Bukan semua orang diberikan kebolehan mencipta lagu menerusi melodi serta lirik-lirik yang mengandungi mesej yang disampaikan dengan kiasan yang berbahasa penyampaiannya.

Negara kita tidak kurang mempunyai ramai pencipta lagu yang diberikan bakat besar serta mampu menghasilkan nukilan-nukilan indah yang berjaya membuatkan karya mereka, kekal relevan walau dah bertahun usianya. Berikut adalah 5 komposer lagu pilihan kami yang berjaya meninggalkan kesan besar pada industri pengkaryaan lagu di negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. M.Nasir

iluminasi komposer terbaik malaysia

Legenda muzik Malaysia, M.Nasir adalah antara orang yang serba boleh, walaupun ada pihak yang mengkritik mutu lakonan beliau. Bagaimanapun bakat beliau dalam bidang penciptaan lagu membuatkan beliau menjadi salah seorang komposer lagu paling berbakat dan juga seorang vokalis hebat.

Berkelulusan Diploma dalam Seni Lukisan Barat dari Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura, cita-cita asalnya adalah untuk menjadi seorang pelukis. Bermula langkah dengan cuba-cuba menulis lirik untuk kumpulan Alleycats, akhirnya dia menjadi orang yang berpengaruh dalam muzik negara kita sebagai artis solo dan penyanyi kumpulan Kembara.

M.Nasir juga bertanggungjawab mengangkat beberapa nama besar muzik di Malaysia seperti kumpulan Search, Wings, Hattan, kumpulan Kris dan pelbagai nama lain.

Lagu terbaik - cukup banyak, tapi lagu 'Bonda' dan 'Sentuhan Listrikmu' mempunyai pengaruh yang besar pada saya

2. Saari Amri

iluminasi komposer terbaik malaysia3

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan, lagu-lagu ciptaan Saari Amri pernah mendominasi industri muzik kita menerusi dua kumpulan besar iaitu Ziana Zain, Ella, kumpulan Umbrella, kumpulan Blackrose, kumpulan Slam dan kumpulan Ukays.

Pernah bekerja sebagai buruh binaan sebelum mengecap kejayaan sebagai komposer, Saari Amri terlibat dengan kemalangan motorsikal yang membuatkan beliau koma selama 3 minggu bagaimanapun beliau pulih daripada kecederaan dan kembali berkarya. Sayangnya populariti yang pernah dirasai tidak dapat diulangi semula.

Nasib Saari tetap baik kerana dengan lebih 800 buah lagu yang ditulis mampu menampung hidup beliau dan kini beliau lebih gemar berehat serta membantu pesakit-pesakit kencing manis yang datang menemuinya, dengan percuma. Beliau mempunyai kemahiran membuat ubat kencing manis yang dipelajari dari arwah ibunya.

Lagu terbaik - "Gerimis Mengundang" dendangan kumpulan Slam. Berhantu lagu ni.

3. Pak Ngah

iluminasi komposer terbaik malaysia4

Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd.Zain sudah sangat sinonim dengan irama-irama muzik tradisional yang lebih bersifat etnik. Kebanyakan lagu beliau yang pernah popular sehingga sekarang masih popular kerana irama yang dibuat seolah tidak akan lekang dek zaman.

Bermula sebagai pemuzik sepenuh masa di Kompleks Budaya membuka peluang kepada Pak Ngah untuk mempelajari pelbagai jenis seni muzik tradisional untuk menambah kemahiran beliau bermain gitar, yang sudah dipelajari sejak bangku sekolah. Kemudian beliau bekerja sebagai Pereka Bunyi untuk filem Ogy Ahmad Daud berjudul 'Puteri' pada tahun 1987 yang benar-benar membuka jalan kepada dia untuk bergiat lebih serius dalam industri.

Mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada karier Dato' Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris menerusi lagu-lagu berirama tradisional, tidak ramai yang tahu lagu beliau yang paling popular sebenarnya adalah lagu 'Nostalgia Aidilfitri' nyanyian Sharifah Aini yang pasti akan dimainkan setiap kali Syawal.

Lagu terbaik - "Hati Kama" nyanyian duet Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris

4. Aidit Alfian

iluminasi komposer terbaik malaysia5

Beliau memulakan karier sebagai pemain gitar dengan sebuah kumpulan bergelar BABA, yang kemudiannya membawa kepada pengiktirafan industri selepas memenangi anugerah kumpulan terbaik di Anugerah Industri Muzik tahun 1997.

Bagaimanapun usia kumpulan BABA tidak panjang, Aidit Alfian menubuhkan kumpulan duet dengan seorang lagi vokalis bernama Syed Azlan Syed Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Arab, yang dinamakan 'Arab dan Aidit.' Mereka mengecap populariti dengan lagu berhantu bertajuk 'Bila Bulan Berwarna Biru' yang menjadi siulan orang ramai ketika itu.

Beliau kemudiannya menumpukan karier sebagai pencipta lagu dan berjaya mencipta banyak lagu popular untuk artis-artis seperti gabungan duet Ajai & Nurul, Achik & Nana, Elyana serta Hafiz Suip. Beliau juga adalah orang yang membawa masuk Ana Raffali ke dalam industri hiburan selepas melamar Ana kerana terpikat dengan bakat Ana Raffali menerusi Youtube.

Lagu terbaik - "Masih Jelas" nyanyian Hafiz Suip.

5. Audi Mok

iluminasi komposer terbaik malaysia6

Audi Mok menceritakan bagaimana beliau memulakan langkah menceburi industri muzik dengan memberanikan diri menelefon pejabat EMI Malaysia. Pada ketika itu Audi merasakan beliau mempunyai beberapa lagu yang sesuai dinyanyikan oleh kumpulan Freedom yang popular pada masa itu. Gagal berbuat demikian, usaha beliau tidak berkubur begitu saja apabila sempat juga berkomunikasi dengan komposer terkenal iaitu Fauzi Marzuki.

Tidak putus asa, beliau cuba menghubungi produser Mac Chew dengan demo lagu beliau, tetapi ditolak pula kepada Roslan Aziz. Roslan Aziz menerima beliau untuk bekerja di dalam syarikatnya tetapi tidak lama kemudian beliau menyambung pelajaran. Selepas tamat, beliau dibawa berjumpa dengan Ahmad Izham Omar yang pada ketika itu sedang membawa naik Positive Tone. Dari situlah karier Audi benar-benar bermula.

Audi banyak mencipta lagu untuk artis terkenal seperti Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Faizal Tahir. Selain itu, beliau juga adalah pencipta kepada lagu kumpulan OAG yang bertajuk 'Generasiku' yang kerap digunakan sebagai nada latar kebanyakan promo-promo yang membawa tema keremajaan.

Lagu terbaik - "Karma" nyanyian Faizal Tahir.


Bagaimana?

Jelas sebenarnya usaha untuk menjadi seseorang yang dihargai memerlukan komitmen yang kekal berterusan sebelum kita boleh dianggap berjaya. Bukan sekadar bakat sahaja diperlukan, malahan kerja keras amat perlu dalam memastikan karya kita sampai kepada orang ramai.

Selain itu kesungguhan, minat serta perasaan tidak takut sepatutnya dipegang bagi merealisasikan impian yang kita ada. Setelah anda baca kisah 5 orang tokoh besar ini, cubalah memberanikan diri untuk memberikan lagu-lagu ciptaan anda kepada orang yang anda rasakan layak, mana tahu dengan langkah anda itu, mungkin 10 ke 15 tahun lagi, orang ramai masih lagi akan kenal karya ciptaan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)