Sememangnya inovasi mengalir dalam darah Bernard Kiwia. Bapanya seorang mekanik manakala ibunya pula seorang tukang jahit. Sepanjang zaman kanak-kanaknya, kedua-dua ibu bapa Bernard membina dan mereka pelbagai benda baru menggunakan bahan terpakai.
Dari usia mentah lagi Bernard sentiasa teruja dengan proses mencipta sesuatu. Daripada membelanjakan wang untuk membeli mesin, beliau membangunkan mesin-mesin ciptaan sendiri. Bernard yang sebelum ini bekerja sebagai seorang mekanik basikal mula dikenali dengan ciptaan pengecas telefon yang dikuasakan dengan basikal dan motosikal. Kini, produk itu telahpun dikomersialkan di Tanzania.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada mulanya, Bernard hanya mencipta teknologi baru menggunakan barang ganti basikal untuk membantu keluarganya dan komuniti setempat. Rekaan mesin basuh kincir angin yang dibina Bernard berjaya menjimatkan masa dan tenaga keluarganya kerana baju akan dibasuh secara automatik pada waktu malam ketika angin bertiup lebih kencang.
Dari situ, bengkel Bernard mula menjangkau lebih jauh. Pada tahun 2011, beliau mengasaskan sebuah pusat inovasi dengan nama Accelerating Innovation and Social Entrepreneurship (AISE) di Arusha, Tanzania.
Bengkel ini menjadi pusat pelbagai inovasi dan ciptaan pelik di negara itu seperti pengisar jus dikuasakan dengan basikal serta pelbagai produk lain seperti pemanas air solar dan kit pengairan titis. Bernard terinspirasi untuk memulakan pusat itu daripada MIT D-Lab, iaitu sebuah pusat rekaan universiti di Amerika Syarikat.
Bernard yang mendapat jolokan "Bapa Inovasi Pedalaman Tanzania" kini bertugas sebagai pengarah teknologi di AISE dan menyokong inovator-inovator tempatan seperti dirinya. Beliau yakin bahawa anak muda Tanzania mempunyai idea-idea bernas yang mampu membantu menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi walaupun tidak berpendidikan tinggi.
Menurut Bernard, mereka sebenarnya mempunyai kemahiran untuk mencipta teknologi yang mampu dimiliki, mampu dibaiki dan mampu mencari segala barang gantian yang diperlukan.
Salah seorang inovator tempatan yang dibantu Bernard itu ialah Frank Mollel yang mencipta "Fert-Cart", iaitu kereta sorong yang diubah untuk menjimatkan masa untuk menabur baja di ladang daripada menggunakan tangan.
Model perniagaan Frank termasuklah kereta sorong yang boleh disewakan kepada petani yang tidak mempunyai tanah yang luas ataupun keuntungan yang besar untuk membeli terus ciptaan itu. Menurut salah seorang pelanggan Frank, mesin ciptaannya itu menyebabkannya berkemampuan untuk membayar yuran sekolah anak-anaknya.
Bengkel yang disediakan Bernard telah berjaya mengubah hidup ramai orang dan komuniti tempatan. Ramai orang di situ yang bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai projek berbeza dalam bilik yang sama. Jadi, jika seorang pereka menghadapi masalah, mereka boleh terus berbincang atau bertanyakan kepada inovator yang lain. Bernard juga sentiasa bertindak sebagai mentor yang banyak membantu mereka menyelesaikan masalah.
Jesse Oljange, antaranya, telah mencipta mesin pemerah minyak avokado yang mengubah nasib hidupnya. Sebelum ciptaannya dibuat, buah avokado hanya dibiarkan jatuh dan mereput disebabkan para petani tidak mampu mendapatkan harga jualan yang tinggi di pasar. Kini, golongan wanita dalam komuniti menggunakannya untuk memerah minyak avokado untuk dipasarkan.
Sementara itu, Magreth Omary menjadi antara inovator wanita yang berjaya menaikkan taraf hidup keluarganya. Dia telah mencipta mesin memotong sabun seterusnya membolehkannya memulakan perniagaan sabun sendiri. Dengan pendapatan yang diperolehi, anak-anaknya tidak lagi dibuang dari sekolah kerana tidak mampu membayar yuran.
Bernard Kiwia banyak melibatkan pelajar sekolah sekitar Tanzania dengan projek-projeknya. Beliau berhasrat untuk melahirkan generasi baru inovator di negara itu. Bengkel Bernard menyediakan sebuah van kecil yang akan bergerak ke kawasan-kawasan kampung di pedalaman dengan membawa peralatan dan memberikan latihan. Selain latihan praktikal seperti kimpalan, program sekolah yang diolah menyiapkan peserta dengan ilmu memulakan perniagaan dan menyediakan bajet.
Sebenarnya, amat sukar untuk menjadi seorang inovator di Tanzania atau Afrika kerana seringkali berdepan dengan kekangan pelbagai sumber. Namun, dengan kewujudan bengkel ini, Bernard Kiwia berharap beliau mampu menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat di sana untuk terus berinovasi walau apa jua cabaran yang menimpa.
"Adakalanya anda gagal, jadi anda cuba dan terus mencuba. Akhirnya, anda akan berjaya juga memperolehi sesuatu yang baik." -Bernard Kiwia