Bagi mereka yang gemar mengkaji sejarah berkaitan dengan perang dunia, satu nama yang pasti tak asing lagi adalah nama Simo Hayha.
Simo adalah seorang petani biasa dan pemburu yang berasal dari Karelia, yang hanya mempunyai ketinggian 160 cm. Dia juga adalah ikon masyarakat Finland semasa perang musim sejuk di antara Finland dan Soviet Union.
Perang tersebut bermula selepas Soviet menceroboh Finland pada 30 November 1939, 3 bulan selepas bermulanya perang dunia ke 2 dan berakhir pada 13 Mac 1940, selepas perjanjian keamanan ditandatangani dalam Moscow Peace Treaty. Berikutan tindakan itu, Soviet dikeluarkan daripada kerjasama League of Nations pada DIsember 1939, kerana pencerobohan itu dikira sebaga satu tindakan melanggar peraturan antarabangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Hayha berjuang sebagai askar dalam perang yang hanya berlangsung selama 105 hari itu yang mengakibatkan 25,900 askar Finland dan 126,900 askar Soviet meninggal dunia atau hilang, dengan Finland berjaya mempertahankan tanah air mereka berdepan dengan jumlah askar Soviet yang jauh lebih ramai.
Dalam peperangan musim dingin itu atau lebih dikenali dengan nama Winter War 1939-1940, Simo Hayha menjadi legenda selepas berjaya menembak mati lebih 500 orang askar Soviet menggunakan senapang jarak jauh beliau - sehinggakan dia diberikan jolokan 'Belaya Smert' atau 'The White Death' oleh askar Soviet sendiri.
Dilahirkan pada tahun 1905 di sebuah pekan kecil bernama Rautjarvi yang terkenal dengan industri pertanian, Simo mendapati pekan kecil kelahirannya itu terancam berikutan kedudukannya yang hampir dengan sempadan Russia. Ketika menyertai perang itu, Hayha berusia 33 tahun.
Membesar dalam suasana susah, sifat Hayha dibentuk melalui pengalamannya memburu di dalam hutan - menjadikan dia seorang yang keras dan sabar.
Pada tahun 1925, Hayha menjalani khidmat mandatori dengan askar FInland selama setahun dan menggunakan setahun itu sebaik mungkin. Hayha menamatkan khidmat mandatori itu dengan menjawat pangkat 'Upseerioppilas Officerselev' atau Pegawai Korporal.
Hayha kemudiannya menyertai Pasukan Keselamatan Awam Finland dan melanjutkan latihannya dalam bidang ketenteraan, termasuklah latihan yang paling digemarinya - tembakan jarak jauh. Dia mendapat senapang pertamanya, sebuah senapang buatan Russia yang terkenal dinamakan Mosin Nagant bolt action m91.
Latihannya membolehkan Hayha mampu melakukan tembakan tepat mengenai sasaran sebanyak 16 kali seminit, pada jarak 500 kaki (152.4m). Ini membuktikan kebolehan Hayha sebagai seorang penembak jarak jauh.
Pencerobohan Soviet Union memerlukan Hayha bertugas secara rasmi dan Hayha berkhidmat dengan kompani ke 6 pasukan JR34 di kawasan sekitar Sungai Kollaa dalam peperangan yang dikenali sebagai Battle of Kollaa. Pasukan Hayha mengadapi pencerobohan beberapa kali askar Soviet pelbagai divisyen dalam nisbah pertempuran yang kebanyakan 1 orang askar Finland dengan 3 orang askar Soviet.
Kawasan tersebut dianggap antara kawasan paling sukar dipertahankan berikutan kedudukannya yang terlalu hampir dengan garisan sempadan.
Tentera Finland yang jumlahnya lebih kecil, berjaya mempertahankan kedudukan mereka berikutan masalah tentera Soviet ketika itu yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang kawasan tersebut serta dilihat kurang bersedia menghadapi perang tersebut.
Faktor cuaca yang mampu mencapai suhu serendah -40 hingga -20 darjah celcius ketika itu membantu pasukan tentera FInland mendapat kelebihan, walaupun jumlah mereka teramatlah kecil berbanding jumlah askar Soviet.
Simo Hayha terlibat secara langsung dalam peperangan di Sungai Kollaa dengan mengambil peranan sebagai penembak jarak jauh. Dengan menggunakan senapang Mosin-Nagant M91 beliau, Hayha akan mengenakan pakaian putih dan berlindung di dalam salji selama beberapa hari, hanya dengan peluru dan keperluan makanan yang minima.
Memilih untuk tidak menggunakan skop pada senapangnya kerana pemasangan skop akan menyebabkan pantulan matahari yang akan membongkarkan kedudukannya, Hayha akan menembak mati semua askar yang masuk ke dalam penglihatannya. Ketepatan Hayha juga dibantu oleh pakaian seragam askar Soviet ketika itu yang tidak memakai pakaian putih dalam perang yang berlatar belakangkan salji.
Dipercayai, dalam perang tersebut Hayha membunuh secara purata 5 orang satu hari dengan menggunakan senapang jarak jauh. Bagaimanapun, menurut catatan Kapten Tentera Finland, Hayha membunuh 259 orang dengan senapang jarak jauh dan selebihnya menggunakan menggunakan submesingan. Usaha untuk mendapatkan fakta sebenar berapa jumlah askar Soviet yang ditembak mati oleh Hayha tidak dapat dilakukan, ekoran majoritinya mati jauh daripada garisan askar Finland di Sungai Kollaa.
Atas kecekapan Hayha, pasukan Soviet mula melancarkan gerakan besar-besar menggunakan lebih ramai penembak jarak jauh dan tembakan artileri di lokasi Sungai Kollaa. Simo Hayha cedera parah selepas wajahnya terkena tembakan peluru yang meletup sehinggakan ada surat khabar yang menyatakan dia telah meninggal dunia.
Hayha hilang sebelah mukanya semasa ditemui oleh rakan-rakannya dan dibawa ke hospital, lalu diselamatkan oleh pasukan perubatan. 11 hari hidup dalam koma, Hayha terjaga pada hari di mana perang di antara Soviet dan Finland berakhir, dengan perjanjian damai dicapai.
Bagi mencapai perdamaian, Finland terpaksa menyerahkan tempat kelahiran Hayha, Karelia dan beberapa kawasan lain pada pemerintahan Soviet. Secara keseluruhannya, 11% tanah Finland dan 30% aset negara Finland bertukar tangan diambil Soviet. 12% rakyat FInland terpaksa berpindah keluar dengan 422 ribu penduduk Karelia hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah ke daerah lain.
15 bulan selepas tamatnya perang musim sejuk, perang kedua meletus di antara Soviet Union dengan Finland dalam peperangan yang dinamakan Continuation War yang dimulakan oleh Jerman ke atas Soviet Union. Finland menyertai peperangan tersebut untuk merampas semula jajahan mereka yang dirampas semasa perang musim dingin. Bagaimanapun, Hayha tidak dapat meyertai perang tersebut berikutan kecederaan yang dialaminya.
Hayha mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kecederaannya. Letupan itu menghancurkan rahangnya serta pipi kirinya. Hayha pulih selepas menjalani pelbagai jenis pembedahan dan kembali meneruskan hidupnya sebagai seorang pemburu sehingga mencapai usia tua. Dia menetap di sebuah pekan kecil bernama Ruokolahti yang terletak di tenggara Finland.
Dalam satu temuramah pada tahun 1998, apabila ditanya adalah dia menyesal membunuh ratusan orang, beliau menjawab dia hanya menjalankan tugasnya, seperti mana yang diarahkan, sebaik yang mungkin.
Simo Hayha menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 April 2002 ketika berusia 96 tahun dan dikebumikan di Ruokolahti, dengan namanya terus menjadi inspirasi kepada rakyat Finland dalam menjaga kedaulatan negara mereka sehingga kini.
Berakhirlah legenda 'The White Death' yang mampu mengakibatkan perasaan takut pada askar-askar Soviet Union satu masa dulu, menyusup di dalam salji menembak mati penceroboh yang berani dari jauh secara senyap.
Batu nisannya terpapar namanya dan tiga perkataan - 'keluarga, agama dan negara' sebagai peringatan pada generasi baru masyarakat Finland tentang pengorbanan generasi dahulu, mempertahankan negara mereka.