Walaupun kita hidup dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat ramai orang yang hidup gelandangan dan terbiar. Dan wujudnya stereotaip tentang gelandangan bahawa mereka pasti melakukan perkara buruk seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau jenahan, dan layak untuk hidup sedemikian.
Walaupun ada kebenarannya namun tak semua daripada mereka melakukan jenayah. Ramai di antara mereka yang tidak bernasib baik dan terjerumus dalam kehidupan jalanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan walaupun kelihatan seperti tiada peluang untuk meneruskan hidup, manusia mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk bertahan dan akhirnya kembali memiliki kehidupan seperti orang lain.
iluminasi.com kongsikan 5 kisah individu berjaya keluar daripada kehidupan gelandangan.
5. Braheam Murphy
Braheam Murphy merupakan seorang atlet yang mempunyai masa depan yang cerah di Harding High School di Charlotte, North Carolina.
Jurulatihnya Sam Greiner menyedari bahawa akademik Braheam semakin teruk dan hampir-hampir menggugurkannya daripada pasukan.
Apa yang tidak diketahui Sam adalah Braheam bergelut dalam hidup dengan tiada tempat untuk berteduh. Ibunya meninggal dunia ketika dia berusia 5 tahun dan bapanya berkahwin semula.
Dia mempunyai adik tiri yang menghidap serebral palsy serta keluarganya hanya mampu untuk menyewa pangsapuri 1 bilik, membuatkan dia dan adiknya tiada tempat untuk tidur.
Braheam bekerja separuh masa selepas latihan sukan dan tidur di rumah keluarga terdekat. Gaya hidup ini membuatkan dia tiada masa untuk belajar.
Dia akhirnya memberitahu jurulatih tentang situasinya dan sukan adalah dunianya. Oleh itu, jurulatihnya bersetuju membenarkan Braheam tinggal dengannya dan sejak itu, tahap akademiknya semakin meningkat.
Braheam berjaya mendapatkan 3.7 GPA dan sangat cemerlang dalam sukan. Perjalanan hidupnya memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya sehinggakan sekolah mereka menjuarai kejuaraan negeri North Carolina untuk pertama kali sejak tahun 1950.
Seorang perekrut sukan menyedari bakat Braheam Murphy dan menawarkan biasiswa penuh kepadanya untuk bermain untuk Army West Point.
4. Lizz Murray
Lizz Murray dibesarkan di New York oleh ibu bapanya yang merupakan penagih dadah. Ibunya menghidap skizofrenia dan AIDS dijangkiti daripada jarum yang kotor.
Disebabkan ini, Liz terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga ayahnya. Namun, ayahnya meninggalkan keluarga mereka dan membiarkan mereka tinggal di jalanan serta rumah tumpangan.
Ketika Liz berusia 16 tahun, ibunya meninggal dunia.
Kerana tidak perlu lagi menjaga ibunya, dia memutuskan untuk memberikan perhatian kepada pelajaran. Pihak sekolah membenarkan Liz yang sangat ketinggalan dalam pelajaran untuk belajar dan mengambil ujian selama mana yang dia terlepas sebelum ini.
Akademik menjadi dunia baru Liz. Selepas melalui kehidupan gelandangan dan hampir-hampir tidak menamatkan sekolah menengah, akhirnya Liz diterima masuk ke Universiti Harvard.
Kini Liz Murray memiliki kehidupan normal dan sudah berkahwin serta mempunyai 2 orang anak. Dia menerbitkan sebuah buku tentang pengalaman hidupnya dan berkata:
"Jika saya ada agama, agama saya adalah rasa berterima kasih. Saya membesar dalam keluarga yang sangat miskin dan kami tak ada makanan dalam peti sejuk. Kami tak ada banyak benda tapi kami tetap bersama. Dan apabila anda ada perkara ini, anda ada segalanya,".
3. Elijah Arnold
Pada Oktober 2017, seorang pencuri memasuki sebuah restoran di Texas bersenjatakan sepucuk pistol. Dia melepaskan dua tembakan di udara dan mengancam untuk membunuh sesiapa yang cuba menghentikannya.
Ketika dia sedang mengambil wang tunai, seorang pekerja berusia 22 tahun bernama Elijah Arnold menyerang pencuri tersebut, membuatkan kedua-duanya jatuh ke lantai.
Pencuri itu melawan dengan memukul Elijah menggunakan besi membuatkan hidungnya patah dan darah tersembur. Elijah yang mempunyai tali pinggang hitam dalam karate kemudiannya memegang kaki pencuri tersebut bagi mengelakkan dia daripada melarikan diri.
Akhirnya pencuri itu ditahan polis. Ramai yang beranggapan bahawa tindakan Elijah ini adalah agak berani dan pelik kerana dia hanya mendapat gaji hanya USD2.50 sejam, jadi mengapa dia membahayakan nyawanya untuk pekerjaannya?
Apa yang tidak diketahui adalah Elijah adalah seorang gelandangan dan satu-satunya yang dia ada adalah kerjanya. Selepas tinggal dalam rumah kebijkan, dia terus bekerja.
Elijah tinggal di dalam kereta usangnya yang diparkir di sebuah pasaraya 24-jam. Selepas dia menyelamatkan nyawa semua orang yang terdapat dalam restoran tersebut, para pelanggan berterima kasih kepadanya dengan memberikan sumbangan wang sebagai tanda terima kasih.
Salah satu daripada stesen berita tempatan menemuramah Elijah tentang tindakan beraninya itu. Di akhir segmen itu, mereka memberikan wang tunai kepadanya sebanyak RM4,000.
Dengan bantuan ini, Elijah dapat memperbaiki kehidupannya yang sangat sukar selama ini.
2. Jean Manganaro
Ketika berusia 15 tahun, Jean Manganaro pulang dari sekolah pada suatu hari dan mengetahui bahawa ibu bapanya yang bermasalah telah meninggalkannya.
Rumah mereka kosong dan mereka tidak kembali sejak itu. Jean cuba mencari bantuan, tetapi tiada tempat untuk dia tuju. Oleh itu, Jean bergaul dengan remaja bermasalah dan terjerumus dalam ketagihan dadah serta alkohol seperti ibu bapanya.
Hal ini membuatkan ditahan dan dihantar ke pusat tahanan juvana. Dan ketika sudah dewasa, dia masih bergelut dengan kehidupan seharian. Di usia 29 tahun, Jean akhirnya memutuskan bahawa dia perlu mengubah hidupnya.
Dia kemudiannya berpindah ke Florida untuk mencari abangya yang lama terpisah dan mula menghadiri perjumpaan "Alcoholic Anonymous". Selepas menceritakan kisah hidupnya dalam perjumpaan itu, salah seorang daripada anggotanya menawarkan bantuan kepada Jean.
Dia diberikan tempat tinggal selama 2 minggu dan selepas itu Jean perlu mencari kerja serta membayar sewa, jika tidak dia perlu keluar.
Dia menyahut cabaran itu dan mendapat kerja dalam masa yang singkat. Jean menjadi sukarelawan untuk membantu gelandangan di Florida.
Dia menyedari bahwa terdapat banyak kepincangan dalam sistem di mana birokrasi kerajaan menghalang orang ramai daripada mendapatkan bantuan.
Dengan ini, Jean menubuhkan sebuah organisasi yang dikenali sebagai The Gratitude House untuk membantu orang-orang ini mengatasi ketagihan, mencari pekerjaan dan meneruskan hidup normal.
Dia menggunakan peluang selama 2 minggu tersebut untuk mengubah hidupnya. Kini, Jean mempunyai hidup dan kerja yang baik serta isteri dan anak-anak.
1. Chris Gardner
Chris Gardner adalah seorang bapa tunggal. Isterinya meninggalkannya, membuatkan dia terpaksa menjaga anak mereka berseorangan di San Francisco.
Gaji yang diperoleh Chris tidak mencukupi membuatkan mereka diusir daripada rumah. Untuk setahun, dia tiada tempat tinggal, tidur dalam tandas awam dan beratur untuk tidur di rumah gelandangan serta kerusi-kerusi di taman.
Kemudian, dia mengetahui tentang program latihan broker saham dan menghabiskan duit yang ada untuk membayar penjagaan harian untuk anaknya.
Selepas diterima masuk dalam program latihan itu, Chris kadang-kala akan membawa anaknya secara curi-curi ke dalam pejabatnya agar mereka berdua boleh tidur bersama di bawah mejanya.
Selepas setahun bekerja tanpa gaji, dia akhirnya diberikan jawatan sepenuh masa di firma tersebut kerana dedikasi dan bakatnya dalam perniagaan saham.
Pada hari ini, Chris Gardner mempunyai nilai kekayaan hampir RM250 juta. Dia banyak mendermakan wang dan masanya kepada kebajikan gelandangan dan mencegah keganasan terhadap wanita.
Kisah kesukaran dan kesusahan hidup Chris ini menjadi inspirasi kepada filem yang dilakonkan oleh Will Smith, iaitu The Pursuit of Happiness.
Rujukan:
3. BBC