Jika anda berada dalam situasi di mana kampung atau bandar anda yang sangat disayangi dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab, apakah yang anda lakukan?

Adakah anda akan membiarkan tindakan diambil oleh pihak berkuasa atau anda akan mengambil tindakan sendiri?

Seorang petani di China telah menghabiskan 16 tahun mempelajari undang-undang dengan sendiri supaya dia boleh menyaman sebuah syarikat kimia yang didakwa mencemarkan tanahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wang Enlin, yang hanya belajar sehingga darjah 3, telah memenangi perbicaraan pertama dalam kes berprofil tinggi terhadap Qihua Group milik kerajaan.

Walaupun Qihua Group, yang memiliki aset hampir RM1 bilion, telah merayu terhadap keputusan itu, lelaki tua ini berkata beliau bertekad untuk mencari keadilan untuk dirinya sendiri dan jirannya yang tidak lagi dapat menanam tanaman yang sihat di tanah yang tercemar.

Wang yang kini berusia 60-an tinggal di kampung Yushutun di pinggir bandar Qiqihar, wilayah Heilongjiang.

wang enlin belajar undang undang dengan sendiri untuk saman syarikat

Beliau memberitahu bahawa akan mengingati selama-lamanya kisah pada tahun 2001 di mana tanahnya dibanjiri dengan bahan buangan toksik yang dibuang Qihua Group.

Ia berlaku pada malam Tahun Baru Lunar, ketika Wang sedang bermain kad dan membuat ladu dengan jirannya.

Secara tiba-tiba, mereka menyedari bahawa rumah mereka dibanjiri oleh air kumbahan dari kilang Qihua yang terletak berhampiran.

Air buangan tersebut juga membanjiri sebahagian daripada tanah ladang di kampung itu.

Menurut laporan itu, dokumen kerajaan pada tahun 2001 mendakwa tanah ladang yang terkena "tidak boleh digunakan untuk masa yang lama" akibat pencemaran.

Antara 2001 hingga 2016, Qihua didakwa terus membuang bahan buanga berbahaya ke dalam kampung ini, yang mana penduduknya bergantung kepada pertanian untuk hidup.

Syarikat itu menghasilkan polivinil klorida dan mengeluarkan 15,000 hingga 20,000 tan sisa kimia setiap tahun.

pencemaran yang dilakukan oleh qihua group

Qihua juga dilaporkan menyebabkan tanah kosong berkeluasan 71 ekar tercemar dengan sisa kalsium karbida dan kolam berkeluasan 478 ekar dengan sisa cecairnya.

Melihatkan situasi ini, pada tahun 2001, Wang menulis surat kepada Biro Sumber Tanah Qiqihar mengadu tentang pencemaran yang dilakukan Qihua terhadap kampungnya.

Wang berkata ketika berurusan dengan pegawai-pegawai tempatan, beliau berulang kali diminta untuk mengemukakan bukti untuk membuktikan tanah kampung itu tercemar.

"Saya tahu saya berada di pihak yang benar, tetapi saya tidak tahu apa undang-undang yang dilanggar oleh pihak mereka atau sama ada terdapat bukti atau tidak," kata Wang Enlin.

Oleh itu, Wang memutuskan untuk mempelajari undang-undang sendirian yang mana dilakukan untuk tempoh 16 tahun yang akan datang.

petani tak berpelajaran saman syarikat besar

Beliau mula membaca buku-buku undang-undang dengan bantuan kamus.

Ketika itu, Wang tidak mempunyai wang, jadi beliau menghabiskan hari demi hari membaca buku di kedai buku tempatan dan mencatat maklumat berkenaan dengan tangan.

Sebagai balasan, Wang akan memberikan jagung percuma kepada pemilik kedai kerana membenarkannya belajar di situ.

Bukan itu sahaja, beliau juga menggunakan pengetahuan undang-undang yang dipelajarinya untuk membantu jiran-jirannya mengumpulkan bukti kerana ladang-ladang mereka juga telah dicemari oleh Qihua Group.

Pada tahun 2007, firma undang-undang China khusus dalam menangani kes-kes yang berkaitan dengan pencemaran mula memberi nasihat undang-undang percuma kepada Wang dan jiran-jirannya.

Mereka juga bersetuju untuk membantu penduduk kampung memfailkan petisyen ke mahkamah.

wang enlin bersama dengan aktivis alam sekitar yang lain

Bagaimanapun disebabkan oleh komplikasi yang tidak dipastikan, mahkamah hanya mula memproses kes Wang dan jiran-jirannya pada tahun 2015, 8 tahun selepas petisyen asal dibuat.

Berbekalkan hasil bukti yang dikumpulkan oleh Wang selama tempoh 16 tahun berkenaan, beliau dan jiran-jirannya memenangi perbicaraan pertama.

Mahkamah Daerah Angangxi Qiqihar memutuskan bahawa keluarga di kampung Yushutun akan mendapat pampasan kewangan dari Qihua Group berjumlah RM540 juta. 

Walaubagaimanapun, Qihua Group telah membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ini sedang diproses di Mahkamah Daerah Angangxi.

"Kami pasti akan menang. Jika kami kalah, kami akan terus lawan," kata Wang Enlin.

Rujukan:

1. South China Morning Post

2. Strait Times

3. Daily Mail




Hakcipta iluminasi.com (2017)