iluminasi pensyarah termuda dunia6

Aman Rehman, lahir pada 26 Julai tahun 2000 merupakan anak kepada seorang mekanik yang buta huruf yang menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan gaji sekitar RM300 sebulan di India.

Berbekalkan pendapatan itu, ayahnya membelikan sebuah komputer terpakai untuk digunakan oleh abangnya namun tidak disangka-sangka, Aman pula yang berjaya menyiapkan animasi pertama beliau yang memaparkan abjad-abjad menari pada usia 3 tahun, selepas melihat dan meniru apa yang abangnya lakukan dengan komputer.

iluminasi pensyarah termuda dunia

Melihat bakat anaknya, ayahnya atas nasihat kawan-kawan, membawa Aman ke Dehra Dun College of Interactive Arts untuk bertemu dengan pakar-pakar di sana.

Menyangkakan itu semua satu gurauan apabila ditanya dimana pakar komputer yang disebut-sebut, mereka langsung tidak menyangka Aman yang sedang duduk di atas riba ayahnya adalah individu yang dimaksudkan.

Usaha ayahnya untuk membantu kebolehan istimewa Aman akhirnya berhasil, setelah pihak kolej tersebut memeriksa kebolehan Aman menggunakan komputer dan dia diterima untuk belajar di situ. Dalam masa 5 bulan, Aman mencipta perisian komputer pertama beliau. Dia menamatkan kursus animasi sepanjang 15 bulan dalam masa 3 bulan dan menguasai 18 perisian komputer dan meneruskan pengajian dalam peringkat Ijazah Sains dalam Animasi pada usia 11 tahun.

Pada tahun 2012, ketika usianya 12 tahun, Aman dianugerahkan Ijazah Kedoktoran oleh International University of Colombo, Sri Lanka bagi mengiktiraf kebolehan beliau dalam bidang tersebut.

iluminasi pensyarah termuda dunia2

Aman mula mengajar semenjak tahun 2009 di kolej yang sama mengesan bakatnya seminggu sekali selain di beberapa tempat lain sambil meneruskan persekolahan seperti biasa. Namanya termaktub dalam sejarah selepas diiktiraf oleh Guinness Book of World Record pada tahun 2014 sebagai pensyarah paling muda mengajar di Universiti atau Kolej.

Pengalaman pertama beliau mengajar merupakan satu pengalaman manis pada beliau kerana semuanya berlaku tidak sengaja. Ketika ketiadaan pensyarahnya yang patut hadir, Aman diberikan tanggungjawab untuk memberikan syarahan oleh Ketua Fakulti di Dehra Dun dan bermula dari situlah, dia mula diberikan slot untuk mengajar.

iluminasi pensyarah termuda dunia3

Apa yang menariknya, oleh kerana masih kecil dan tidak mampu menulis di papan putih serta tidak dapat dilihat semua pelajar yang ada, Aman terpaksalah memberikan syarahan dengan berdiri di atas kerusi.

Apabila ditanya kepada Aman, mengapa beliau memilih bidang animasi, beliau menjawab yang bidang animasi mampu mencipta sesuatu yang tidak pernah wujud selama ini. Beliau bagaimanapun lebih gemar medium berbentuk animasi 2D jika dibandingkan dengan animasi 3D tetapi tetap berkebolehan dalam penghasilan kedua-dua jenis animasi.

Kebolehannya diiktiraf ramai golongan pemimpin di India apabila bekas Presiden India, Pratibha Patil menjemput beliau untuk menunjukkan sendiri kebolehan menggunakan komputer beliau. Selain itu, Aman juga pernah diundang untuk menemui dua legenda sukan kriket India, Sachin Tendulkar dan Yuvraj Singh.

iluminasi pensyarah termuda dunia4

Kini sudah berusia 17 tahun, Aman memasang impian besar mahu belajar lebih dalam lagi tentang teknik animasi dan dia berharap agar dapat masuk ke Walt Disney University untuk belajar. Aman merancang selepas tamat pelajaran, untuk pulang ke India bagi memajukan industri animasi di negaranya menerusi pembukaan sekolah secara percuma dan juga pergerakan NGO.

Begitulah serba sedikit kisah prodigi animasi India yang diharapkan mampu membuka mata masyarakat kita bahawa tidak ada usia yang sepatutnya jadi penghalang kepada kebolehan seseorang itu.


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)