Mungkin ada di antara pembaca iluminasi yang pernah mendengar kisah Jack, seekor babun yang bekerja sebagai konduktor isyarat kereta api di Afrika Selatan.
Namun, mungkin anda terkejut apabila mengetahui bahawa Jack bukanlah satu-satunya haiwan yang diambil bekerja oleh kerajaan negara ini.
Juga seekor babun spesis yang sama dengan Jack iaitu babun Chacma, Jackie berkhidmat di Rejimen Infantri Afrika Selatan ke-3 semasa Perang Dunia I.
BESARKAN TEKS A- A+
Kisah awal Jackie the Baboon
Permulaan Jackies juga sama seperti Jack, sebagai haiwan peliharaan kepada seorang lelaki bernama Albert Marr.
Albert menemui Jackie berkeliaran di ladangnya lalu memutuskan untuk mengambil dan melatihnya sebagai salah seorang daripada ahli keluarganya, seperti mana dilakukan oleh orang lain.
Jackie tinggal bersama Albert untuk beberapa tahun dan belajar menjadi seekor babun yang bijak dan menghormati manusia. Kemudian pada tahun 1915, Albert Marr disenaraikan untuk menyertai Perang Dunia Pertama.
Tidak sanggup untuk meninggalkan haiwan kesayangannya, Albert bertanyakan kepada pihak atasannya sama ada Jackie juga boleh menyertai pasukan tentera.
Dan jawapan yang diberikan mengejutkan semua orang, iaitu babun ini dibenarkan untuk menyertai mereka.
Mendaftarkan diri sebagai tentera Afrika Selatan
Setelah mendaftar, Jackie diperlakukan dan dilayan sama seperti semua tentera yang lain. Ia diberi pakaian seragam, lengkap dengan butang dan lencana rejim, topi, buku gaji dan set catuan sendiri.
Bukan Jackie sahaja dilayan seperti askar lain, malah ia sendiri bertindak seperti anggota-anggota dalam pasukan itu. Apabila ia melihat seorang pegawai atasan, Jackie akan berdiri dan memberi salam tabik kepada mereka dengan betul.
Jackie juga akan menyalakan rokok untuk rakan-rakan pegawai dan tentera penjaga, kerja yang mana sangat cemerlang dilakukan disebabkan oleh deria bau dan pendengaran yang tinggi.
Disebabkan dedikasinya terhadap pasukan tentera Afrika Selatan, Jackie dijadikan maskot rasmi Rejimen Transvaal ke-3 dan dibawa ke mana-mana sahaja bersama dengan tentera.
Ia menghabiskan masa di parit di Perancis ketika perang tersebut dan malah cedera akibat tembakan api oleh musuh.
Insiden cemas Jackie dalam WW1
Dalam satu insiden tembak menembak di salah satu parit, Jackie dilihat membina dinding batu di sekeliling dirinya untuk perlindungan.
Ketika ia sibuk membina tembok, serpihan letupan terpelanting melepasi temboknya dan mengenai kaki kanannya.
Doktor rejimen itu kemudiannya mengusung Jackie ke hospital perkemahan dan cuba menyelamatkan kakinya, tetapi sayangnya, ia harus dipotong.
Jackie yang pengsan akibat kesan klorofom dan kesan lain yang tidak diketahui terhadap seekor babun, para doktor yakin bahawa haiwan ini tidak akan sembuh.
Akan tetapi, selepas beberapa hari, Jackie sedar dan bangun semula seperti sediakala.
Daripada prebet kepada koperal
Di atas keberaniannya, Jackie telah dianugerahkan pingat keberanian serta dinaikkan pangkat daripada prebet kepada koperal.
Akhirnya, di penghujung perang, Jackie dilepaskan di Kem Pelepasan Maitland di Cape Town. Ia meninggalkan pasukan tentera dengan kertas pelepasannya, pencen tentera dan borang pekerjaan awam untuk tentera yang dilepaskan.
Sebagai sahabat sejati, Jackie kembali ke ladang keluarga Marr, menghabiskan sisa kehidupannya sebagai haiwan kesayangan, sehingga menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1921.
Sehingga hari ini, "Jackie the Baboon" adalah satu-satunya babun yang telah mencapai pangkat Prebet dalam Infantri Afrika Selatan, serta satu-satunya babun yang berperang dalam Perang Dunia I.