Kumpulan-kumpulan penyokong tegar teori konspirasi kebiasaannya mempunyai satu persamaan ketara - mereka adalah kumpulan yang menolak hujah atau bukti saintifik.

Ini kerana bagi mereka semua isu berkait dengan kajian saintifik bukan saja patut diperdebatkan, malahan patut juga ditolak dan disangsikan sejak mula kerana hujah-hujah saintifik adalah satu bentuk kawalan minda ke atas kita. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi satu kes yang baru berlaku di Amerika Syarikat melibatkan seorang ahli farmasi berpengalaman, yang dibuktikan juga seorang pengikut tegar teori anti vaksin membingungkan semua pihak. 

Ahli farmasi yang anti vaksin? Wujud ke? 

Memperkenalkan ahli farmasi yang anti vaksin

anti vaksin bumi rata flat earth covid 19 vector

Steven R. Brandenburg merupakan seorang ahli farmasi bertauliah sejak 22 Ogos 1997, tarikh dia mula mendapat lesen untuk menjadi seorang pengamal perubatan.

Pada bulan Disember tahun 2020 semasa bekerja lebih masa, Brandenburg didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ahli farmasi, sengaja merosakkan 570 dos vaksin Covid-19 jenis Moderna yang disimpan di hospital lokasi dia bertugas.

Brandenburg didapati mengeluarkan dua kotak yang mengandungi dos-dos vaksin itu yang perlu disimpan dalam peti sejuk, membiarkannya berada dalam suhu bilik dengan niat untuk menghilangkan tahap keberkesanan vaksin itu sebelum mengembalikan semula vaksin tersebut ke dalam peti simpanannya.

57 orang telah 'selamat' disuntik vaksin yang telah dirosakkan itu. Persoalan utamanya adalah kenapa dia berbuat demikian? 

Brandenburg adalah antara individu yang percaya vaksin perlindungan Covid-19 itu bakal merosakkan tubuh badan penerimanya serta bagi wanita, tidak lagi boleh mengandung selepas itu.

Beliau juga percaya 'mikrocip' yang terkandung dalam vaksin akan digunakan kerajaan untuk tujuan jahat. Lebih menarik, Brandenburg juga percaya Covid-19 tidak benar. 

Ini baru mukadimah cerita.

Geng bumi rata yang takut langit runtuh

steve brandenburg vaksin moderna

Brandenburg dilaporkan sudah mula terpengaruh dengan teori-teori konspirasi dalam tempoh yang lama, tetapi baru mula berceramah berkaitan kebaikan anti-vaksin kepada rakan sekerjanya beberapa tahun kebelakangan ini.

Tidak jelas pada detik bilakah perubahan pada Brandenburg bermula. Siasatan lebih lanjut selepas pendedahan kes sengaja merosakkan vaksin itu mendapati Brandenburg juga sedang berdepan kes tuntutan cerai oleh isterinya yang difailkan pada bulan Jun 2020.

Dalam kertas tuntutan, isterinya menyenaraikan antara sebab utama perceraian diperlukan adalah kerana kepercayaan Brandenburg kepada teori bahawa semua yang ada di depan mata sekarang - adalah ilusi.

Brandenburg percaya langit yang kita nampak bukanlah benar, sebaliknya adalah sebuah perisai fizikal yang dibina kerajaan-kerajaan dunia agar kita semua tidak mampu melihat Tuhan. 

Ekoran daripada kepercayaan itulah, sinambungannya Brandenburg juga percaya bumi ini rata.

Disebabkan ketakutan melihat suaminya berubah menjadi seorang pengikut tegar fanatik teori konspirasi, Gretchen Brandenburg melakukan tuntutan serta menjadi salah seorang saksi dalam kes pendakwaan suaminya sendiri.

Brandenburg didedahkan sedang mempersiapkan semua kelengkapan, dengan menyewa sebuah storan khas sebagai pusat simpanan bekalan makanan, air dan senjata yang akan diperlukan bila kejatuhan langit berlaku dan kerajaan-kerajaan dunia menutup bekalan air serta elektrik kepada orang awam.

Didapati bersalah kerana membahayakan nyawa pihak lain

steve brandenburg sabotaj vaksin

Pada 26 Januari 2021, Brandenburg didapati bersalah atas dua pertuduhan mensabotaj produk perubatan sehingga membahayakan orang lain, tanpa mengambil kira risiko perbuatannya.

Dia dijatuhkan hukuman berat penjara maksimum 10 tahun untuk setiap pertuduhan, selepas mengambil kira kedudukan Brandenburg sendiri sebagai ahli farmasi - salah satu profesion perubatan yang paling diyakini dan dipercayai masyarakat seluruh dunia.

Apatah lagi tindakannya mensabotaj bekalan vaksin berlaku semasa pandemik melanda.

Beberapa hari sebelum ditahan, Brandenburg dikatakan sudah mula membawa senjata api ke tempat kerja yang disimpan dalam beg semasa mula merancang perbuatan sabotajnya.

Apabila dipersoalkan apakah keperluan untuk membawa senjata api ke hospital, Brandenburg menyatakan dia perlu perlindungan kerana pihak tentera akan hadir untuk menangkapnya kerana Brandenburg tahu hari akhirat akan tiba tak lama lagi.

Hasil tindakannya itu yang dilakukan atas kesedaran sendiri, telah mengakibatkan kesemua bekalan 570 dos bekalan vaksin Covid-19 yang sepatutnya digunakan disahkan rosak.

Pihak hospital menerima 600 dos keseluruhannya. Hanya 30 dos sempat disuntik kepada para pekerja hospital lebih awal.

Rujukan

Brandenburg Search Warrant

Hospital Pharmacist to Plead Guilty to Attempting to Spoil Hundreds of COVID Vaccine Doses




Hakcipta iluminasi.com (2017)