Masyarakat Malaysia nampak semakin ramai yang semakin menyedari kepentingan menjalankan aktiviti senaman. Selepas bergelar penduduk negara paling gemuk di Asia, usaha membudayakan senaman melalui pelbagai acara larian, senaman beramai-ramai malahan promosi gaya hidup sihat semakin kerap dilakukan.
Salah satu acara paling popular melibatkan aktiviti sukan di negara kita, adalah aktiviti maraton.
BESARKAN TEKS A- A+
Setiap bulan boleh dikatakan ada saja larian maraton dianjurkan di seluruh negara yang mendapat sambutan ribuan orang pelari. Ada yang berlari untuk menang, ada yang berlari untuk semata-mata habis dan ada juga orang berlari kerana rasa seronok berlari beramai-ramai. Walau apa pun tujuan anda menyertai acara maraton, apa kata hari ini kita belajar sikit sejarah berkenaan sukan maraton. Jom!
Perang Marathon antara Persia dan Greece
Sejarah maraton sebenarnya bermula daripada sejarah Greek yang melibatkan sebuah peperangan besar.
Peperangan yang dinamakan Battle of Marathon (Peperangan Marathon) adalah perang melibatkan kemasukan tentera Persia yang diketuai Raja Darius menceroboh Greece buat pertama kali. Pada ketika itu, Sparta dan Athens adalah dua buah bandar terbesar Greece, dengan tentera Persia pada ketika itu cuba menakluki Athens melalui pendaratan di sebuah pekan kecil bernama Marathon.
Askar Athens yang jumlahnya lebih kecil berbanding tentera Persia cuba memohon bantuan askar Sparta namun Sparta tidak dapat menghulurkan bantuan ketika itu. Ini membuatkan tentera Athens terpaksa mempertahankan Marathon sendiri, dengan bantuan askar dari Platea yang juga kecil jumlahnya, sambil menunggu kehadiran tentera dari Sparta.
Walaupun berdepan jumlah yang lebih besar, tentera Athens menggunakan pengetahuan dan kelebihan bertarung di tanah sendiri, menggunakan kawasan paya untuk memecahkan kelompok askar Persia bagi memudahkan pertempuran. Walaupun mempunyai jumlah yang lebih kecil, tentera Athens akhirnya berjaya mengusir tentera Persia supaya berundur, sehingga majoriti musuh mereka hanya mampu berlari berpatah balik ke kapal ekoran kegagalan menguasai kawasan strategik di Marathon.
Dalam pertempuran Marathon inilah tentera Greece secara amnya menyedari mereka mampu mengusir keluar ancaman Persia secara sendirian, tanpa bantuan angkatan perang Sparta yang kerap membantu mereka sebelum ini.
Jadi, apa kaitannya perang ini dengan larian maraton?
Pengaruh perayaan sambutan Carneia
Sebelum Peperangan Marathon bermula, Pheidippides, seorang pelari penghantar mesej paling hebat di Athens diberikan tanggungjawab untuk berlari ke Sparta bagi memohon bantuan daripada pihak Sparta. Selepas berlari ke Sparta tanpa henti, sSetibanya dia di sana, Pheidippides mendapati Sparta sedang meraikan upacara sambutan Carneia yang menjadi salah satu perayaan terbesar di Sparta.
Upacara meraikan Tuhan mereka yang bergelar Carnus itu diadakan secara besar-besaran setiap tahun di situ. Ekoran pantang larang pada sambutan Carneia ini memerlukan orang Sparta mengekalkan keamanan sehinggalah tiba bulan mengambang penuh - ini menyebabkan tentera Sparta tidak dapat membantu Athens menentang pencerobohan Persia.
Berita itu memaksa Pheidippides berlari semula ke Marathon bagi menyampaikan perkhabaran sedih itu. Sekiranya diukur jarak pergi dan balik daripada Marathon ke Sparta, jaraknya adalah sekitar lebih 240 kilometer. Pheidippides berlari selama satu hari setengah untuk pergi ke Sparta dan pulang membawa berita buruk. Tentera Athens menerima berita dari Pheidippides, menyedari mereka perlu terus bertahan menentang Persia dengan jumlah yang kecil tanpa askar Sparta.
Kemenangan menakjubkan orang Athens yang dicapai tanpa memerlukan bantuan tentera Athens memerlukan Pheidippides berlari sekali lagi dari Marathon ke Athens, untuk menyampaikan berita gembira kemenangan mereka pada pemimpin Athens di sana.
Larian tanpa henti Pheidippides
Rasa gembira berikutan kemenangan menyebabkan Pheidippides berlari tanpa henti sejauh 42 kilometer atau 26.6 batu sebelum tiba di Athens. Pemimpin-pemimpin di Athens yang berdebar menantikan sebarang khabar berita daripada Marathon sudah pun berkumpul di dalam dewan mereka.
Pheidippides tiba ke dalam dewan, menjerit yang tentera Athens telah menang di Marathon dan malangnya, selepas itu beliau jatuh lalu meninggal dunia selepas berjaya menyelesaikan tanggungjawabnya.
Legenda menyebut, secara keseluruhan dalam tempoh Peperangan Marathon, Pheidippides telah melakukan larian pergi balik sejauh 240 kilometer dari Marathon ke Sparta dalam tempoh satu setengah hari, sebelum diminta menyampaikan berita gembira yang tentera Athens telah pun berjaya menewaskan tentera Persia dengan jarak larian terakhir beliau 42 kilometer.
Fuh! Power tak power stamina dia.
Sebagai informasi tambahan, sepuluh tahun berikutnya pada tahun 480BC, anak kepada Darius iaitu Xerxes menggantikan ayahnya lalu memulakan usaha menakluk Greece pada percubaan kali kedua. Sambutan Carneia juga memberikan impak besar pada orang Sparta ketika itu. Pada waktu perayaan itu, tentera Xerxes menyerang Sparta yang menyebabkan hanya sekumpulan kecil tentera Sparta dapat bertempur dengan tentera Persia yang jauh lebih besar bilangannya.
Peperangan untuk mempertahankan sempadan Sparta yang diketuai oleh Raja Leonidas menentang askar Persia pimpinan Xerxes dengan hanya 300 orang pengikutnya merupakan salah sebuah legenda paling popular melibatkan sejarah Greece, tetapi itu kisah yang perlu disimpan untuk waktu lain.
Legasi larian Pheidippides mencipta acara sukan maraton
Bagi memulakan temasya Olimpik moden buat kali pertama, penganjur berhasrat mahu mewujudkan acara yang sinonim dengan sejarah Greece sebagai tuan rumah pertama sukan Olimpik pada tahun 1896.
Mengambil legenda Pheidippides melakukan larian daripada Marathon ke Athens, penganjurkan mencipta acara larian dari pekan Marathon ke Stadium Panathenaic yang terletak di Athens sebagai penghormatan pada Pheidippides, penghantar mesej terpantas dalam sejarah Greece. Jarak larian yang ditetapkan juga hampir sama dengan jarak larian Marathon ke Athens yang dilakukan Pheidippides iaitu 40 kilometer.
Pemenang pertama acara larian dari Marathon itu adalah Spiridon Louis, seorang pengangkut air dari Greece yang mencatatkan masa 2 jam 58 minit dan 50 saat, menewaskan 16 pelari lain. Spiridon diangkat menjadi wira negara Greece ekoran kemenangan beliau itu dan dari situlah acara larian 'marathon' mula menjadi popular.
Ujian ketulenan kisah Pheidippides
Memang diakui sukar untuk menerima seorang lelaki mampu berlari sejauh 250 kilometer dalam tempoh satu setengah hari.
Untuk membuktikan ketulenan kisah tersebut, pada tahun 1982, pihak tentera British telah memilih 3 orang pelari bernama John Foden, John Scholtens dan John McCarthy untuk menguji benarkah Pheidippides mampu berlari pada jarak 250km dalam tempoh satu setengah hari.
Ujian tersebut mendapati larian Pheidippides benar-benar mampu dilakukan, dengan kesemua pelari mencatatkan masa 39 jam dan ke bawah untuk menghabiskan jarak 250 kilometer yang ditetapkan.
Bermula daripada ujian itu, satu acara tahunan yang dinamakan Sparthathlon dianjurkan dengan jarak larian 246 kilometer dari Athens ke Sparrti (nama sekarang Sparta) dan diletakkan sebagai salah satu acara marathon dalam kategori ultramarathon. Rekod bagi kejohanan itu bagi kategori lelaki adalah 20 jam 25 minit dan bagi kategori perempuan pula 24 jam 48 minit, yang dibuat pada tahun 2017.
Kami pasti sekiranya Pheidippides dibekalkan dengan kasut sukan yang baik, tak mustahil rekod kejohanan itu dapat dipecahkan dengan mudah.