Semua orang mencari peluang untuk menjana pendapatan secara pasif, tanpa kita perlu melakukan sesuatu. 

Kebiasaannya majoriti orang memilih untuk melabur dalam saham bagi menghasilkan pulangan yang konsisten walaupun amaunnya mungkin tidak sebanyak yang kita harapkan. Tetapi bagi seorang lelaki di Calabria, Itali - dia berjaya menukarkan kerjayanya sebagai pendapatan pasif.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tak perlu melabur atau bekerja, lelaki ini dibayar gaji selama 15 tahun tanpa sehari pun dia hadir memerah keringat. Lebih unik, dia seorang penjawat awam!

Masalah pekerja malas sektor awam Itali

menteri kesihatan itali

Dakwaan berkenaan pekerja awam gemar mengamalkan curi tulang dan culas kerja memang kedengaran di majoriti negara dunia.

Di negara kita pun perkara sama kedengaran, sehinggakan ada pihak pengurusan perlu mewujudkan skuad pemantau yang ditugaskan meronda di kawasan beli belah, disebabkan oleh kes-kes penjawat awam gemar merayau pada waktu pejabat.

Masalah ini berlaku dalam skala yang agak teruk di Itali sehingga memerlukan campur tangan pihak polis, bagi membendung masalah ini. Isu berkaitan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan masalah disiplin yang gagal ditangani menjadi antara punca polis terpaksa dikerah menyiasat.

Situasi ini memuncak selepas siasatan pihak polis Itali yang dilaporkan pada tahun 2015 mendapati penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai kanan dalam jabatan awam, telah menyebabkan berlakunya penyelewengan tinggi. 

Daripada €4.6 billion jumlah kontrak yang dikeluarkan, sebanyak €1.5 billion didapati lesap dalam kes penipuan dan €2.6 billion lagi dibazirkan begitu saja, dilaporkan oleh agensi polis Itali The Financial Guard.

Campur tangan pihak Mafia dalam melindungi individu-individu korup dalam agensi awam menjadi punca utama masalah ini berlanjutan.

Semua laporan penyelewengan ini hanya mula didedahkan selepas Parlimen Itali berjaya meluluskan dasar yang digubal bagi mengawal kes-kes penipuan melibatkan jabatan kerajaan mereka pada tahun tersebut.

Susulan perubahan itu, gerakan memburu dan mendakwa pesalah mula giat dijalankan untuk beberapa tahun kebelakangan ini khasnya di kalangan penjawat awam.

Siapa sangka satu kes aneh berjaya dikesan mereka.

Petugas hospital yang ponteng dah 15 tahun!

penjawat awam itali ponteng kerja 15 tahun

Salah satu masalah yang cuba diperhalusi dan dirungkai dalam siasatan pihak polis berkait dengan pembaziran dana awam; adalah tentang masalah penjawat awam culas kerja. 

Tiada siapa menjangka polis berjaya menemui seorang penjawat awam yang memegang jawatan di Hospital Ciaccio yang terletak di bandar Catanzaro, Calabria telah pun ponteng kerja sejak tahun 2005. 

Jika anda rasa itu menghairankan - gaji dia selama tempoh tersebut berjalan dan dibayar penuh, tanpa masalah. Semuanya berlaku dengan secara tak sengaja disebabkan oleh kelemahan pentadbiran hospital itu sendiri. 

Pekerja itu ditukarkan ke hospital itu pada tahun 2005 namun mula menampakkan masalah disiplin khasnya berkaitan masalah kehadiran. Laporan telah pun dibuat terhadap isu tersebut mengakibatkan pengarah hospital memanggilnya, bagi mendapatkan penjelasan.

Namun apa yang berlaku sebaliknya pula - pekerja itu dilaporkan bertindak mengugut pengarah tersebut, yang mengakibatkan pengarah itu terpaksa mengambil jalan selamat melindungi dirinya - dia mendiamkan saja kes tersebut. 

Selepas persaraan pengarah tersebut - isu itu terus senyap tidak lagi dibangkitkan dan tiada rekod terhadap isu itu diserahkan untuk tindakan lanjut.

Dibayar lebih RM2.65 juta untuk goyang kaki

hospital itali calabria

Pekerja itu terus dengan tabiatnya hidup senang gaji jalan tanpa kerja dan 5 orang pengarah hospital selepas itu pun, langsung tidak mengetahui wujudnya pekerja itu dalam seliaan mereka.

Secara keseluruhan, lelaki itu dibayar sebanyak €538,000 atau sekitar RM2.65 juta dalam tempoh hampir 15 tahun 'perkhidmatannya,' dengan purata gaji bulanan sebanyak €2,980 sebulan atau RM14,720.

Dalam laporan polis yang baru dibuat pada penghujung bulan April tahun 2021, kes ini masih dalam siasatan dan suspek didakwa melakukan penipuan, pecah amanah dan juga telah melakukan ugutan terhadap penjawat awam lain. 

Media Itali menggelarkan dia 'Raja Ponteng Kerja Itali' kerana memegang rekod ponteng kerja paling lama dalam sejarah negara mereka.

Anda rasa ada tak di kalangan penjawat awam negara kita, yang ketika ini sedang melakukan taktik serupa tanpa dikesan? 

Rujukan

Italian hospital employee accused of skipping work for 15 years




Hakcipta iluminasi.com (2017)