi Ben menipu memperkenalkan dirinya sebagai seorang pemilik studio fotografi dan berharap agar Joel pula yang dapat membantunya dengan cara berbeza, bagi menjana wang.

Dia mahu Joel membantu menangkap gambar matahari terbenam di Liberia.

Joel mula berbincang soal bayaran. Ben yang hanya ingin bergurau dengan 'penipu' itu menyatakan persetujuan tugasan itu akan dibayar.

Matahari terbenam yang kabur

gambar matahari terbenam joel willie

Gambar pertama dikirim Joel

Keesokannya selepas perbualan itu, Ben terkejut benar-benar menerima beberapa keping gambar matahari terbenam yang ditangkap menggunakan telefon kamera lama.

Gambarnya kabur, kualitinya juga teruk tidak fokus.

Joel menjelaskan dia boleh menangkap gambar yang lebih elok sekiranya ada peralatan kamera yang lebih baik.

Bagi kebanyakan orang, kita tidak lagi akan meneruskan perbualan pada tahap itu tetapi Ben memilih untuk cuba memberikan kerjasama untuk melihat apa akan berlaku.

Dia bersetuju memenuhi permintaan Joel. Selepas berjaya mendapatkan alamat Joel di Liberia, Ben menghantar sebuah kamera paling murah yang mampu diperolehi.

Kos penghantarannya dari Utah ke Liberia saja sudah menyamai kos kamera itu iaitu $60.

Ben tidak berharapan besar perbualan mereka akan berterusan kerana dia tahu kebiasaannya penipu-penipu ini akan diam apabila dah dapat apa yang mereka hajati.

Untungnya, Joel bukanlah penipu biasa.

Mula menjadi jurufoto amatur

pemandangan perumahan slum liberia

Selepas Joel menerima bungkusan tersebut, dia kembali menghubungi Ben menyatakan persetujuan untuk meneruskan kerjasama 'perniagaan' mereka dan menantikan tugasan seterusnha.

Ben yang masih dalam berniat hendak mempermainkan Joel meminta 20 keping gambar kehidupan masyarakat Liberia.

Seminggu kemudian, 20 keping gambar yang diminta hadir ditangkap menggunakan kamera yang dihantar Ben. Ben meminta 20 keping gambar tambahan dan Joel berusaha mendapatkan gambar terbaik yang boleh diambil.

Situasi ini menyebabkan Ben mula menyedari satu perkara - sekiranya dia terus mempermainkan Joel dengan tugasan-tugasan tersebut tanpa benar-benar membayar servis yang sudah dilakukan oleh Joel, itu akan membuatkan Ben adalah penipu sebenar dalam 'kerjasama' mereka.

Akhirnya, Ben yang sejak mula hanya berniat hendak mencari jalan menipu Joel, hendak tak hendak terpaksa mencari jalan untuk membayar khidmat fotografi yang sudah dibuat lelaki Liberia itu.

Menerbitkan kompilasi foto pertama

gambar kehidupan di monrovia

Ben memilih untuk menerbitkan kompilasi gambar yang sudah ditangkap Joel, melalui buku berjilid yang diberikan judul By D Grace of God.

Judulnya diambil daripada sumpah Joel semasa perbualan mereka sebelum itu apabila disoal adakah dia sedang cuba menipu.

Melalui platform Indiegogo, Ben melakukan jualan buku foto 16 halaman itu pada harga $8.

Dia berjaya mendapat kutipan lebih $1000 (RM4,200) menghubungi Joel dengan tawaran $500 sebagai bayaran upah.

Ben memberi Joel pilihan keseluruhan amaun yang diperolehi, tetapi meletakkan syarat baki $500 perlulah didermakan kepada masyarakat susah di sekitar kawasan perumahannya yang terletak di daerah Monrovia.

kanak kanak yang dibantu joel willie

Joel menyatakan persetujuan namun Ben masih lagi menyimpan sangsi, mengandaikan Joel akan menyapu habis duit tersebut.

Sehinggalah pada satu hari Joel menghantarkan gambar dia bersama pelajar-pelajar sekolah dengan beg sekolah baru yang dibeli hasil jualan buku fotonya.

Menyedari dirinya perlu mula melihat semula apa yang berlaku secara serius, Ben melakukan satu tindakan nekad - dia terbang ke Monrovia bagi menemui lelaki Liberia itu secara berdepan.

Perkenalan yang akhirnya bertukar menjadi persahabatan

joel willie ben taylor scammer liberia 83

Tiba di Monrovia, Ben disambut Joel bersama isteri dan 7 orang anaknya.

Dalam pertemuan mereka, Joel menyatakan secara ikhlas sejak mula dia tidak berniat hendak menipu sesiapa.

Dia memang sering menghantar mesej kepada ramai pemilik akaun di Facebook bagi membolehkan dia mencari peluang perniagaan. Nasibnya baik Ben membalas mesejnya walaupun sejak mula hanya untuk mempermainkan dirinya.

Kehidupan di Monrovia sukar dan usaha untuk membesarkan 7 orang anak dengan kemampuan kecil, memang menduga kehidupan Joel.

Jadi dia mencuba setiap hari mencari sesiapa saja yang sudi membantu. Sebab itulah dia serius dengan tugasan fotonya apabila Ben benar-benar menghantarkan kamera kepadanya.

Balasan mesej Ben dilihat sebagai satu peluang Joel mengubah hidupnya.

Jualan buku foto pertama Joel mencecah angka jualan lebih 8,000 unit, dipromosikan melalui media sosial sehingga mencapai kutipan $12,000.

joel willie berbincang dengan ben taylor

Meneruskan kerjasama, Ben dan Joel kembali dengan siri kedua buku foto mereka By D Grace of God - True Story setebal 60 halaman pada harga $10.

Dengan hasil jualan itu, Joel membayar bil elektrik sekolah berdekatan yang dipotong, mendapatkan guni pakaian terpakai untuk kanak-kanak di sana serta bekalan beras untuk banyak keluarga yang memerlukan.

Kini mereka berdua sudah mempunyai platform sendiri dalam internet untuk jualan, menawarkan buku foto hasil bidikan kamera Joel, t-shirt dan gelas minuman.

Kedua-duanya juga sudah mula memgembangkan perniagaan, menerbitkan buku daripada warga Afrika lain.

Ketika ini platform mereka sedang mempromosikan jualan buku ilustrasi seorang wanita dari Cameroon yang ingin menggunakan platform itu bagi menceritakan kisah hidupnya dan mengutip dana untuk pembedahan.

Siapa sangka - semua kerjasama dan persahabatan ini bermula hanya daripada satu gambar matahari terbenam yang kabur imejnya atas rasa ketidakpercayaan seorang individu kepada individu lain.

Ingat kisah ini setiap kali anda memasang niat hendak mempermainkan penipu-penipu dari Afrika yang menghubungi anda.

Mana tahu, anda akan menemui seorang rakan perniagaan yang boleh diyakini.



Hakcipta iluminasi.com (2017)