Semua tahu bahawa Universiti Harvard adalah antara salah satu universiti terbaik di seluruh dunia. Sejumlah 39,506 orang memohon untuk mendapatkan tempat dalam program ijazah sarjana muda kelas 2021 di Universiti Harvard dan hanya 2,037 permohonan sahaja yang diterima.

Jumlah yang terlalu sedikit itu bermakna kadar penerimaan pelajar di universiti ini hanyalah 5.2%. Malah, tiada pelajar yang diterima masuk melalui senarai menunggu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sukar, kan?

richard jenkins gelandangan ke universiti harvad

Tapi cuba bayangkan jika anda diterima masuk ke Universiti Harvard selepas menghabiskan kehidupan awal ketika kanak-kanak dan remaja dengan berpindah-randah dari rumah gelandangan, hospital dan bilik motel?

Kehidupan sukar Richard Jenkins

richard jenkins

Itulah apa yang dilalui oleh Richard Jenkins ketika berada di sekolah rendah yang membuatkan beliau sangat komited terhadap akademik seterusnya menjadikannya pelajar terbaik di sekolah menengah dan mendapat tempat di Universiti Harvard.

Dalam satu temubual dengan stesen radio tempatan Philadelphia WHYY, Richard memberitahu bahawa beliau malu dengan kehidupan awalnya.

Ketika di gred ke-6 (11-12 tahun), beliau berjalan pulang bersama rakannya dari sekolah dan ditanyakan tentang lokasi rumahnya.

Kerana terlalu malu untuk mengaku bahawa beliau tinggal di rumah gelandangan, Richard memberitahu rakannya bahawa beliau tinggal di sebuah mahligai, yang hakikatnya merupakan sebuah bangunan besar dan dikongsi bersama gelandangan yang lain.

Detik itu menaikkan semangat Richard untuk lebih fokus di sekolah, walaupun mereka yang membulinya memberikan nama gelaran "Harvard" kepada Richard.

Di sekolah pertengahan, Richard menghadiri program lepas sekolah percuma yang dikenali sebagai "Mighty Writers" yang membantu para pelajar berkenaan dengan kemahiran menulis mereka.

Dengan bantuan program ini, Richard mula membuat proses permohonan yang sangat kompetetif untuk memasuki sekolah menengah terpilih. Ia bukan sesuatu yang mudah sehinggakan membuatkan Richard Jenkins jatuh sakit.

Jatuh sakit akibat tekanan

anak gelandangan diterima masuk ke harvard

"Migrain saya bermula ketika gred 8 (13-14 tahun) disebabkan oleh tekanan yang saya lalui pada ketika itu. Terlalu banyak tekanan untuk saya masuk ke sekolah menengah dan berjaya. Kemudian bapa saya mengalami sakit jantung," jelas Richard kepada WHYY.

Keadaan kesihatan Richard semakin memburuk membuatkan beliau terpaksa menghabiskan sebahagian besar masanya di hospital. Malah, beliau kerap terpaksa tinggal di hospital selama beberapa minggu jika keadaan semakin teruk.

Namun ia tidak membuatkan Richard patah semangat dan meneruskan proses permohonannya.

Menurut Richard, beliau berjaya menempuhi masalah itu dan menyiapkan kerjanya kerana apa pun yang terjadi, perkara terpenting pada ketika itu adalah diterima masuk ke sekolah menengah yang baik.

Usaha Richard berhasil apabila beliau diterima masuk ke Kolej Girard, sebuah sekolah berasrama penuh dengan tajaan biasiswa penuh bagi pelajar dari keluarga bapa atau ibu tunggal serta sumber kewangan terhad.

Menjadi pelajar terbaik di sekolah menengah

richard jenkins diterima masuk ke harvard

Di Kolej Girard, Richard Jenkins memperoleh semua A, menghabiskan latihan industri di sebuah syarikat teknologi dan dinamakan sebagai pelajar terbaik.

Richard kemudiannya memohon kemasukan ke 3 universiti Ivy League. Beliau dimasukkan ke dalam senarai menunggu oleh Universiti Pennsylvania, ditolak oleh Universiti Yale dan diterima oleh Universiti Harvard.

Ketika menerima berita mengejutkan itu, Richard Jenkins berkata beliau melemparkan telefonnya kerana tidak percaya.

Richard merancang untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sains komputer di Harvard dengan matlamat untuk mencipta "Siri yang lebih intuitif".

Mendapat biasiswa penuh dari Universiti Harvard

tinggal di rumah perlindungan gelandangan tetapi berjaya masuk ke universiti harvard

Disebabkan Universiti Harvard membiayai 100% yuran pengajian bagi pelajar yang berasal dari keluarga yang berpendapatan kurang daripada USD65,000, ini bermakna Richard tidak perlu membayar sesen pun.

Bapa baptis Richard memulakan kempen di GoFundMe untuk membantu menampung perbelanjaan tambahan.

"Saya tidak menyedari perkara ini mungkin berlaku sehingga tahun lepas. Matlamat saya adalah mahu ke sekolah yang mana saya tidak perlu bayar apa-apa dan di mana saya tidak akan lulus dengan berhutang." kata Richard.

Melihat kembali kepada kehidupan dan pengalaman lalunya, Richard Jenkin berkata beliau seharusnya tidak terlalu berkeras dengan diri sendiri.

richard jenkins terima biasiswa penuh universiti harvard

Beliau juga berfikiran bahawa sekolah sepatutnya membantu pelajar-pelajar yang melalui situasi sepertinya dengan menawarkan dialog antara pelajar dan para guru.

"Saya rasa mempunyai lebih banyak guru yang komunikatif adalah sangat penting kerana dengan hanya berborak sahaja boleh memberikan perubahan yang sangat besar," kata beliau kepada CNBC Make It.

Richard bakal berucap di majlis graduasi sekolah menengahnya dan beliau merancang untuk memberikan ucapan berkenaan dengan tanggungjawab.

Nasihat beliau kepada para pelajar lain adalah untuk mencari apa yang mereka mahukan dalam hidup, fokus dan jangan berputus asa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)