bonnie and clyde 70k17

Anda mungkin pernah mendengar kisah asal mengenai Bonnie dan Clyde. Bonnie Elizabeth Parker dan Clyde Chestnut Barrow merupakan pasangan penjenayah Amerika yang terkenal semasa zaman Great Depression.

Mereka banyak melakukan jenayah dan sangat terkenal pada tahun 1931-1935. Walaupun mereka terkenal kerana merompak bank dan sebagainya, namun kisah percintaan mereka yang menjadi tumpuan akibat disensasikan oleh media Amerika.

Angela dan Michael

angela michael

Kini, mari kita kenali pula pasangan Bonnie dan Clyde moden iaitu Angela Greer dan Michael Tozer yang menipu orang ramai melalui perniagaan atas talian kerana tabiat berbelanja mewah mereka. Penyiasatan polis selama 6 bulan berjaya membongkar kegiatan jenayah mereka.

Angela Greer sememangnya seorang yang gemar akan kehidupan mewah. Wanita berusia 52 tahun itu sering tinggal di hotel-hotel mewah dan membeli barangan berjenama yang mahal. Akan tetapi, pada hakikatnya dia tidak bekerja langsung untuk menampung perbelanjaan besarnya itu.

Pihak polis mendakwa Greer dan teman lelakinya Michael Tozer telah menipu pelanggan di atas talian sebanyak hampir USD 2 juta. Lebih memeranjatkan lagi semasa semua jenayah pasangan ini berlaku, Greer mempunyai suami yang tidak tahu langsung mengenai perbuatan jenayah isterinya.

Penemuan Detektif McLeish

michael torze

Salah seorang penyiasat yang mengendalikan kes mereka iaitu Detektif Sarjan Brad McLeish memberitahu bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan pasangan yang begitu obses tentang wang.

McLeish juga berkata, "Tozer mendaftar beribu-ribu akaun palsu di PayPal, eBay dan Gumtree di mana dia akan melakukan urusan jual beli barangan yang tidak wujud. Pada penghujung aktiviti jenayah mereka, mereka mula membeli banyak kad Load&Go Australia Post."

Angela Greer pula membohongi suaminya dengan memberitahu bahawa dia bekerja sebagai salah seorang penerbit atau penulis di Gold Coast. Namun, apa yang terjadi ialah dia dan Michael Tozer melakukan jenayah terancang di dalam talian.

Angela Greer juga dilaporkan akan menerbangkan suaminya untuk menemaninya tidur di hotel bertaraf 5 bintang di serata dunia. Namun, suaminya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) itu sama sekali tidak tahu bahawa kekasih gelap isterinya itu sentiasa berada di bilik bersebelahan di hotel yang sama.

angela greer micheal tozer bonnie and clyde

Sepandai-pandai tupai melompat

Greer dan Tozer akhirnya ditahan di Hotel Shangri-La di Cairns, Australia di mana mereka telah tinggal di situ selama lebih 5 bulan. Apabila bilik hotel mereka diserbu, pihak polis menjumpai kotak-kotak yang penuh dengan barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Versace, Rolex, berdozen kad bank dan juga AUD 3000 dalam bentuk tunai.

Polis juga menjumpai sebanyak 1100 akaun bank di mana 700 di antaranya didaftarkan atas nama Tozer dan selebihnya menggunakan nama samaran. Detektif McLeish memberitahu melalui akaun bank inilah PayPal menyalurkan bayaran.

Pasangan penjenayah berseronok dan berpesta serta mengambil gambar mereka sendiri dengan dipenuhi barangan berjenama mewah dan timbunan wang yang banyak ketika mereka bercuti di Indonesia, Singapura dan serata Australia.

Pasukan penyiasat mengambil masa berbulan lamanya untuk menyiapkan pendakwaan ke atas pasangan itu kerana pasangan itu telah mencuri banyak identiti orang lain termasuk ahli keluarga mereka. Mereka mula tertangkap apabila salah seorang pekerja Australia Post menjadi curiga apabila pasangan itu membeli 62 keping kad Load&Go.

Hukuman Terhadap Angela Dan Micheal

angela

Michael Tozer yang merupakan dalang utama di dalam penipuan ini mengaku bersalah kerana mencuri dari PayPal sebanyak AUD 950,000 dan dihukum penjara selama 8 tahun.

Angela Greer pula mengaku bersalah atas 5 tuduhan mencuri identiti dan dipenjara selama 3 bulan dan setahun setengah atas jenayah penipuan. Dia baru-baru ini ditemui di sebuah resort mewah di Palm Cove di utara Cairns sedang melakukan yoga namun menolak untuk ditemuramah. Manakala suaminya yang dikahwininya selama 22 tahun pula telah bercerai dengannya dan menyatakan "terlalu takut" dengan apa yang telah berlaku.

Rujukan:

1. news.com.au

2. dailymail


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)