Oleh pada 04 Aug 2019 kategori

Bandar Kulim merupakan bandar ketiga yang terbesar di negeri Kedah selepas Alor Setar dan Sungai Petani. Ia terletak di kawasan tenggara negeri 'Jelapang Padi' ini dan bersempadan dengan bahagian timur negeri Pulau Pinang.

Jam Merdeka Bandar Kulim

Kulim pada asalnya merupakan kawasan penempatan yang kecil sahaja pada era 1950-an. Kini, ia merupakan tempat yang maju dengan banyak kawasan-kawasan perindustrian yang dibina di sekitar Bandar Kulim.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Majoriti penduduk di Kulim ialah kaum bumiputera dengan merangkumi kira-kira 65% populasi penduduk manakala selebihnya ialah lain-lain kaum. Kebanyakan orang memilih untuk tinggal di bandar ini kerana kos hidupnya yang tidak begitu tinggi dan trafiknya tidaklah begitu sesak seperti di Pulau Pinang. 

Sejarah dan asal-usul Bandar Kulim

kulim central

Kulim Central

Nama bandar ini diambil sempena nama pokok kulim (nama saintifiknya Scorodocarpus Borneensis Becc) yang tumbuh di merata tempat di daerah ini suatu masa dahulu. Pokok kulim ini merupakan sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di hutan Malaysia serta negara-negara ASEAN yang lain.

Buah pokok ini biasanya digunakan sebagai perencah masakan oleh orang asli di kawasan Tapah, Perak. Pokok kulim biasanya akan mengeluarkan buah pada waktu yang sama ketika musim pokok durian berbuah.

pokok kulim

Pokok Kulim

Daerah Kulim dipercayai telah dibuka sejak pertengahan abad ke-18 lagi apabila sejumlah 100 orang keturunan Melayu Pattani dari Siam datang dan menetap di sini. Menjelang pertengahan abad ke-19, Kulim telah menjadi tumpuan dengan mendadak kerana penemuan hasil bijih timah di sini.

Para pelombong yang membanjiri Kulim dipercayai adalah pelombong yang sebelum ini melombong bijih timah di kawasan Larut, Matang, Taiping dan Selama di Perak.

Hasil bumi di Kulim

bandar kulim lama

Bandar Kulim lama

Kebanyakan daripada mereka telah melarikan diri dari kawasan bijih timah di Perak kerana tidak mahu terlibat dengan pergaduhan yang sering berlaku antara Kumpulan Kongsi Gelap seperti Ghee Hin dan Hai San yang ditubuhkan oleh pelombong-pelombong sendiri dalam merebut kawasan yang kaya dengan hasil bumi itu.

Pada asalnya pelombong-pelombong ini mahu melarikan diri ke Pulau Pinang yang ketika itu merupakan bandar pelabuhan yang sibuk di Utara Tanah Melayu sejak pembukaannya oleh British pada 1786.

pelombong bijih timah

Pelombong bijih timah

Ketika melalui kawasan Kulim, mereka mendapati di sungai dan tanah di kawasan itu wujudnya bijih timah. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk menetap dan membuka penempatan baru bagi mendulang bijih timah. 

Lombong-lombong bijih timah terbesar yang telah dibuka di Kulim ialah di Taman Tunku Putra, Kampung Bukit Besar, Karangan, Terap dan Kelang Lama. Menurut satu catatan pada tahun 1854, terdapat lapan buah syarikat perlombongan timah di Kulim dengan jumlah pekerja seramai 1,500 orang.

Perang Nyonya Cantik atau Perang Kulim

perang kulim perang nyonya cantik

Nyonya Cantik. Kredit gambar : Lim Soo Peng

Pada tahun 1888, tercetusnya satu peristiwa besar dalam sejarah Bandar Kulim. Peristiwa itu dikenali sebagai "Perang Nyonya Cantik" atau "Perang Kulim". Kejadian ini dikatakan berlaku apabila taukeh-taukeh lombong bijih timah di sekitar Kulim bergaduh sesama sendiri kerana berebut seorang wanita simpanan Cina yang cantik rupa parasnya.

Taukeh-taukeh lombong ini telah menggunakan para pekerja masing-masing untuk terlibat dalam pergaduhan itu. Pada mulanya ia hanyalah pertengkaran kecil namun melarat kepada rusuhan besar-besaran.

pekerja lombong bijih timah

Pada waktu itu, keamanan penduduk setempat juga telah terancam akibat pergaduhan yang berlaku. Persengketaan itu telah berlanjutan selama hampir tiga tahun lamanya dan mengorbankan banyak nyawa di antara pihak-pihak yang terlibat. Keadaan ini juga menyebabkan keadaan ekonomi dan kewangan di negeri Kedah merudum.

Insiden itu telah menyebabkan kerajaan Kedah terpaksa meminta bantuan British. Pihak British kemudian menempatkan pegawainya, B.E Mitchell, sebagai Ketua Polis Kulim pada tahun 1890.

Kulim di bawah pentadbiran British

perjanjian british siam 1909

Perjanjian British-Siam 1909

Hasil campurtangan British, pergaduhan antara pelombong-pelombong di Kulim berjaya dileraikan. Selepas itu, Kulim terus diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan British.

Melalui Perjanjian Bangkok yang dibuat pada tahun 1909, pihak British telah menganggap bahawa negeri Kedah telah berada di bawah pemerintahan mereka. Hanya pada tahun 1923, barulah Sultan Abdul Hamid membuat perjanjian dengan British dan Kedah secara rasminya menjadi negeri di bawah naugan British.

tunku abdul rahman putra al haj

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Sehingga negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kulim terus ditadbir oleh British melalui beberapa pegawa daerahnya di mana salah seorangnya ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama dan Bapa Kemerdekaan Negara.

Rujukan:

1. MPKK

2. JPN




Hakcipta iluminasi.com (2017)