Jika anda berkesempatan untuk bertemu dengan individu pakar ICT yang faham  menggodam sistem, pasti anda akan terpesona mendengar mereka berbicara pelbagai jenis jargon dan frasa yang aneh, hanya difahami di kalangan mereka.

Tidak ramai individu dalam dunia yang benar-benar mahir tentang bidang ini; meletakkan kumpulan unik ini dalam satu kategori di mana pengetahuan yang mereka ada, boleh digunakan untuk tujuan kebaikan seperti pembentukan sistem keselamatan; ada juga untuk matlamat keburukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah-kisah 'hacker' bermesej positif terkenal seperti kumpulan Anonymous, Joybubbles dan Adrian Lamo mampu membuatkan kita sedikit sebanyak menyokong apa yang mereka lakukan. Namun disebalik ramai penggodam yang ada, pasti ada yang menggunakan ilmunya untuk tujuan jahat.

Luis Mijangos layak dikatakan antara penggodam paling keji antara semua yang ada. Apa yang lebih menyedihkan, Luis juga adalah seorang individu kurang upaya.

Stereotaip lelaki nerd

luis mijangos hacker stalker sextortion

Luis Mijangos bergerak menggunakan kerusi roda sejak berusia 17 tahun, selepas satu insiden tembakan peluru sesat menyebabkan dia lumpuh sepenuhnya bahagian bawah pinggang sehingga ke hujung jari kaki.

Bagaimanapun, akalnya yang bijak kekal tajam. Sejak muda dia meminati bidang ICT serta mahir dengan komputer.

Latar belakang Luis nyata mencabar. Dia lahir Mexico yang membesar dalam suasana sukar. Bapanya seorang bekas pegawai polis yang menjadi buruan pihak sindiket jenayah, meninggal dunia akibat pendarahan otak, selepas dibelasah teruk kumpulan samseng. Ketika itu Luis masih kecil.

Ibunya cuba melindungi Luis daripada budaya buruk di sekelilingnya sebaik mungkin dan Luis menampakkan bakatnya dalam sukan bola sepak serta akdemik.

Selepas insiden tembakan berlaku antara dua kumpulan kongsi gelap dan Luis menjadi mangsa tembakan, ibunya memberanikan diri membawa keluarga mereka ke Amerika Syarikat cuba memulakan hidup baru. Perkahwinan semula ibunya dengan seorang warga tempatan membantu mereka.

Namun Luis lebih banyak menghabiskan masa dalam bilik bertemankan komputer dan kerusi rodanya, dalam rumah yang turut dikongsi bersama abang tirinya dan dua adik beradik kandung beliau.

Luis memperkembangkan kemahirannya, menguasai beberapa bahasa pengaturcaraan serta membuka syarikat sendiri dari rumah dengan pendapatan hampir $1,000 seminggu. Nampak lumayan, tetapi ada rahsia disebalik apa yang dia lakukan.

Dari luaran, Luis nampak normal - namun dalam diri Luis tersimpan dendam yang kerap mempersoalkan kenapa dia perlu berhadapan dengan nasib sedemikian rupa. Berpunca daripada perasaan itulah, Luis mula menggunakan kemahirannya untuk melakukan jenayah, dari dalam bilik tidurnya.

Menjadi dalang sindiket penipuan kad kredit

jenayah kad kredit

Penubuhan syarikat berasaskan web atas nama sendiri rupa-rupanya menjadi topeng kepada kegiatan sebenarnya. Luis bekerjasama dengan beberapa orang penggodam lain, menjalankan kegiatan penipuan kad kredit bagi menjana pendapatan mudah.

Kejayaan membeli kerusi roda yang berharga ribuan dollar, dikatakan datang daripada kerjaya membangunkan laman web bagi menutupi kegiatannya daripada pihak keluarga.

Bagaimanapun, Luis tidak puas sekadar mencuri. Ekoran keadaannya, dia merasakan keperluan untuk mengawal hidup orang lain bagi mengatasi rasa rendah diri yang dia ada akibat kecacatan dia.

Luis mula mengkaji beberapa program godaman yang membolehkan seseorang mengawal komputer lain melalui internet. Semua program yang dibeli cuba diubah suai sendiri Luis. Hasilnya, program yang mampu mengawal hanya 30 komputer, diubah mempunyai kapasiti untuk mengawal 600 komputer.

Bagi membolehkan rancangannya berjalan, program itu perlu dihantar ke komputer pihak ketiga. Luis menggunakan sistem emel berantai; beribu-ribu emel dihantar kepada banyak akaun rawak dengan tawaran boleh memuat turun lagu popular secara percuma dengan menggunakan pautan yang disertakan.

Selepas pengguna menekan pautan itu, secara automatik program yang direkanya akan dipasang ke komputer pengguna memberikan dia akses penuh kepada komputer tersebut.

Di sinilah Luis mula hanyut dalam dunia yang diciptanya sendiri.

Meneliti dunia luar dari skrin kaca

jenayah siber bnk87

Komputer pertama yang berjaya dimasuki program yang dihantarnya milik seorang wanita berusia 20 tahun. Semua data di dalam komputer itu boleh diakses sepenuhnya tanpa halangan, sehinggalah Luis cuba mengaktifkan kamera web milik wanita itu.

Terpapar di depannya gadis itu sedang membersihkan biliknya sambil menyanyi tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan. Pada detik itu, Luis sedar kuasa yang telah diperolehinya.

Sejak hari itu, masanya dihabiskan dengan menonton 4 video serentak mana-mana mangsa yang terkena jeratnya. Dia mula taksub untuk mengikuti perjalanan hidup wanita lain, menonton apa saja yang dilakukan.

Berbual, tidur, bekerja, belajar, berbincang termasuklah mandi dan membuang air.

luis mijangos hacker gambar lucah

Sedar peluang yang ada boleh menjana pendapatan, Luis mula menggunakan kebolehannya untuk menawarkan satu perkhidmatan baru; mengintip rahsia orang lain tanpa dikesan dengan harga $150 satu komputer. Semua pelanggan yang membayar akan diberikan akses kepada komputer milik individu lain yang menjadi sasaran tanpa had; itu janji Luis pada pengunjung beberapa forum di internet.

Model perniagaan baru Luis mendapat sambutan ramai pihak, khasnya inidividu yang kurang yakin dengan kesetiaan pasangan mereka. Luis menggunakan modus operandi menghubungi sasaran dengan menggunakan identiti pelanggan, bagi membentuk kepercayaan pantas dan memujuk agar sasaran memuat turun pautannya.

Ini memudahkan operasi Luis yang sebelum itu terpaksa bergantung kepada nasib sama ada sasaran akan membuka pautan yang diberikan atau tidak. Dengan menyamar sebagai orang yang dikenali sasaran, mudah untuk dia memastikan programnya dimuat turun.

Luis mula ketagih dengan apa yang mampu dilihatnya menerusi rangkaian ratusan kamera web di bawah kawalannya. Menggunakan identiti pelanggan, dia sendiri mula menyamar untuk meminta gambar-gambar peribadi yang sepatutnya jadi rahsia bilik tidur.

Wanita yang mudah terpedaya  mahu membuktikan cinta, memberikan apa saja yang diminta 'teman lelaki' mereka; tidak mengetahui Luis di belakang semua itu, mengambil kesempatan ke atas permintaan teman lelaki yang mahu mengintip rahsia teman wanita.

Tembelang Luis mula terdedah

komputer riba hacking

Ekoran daripada aktiviti sulit Luis, ramai mangsa mula menyedari ada ketikanya kamera web mereka terpasang sendiri.

Ada mangsa menerima mesej kenalan mereka sedangkan kenalan mereka ada di sebelah. Ada juga mangsa mendapati gambar kurang senonoh mereka dimuatnaik di laman web MySpace, selepas tidak mahu memenuhi permintaan Luis.

Namun tiada siapa dapat mengenalpasti apa puncanya. Lagipun, mereka takut dengan apa yang berlaku akan memecahkan tembelang mereka sendiri. Sehinggalah Luis diberikan kerja menyelongkar komputer seorang wanita bernama Gina Sanchez oleh teman lelakinya yang percaya Gina curang.

Diberikan akses untuk menyamar, Luis mudah memperdayakan Gina memberikan akses komputer Gina. Selepas mencari bukti-bukti kecurangan yang memang ditemui, Luis menyedari pelanggannya adalah punca semuanya kerana wanita itu didapati menjadi mangsa deraan teman lelakinya.

Menggunakan identiti rahsia, Luis menghantar emel cuba menghubungi Gina bagi memberikan amaran tentang teman lelakinya yang kini sudah diberikan akses sepenuhnya kepada komputer miliknya, namun tidak dilayan. Luis terus menghantar emel dengan bermacam ugutan, sehinggalah Gina bersetuju untuk berbual melalui Yahoo Messenger.

Dalam ruangan bual, Luis cuba menjelaskan apa yang telah berlaku dankaitannya dengan teman lelakinya. Bagi membuktikan dia mempunyai akses penuh kepada komputer milik Gina, Luis menghantar beberapa gambar Gina dalam keadaan memalukan yang telah dimuat turun.

Gina yang ketakutan menghubungi seorang rakannya meminta nasihat. Mereka menghubungi pihak polis secara diam-diam, tanpa pengetahuan Luis.

FBI memulakan penyiasatan panjang

fbi cyber crime unit jenayah siber

Penyiasatan yang dijalankan lebih 6 bulan selepas laporan Gina Sanchez dibuat, menemui banyak petunjuk gangguan sama yang dihadapi kaum wanita, majoritinya melibatkan ugutan penyebaran gambar lucah yang dicuri daripada komputer mereka secara senyap.

Hasil siasatan FBI berjaya mengenalpasti punca gangguan semuanya berpunca daripada sebuah rumah yang terletak di Santa Ana, California. Pada 8 Mac 2010, waran untuk menggeledah rumah tersebut dikeluarkan dan dua hari kemudian, pasukan keselamatan FBI lengkap bersenjata hadir ke rumah Luis.

Ironinya, mereka hadir tepat pada sambutan ulang tahun ke 30 Luis Mijangos secara kebetulan.

Empat buah komputer riba, ratusan kad memori dan sebuah telefon jenama Blackberry milik Luis dirampas. Di dalam kesemua peranti itu terkandung lebih 15,000 rakaman video, 900 rakaman audio, 13,000 gambar tangkap layar melibatkan 230 mangsa diambil daripada 129 komputer.

44 orang daripada mangsanya adalah individu bawah umur. Pihak FBI juga menemui semua kod asas kepada program yang dibangunkan, senarai rekod bank mangsa serta maklumat peribadi yang telah berjaya dicuri.

hacker jijik menggodam wanita

Berikutan penemuan itu, FBI mengeluarkan waran tangkap ke atas Luis Mijangos pada 17 Jun 2010 dan tangkapan berjaya dilakukan pada 23 Jun 2010 menamatkan aktiviti Luis dari dalam biliknya.

Perbicaraan yang dijalankan mendapati Luis bersalah, dihukum penjara enam tahun atas pelbagai jenis kesalahan majoritinya dakwaan mengugut mangsa dengan menggunakan bahan lucah yang diambil tanpa kebenaran selain daripada memecah masuk komputer peribadi pihak lain.

Selepas hukuman dibacakan, Luis memohon maaf ke atas semua kesengsaraan yang telah berlaku disebabkan tindakannya, mengakui menyesal atas tindakannya.

Bagi Luis, apa yang telah dia lakukan disifatkan sebagai peluang untuk melihat ke dalam jendela hidup orang lain yang sempurna. Dia berang dengan keupayaan orang lain mampu bebas bergerak ke mana saja, membuatkan dirinya rasa iri hati.

Hanya dengan mengintai kehidupan orang, Luis merasakan dunia lebih adil bagi dia yang setiap masa terpaksa menerima hidup sebagai orang kurang upaya dan Luis mengakui, mempunyai kawalan ke atas komputer orang lain membuatkan dirinya rasa sedikit berkuasa.Anda rasa memadai kah penjara enam tahun, atas apa yang telah dilakukan Luis?

Rujukan

Orange County Man Who Admitted Hacking Into Personal Computers Sentenced to Six Years in Federal Prison for ‘Sextortion’ of Women and Teenage Girls




Hakcipta iluminasi.com (2017)