Siapa sangka saintis paling hebat dalam sejarah amat cocok bersahabat dengan seorang bintang filem slapstick terkenal?

Charlie Chaplin pertama kali bertemu dengan Albert Einstein semasa kali kedua lawatan Einstein ke Amerika Syarikat sekitar tahun 1930-31 apabila Einstein menerima undangan untuk memberikan kuliah di Institut Teknologi California.

Einstein ketika itu sedang berada di kemuncak kemasyhurannya dan sentiasa diekori oleh wartawan akhbar serta ahli-ahli akademik yang sentiasa meminta penjelasan mengenai teori-teori fiziknya. Namun, orang yang paling ingin dijumpainya bukanlah rakan saintis, sebaliknya seorang 'pak lawak'.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sahabat baik bff albert einstein charlie chaplin

Semasa tiba di Amerika Syarikat pada bulan Disember tahun itu, beliau telah menghabiskan masa beberapa hari di New York di mana beliau diraikan dengan begitu hebat dan secara besar-besaran. Kemudian, barulah beliau menuju ke California. Carl Laemmle yang merupakan ketua Universal Studios tahu bahawa Einstein adalah seorang peminat filem. Jadi, dia menjemput Einstein untuk datang ke Hollywood menonton filem "All Quiet on the Western Front" (yang pernah dicatat sebagai 'sebuah filem menarik' dalam diari Einstein).

sahabat baik bff albert einstein charlie chaplin persahabatan

Einstein telah mengambil peluang itu untuk meminta ketua studio itu supaya memperkenalkannya dengan Charlie Chaplin.

Setelah membuat panggilan menghubungi Chaplin, perjumpaan pertama mereka diatur. Kedua-dua saintis dan bintang komedi itu berjumpa di Universal Studios di mana mereka menghabiskan masa dengan membuat lawatan dan makan tengah hari bersama-sama.

albert einstein charlie chaplin persahabatan bff

Sememangnya mereka amat serasi dari saat pertama berjumpa lagi. Sejurus selepas bertemu, mereka terus berbual mesra sambil berjenaka dan bertukar-tukar rasa ingin tahu. Dalam autobiografi Chaplin, beliau menceritakan tanggapan pertamanya apabila pertama kali melihat Einstein. Menurut Chaplin, rupanya saling tak tumpah seperti orang German berbangsa Alpine yang tipikal namun periang dan sangat peramah. Walaupun peribadi Einstein nampak tenang dan lembut, Chaplin merasakan ia memendam satu pembawaan yang sangat beremosi. Dari situlah Einstein mencurahkan segala keupayaan intelektualnya yang luar biasa.

Dalam autobiografi Chaplin tercatat, ketika lawatan itulah isteri Einstein, Elsa, telah menariknya ke tepi dan berbisik untuk menjemput sendiri dirinya beserta Einstein ke rumah Chaplin. Walaupun terpaksa akur, namun Chaplin berasa amat teruja dan gembira. Beliau telah mengaturkan satu jamuan makan malam tertutup antara mereka bertiga. Semasa makan, Elsa telah menceritakan kisah bagaimana Einstein mencetuskan teori yang telah mengubah sejarah dunia sekitar tahun 1915 itu.

sahabat baik bff albert einstein charlie chaplin 2

Elsa mendedahkan, pada suatu pagi, Einstein tidak menyentuh langsung sarapan paginya dan memberitahu Elsa, "Sayang, saya mempunyai satu idea yang hebat!" sebelum terus duduk bermain piano sambil terhenti-henti kerana menulis nota. Elsa tidak sabar menunggu berita selanjutnya dan meminta Einstein menceritakan segala-galanya namun Einstein berkata beliau masih memerlukan sedikit masa. Beliau kemudian terus bangun dan masuk ke bilik. Setelah itu, Einstein berkurung di dalam biliknya selama dua minggu. Segala makanan dihantar ke bilik kerana Einstein tidak keluar-keluar. Akhirnya, selepas dua minggu barulah Einstein keluar dengan muka pucat dan lesu, bersama dua helai kertas yang tertulis segala teorinya berkaitan kerelatifan am. Beliau datang kepada Elsa dan berkata, "Inilah dia."

Chaplin dan Einstein terus berhubung selepas perjumpaan pertama itu. Bintang filem itu menjemput Einstein datang ke tayangan perdana filem terbarunya berjudul "City Lights" (1931) sebagai tetamu undangan istimewa. Semasa mereka berdua tiba ke karpet merah, pihak akhbar berebut untuk mengambil gambar dan orang ramai berpusu-pusu ingin melihat mereka. Dikhabarkan pasangan sahabat itu popular atas sebab yang bertentangan - Einstein terkenal kerana tiada sesiapapun yang memahami dirinya, manakala Chaplin pula terkenal kerana difahami semua orang walaupun tanpa sepatah kata.

albert einstein charlie chaplin tayangan perdana city lights

Apabila Einstein datang semula ke California pada musim sejuk antara tahun 1932-33, Chaplin telah mengadakan satu jamuan makan makan untuk memberi penghormatan kepada Einstein. Chaplin bercadang ingin memperkenalkannya kepada Willian Randolph Hearst, seorang pemilik media yang berpengaruh dengan harapan suasana jamuan akan menjadi bertambah meriah dan seronok. Malangnya, mood Einstein tidak begitu baik dan beliau tidak teruja untuk menjelaskan teori rumitnya kepada orang yang bukan dari bidang akademik. Hearst mungkin terasa dengan sikap dingin Einstein dan banyak mendiamkan diri dengan mencuit-cuit pencuci mulutnya. Suasana menjadi agak tegang dan hening sebelum tiba-tiba dipecahkan dengan suara perempuan simpanan Hearst iaitu pelakon komedi Marion Davies yang berkata "Kenapa anda tak mahu potong rambut?" sambil menjalinkan jari-jemarinya ke rambut Einstein yang kusut.

sahabat baik bff albert einstein charlie chaplin 3

Tidak dapat dipastikan sama ada persahabatan itu telah mampu diselamatkan daripada kejadian buruk itu atau tidak. Pada tahun 1933, Einstein telah melepaskan kerakyatan Jermannya untuk berpindah ke Princeton, New Jersey. Di sana, lingkaran sosial Einstein telah menjadi semakin meluas. Walau bagaimanapun, kisah bersejarah mengenai pertemuan awal Chaplin dan Einstein telah menunjukkan yang kedua-dua lelaki dengan latar belakang berbeza ini pernah berkongsi persefahaman sehingga mampu menjalinkan sebuah persahabatan yang unik dan erat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)