Kita mungkin membayangkan seseorang dengan IQ yang tinggi itu sering menghabiskan masa membuat pengiraan kompleks, memberi ceramah di universiti terkemuka atau bekerja di makmal sains.
Namun, tiada satu pun ciri-ciri ini ada pada Christopher Langan yang dianggap sebagai lelaki paling bijak yang masih hidup di Amerika. Berikut adalah kisahnya.
Kehidupan awal yang sukar
BESARKAN TEKS A- A+
Christopher Michael Langan dilahirkan pada 1952 dan menunjukkan tanda-tanda kecerdasan sejak usia yang muda lagi. Dia mula bercakap pada usia enam bulan dan membaca pada usia tiga tahun.
Christopher bersama datuknya
Menurut Langan, dia dilihat sebagai seorang kanak-kanak genius di sekolah. Malah, rakan-rakannya menganggap Langan sebagai murid kesayangan guru-guru di sekolah.
Namun, zaman kanak-kanaknya dicemari dengan kisah gelap. Bapa kandungnya telah meninggalkan ibunya sebelum Langan dilahirkan lagi. Ibunya berkahwin sebanyak dua kali lagi di mana Langan mendapat dua adik lelaki tiri.
Suami keempat ibunya yang bernama Jack Langan pula adalah seorang kaki botol dan sering memukulnya serta dua orang adiknya yang lain.
Minat mendalam dalam pelajaran
Walau bagaimanapun, Langan terus cemerlang dalam bidang akademik. Ketika berusia 12 tahun, dia terpaksa belajar sendiri kerana telah jauh melangkaui sistem pembelajaran di sekolahnya.
Christopher Langan ketika remaja
Langan mempelajari sendiri matematik lanjutan, fizik, falsafah, bahasa Latin dan Yunani. Malah, Langan juga pernah mendapat markah penuh dalam ujian SAT walaupun dia tertidur semasa ujian itu.
Christopher Langan masuk ke Kolej Reed di Oregon dengan harapan untuk belajar matematik dan falsafah. Namun, ibunya tidak menandatangani borang yang membolehkan Langan mendapat biasiswa penuh. Maka, dia berhenti belajar.
Dia kemudian pergi ke Montana State University tetapi tidak bertahan lama kerana dia mempunyai masalah dengan profesor matematik kerana tahap kepintarannya jauh melebihi apa yang diajarkan.
Mindanya tidak pernah berhenti bekerja
Sebaliknya, dia mula bekerja. Langan melakukan pelbagai pekerjaan seperti penternak, pekerja binaan, bomba hutan, jurulatih kecergasan dan bouncer kelab malam. Ketika berusia 40-an, dia hanya mendapat gaji minimum sahaja di Amerika.
Walaupun begitu, mindanya tidak pernah berhenti bekerja. Ketika waktu lapangnya, Christopher Langan cuba merungkai rahsia alam semesta dengan membangunkan "theory of everything". Langan menggelarnya sebagai Cognitive Theoretic Model of the Universe atau CTMU.
Menurut Langan, teorinya itu termasuklah fizik dan sains semula jadi tetapi ia juga boleh pergi ke tahap yang lebih tinggi di mana anda boleh bercakap tentang keseluruhan sains. Bahkan, Langan juga menyatakan CTMU boleh membuktikan kewujudan Tuhan.
Namun, Langan mempunyai keraguan bahawa idea dan penulisannya itu akan dibaca atau dipandang serius kerana dia kurang kelayakan akademik. Malah, ada beberapa cendekiawan yang turut tidak bersetuju dengan teori bukti kewujudan Tuhan yang dikemukakan Langan.
Lelaki Paling Bijak di Amerika yang Masih Hidup
Dalam satu rancangan televisyen "20/20", mereka mendapati bahawa Christopher Langan mempunyai tahap IQ antara 195-210. Tahap IQ secara puratanya adalah sekitar 100. Namun, lelaki paling bijak ini memilih untuk menjalani kehidupan sederhana.
Christopher Langan dan isterinya, Gina.
Pada hari ini, Langan dan isterinya menghabiskan masa tua mereka di ladang kuda di Missouri. Menurut Langan, tiada siapa yang mengetahui mengenai IQ yang dimilikinya kerana dia tidak pernah memberitahunya sehinggalah rancangan "20/20" mendedahkannya.
Walaupun tenang di ladang kudanya, minda Langan tetap aktif. Dia dan isterinya, Gina, iaitu seorang pakar neuropsikologi klinikal telah menubuhkan Mega Foundation pada 1999 iaitu NGO bagi mereka yang mempunyai IQ melebihi 164 untuk berkongsi idea di luar lingkungan akademik.
Bahkan, Langan juga pernah menimbulkan beberapa kontroversi. Salah satunya adalah mengenai serangan 9/11. Dia berpendapat serangan itu dilakukan untuk mengalih perhatian dalam cubaan golongan kulit putih untuk menguasai dunia.
Bagi Langan sendiri, dia melihat dirinya sebagai seorang yang sangat bertuah kerana dikurniakan dengan minda yang hebat walaupun tidak mempunyai kelayakan tinggi dalam bidang akademik.