hitler dan haji amin al husseini

Sejarah berkenaan Adolf Hitler dan tentera Nazi banyak meletakkan diktator tersebut sebagai penjahat nombor satu yang telah membunuh jutaan nyawa orang Yahudi dalam peristiwa yang kita kenali sekarang sebagai Nakba atau Holocaust.

Walau demikian pada bulan Oktober tahun 2015 - Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu dalam ucapannya semasa kongres zionis ke 37 dipetik sebagai berkata; punca sebenar keganasan kepada masyarakat Yahudi berlaku sehingga mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai bukan saja patut ditanggung Adolf Hitler tetapi juga seorang lelaki Muslim bernama Haji Amin al-Husseini.

Netanyahu menyebut Haji Amin sebagai individu yang bertanggungjawab merangka solusi yang dilaksanakan Hitler, mengubah taktik pengusiran orang Yahudi kepada pembunuhan beramai-ramai.

Tidak lama selepas itu, Netanyahu menarik kembali kenyataannya namun apa yang sudah diungkapkan membuka kembali perbincangan terhadap pengaruh masyarakat Islam terhadap agenda besar Adolf Hitler.

Persoalannya, siapakah Haji Amin al-Husseini?

Siapakah Haji Amin al-Husseini?

haji amin tabik tentera

Nama Haji Amin al-Husseini mungkin jarang sekali disebut berkait dengan peristiwa holocaust yang telah berlaku. Lahir pada tahun 1897 di Palestin, Haji Amin datang daripada keturunan bangsawan yang telah menetap di Baitulmuqaddis sekian lama.

Haji Amin al-Husseini terkenal sebagai seorang yang sangat anti semitik. Dia dilaporkan pernah menjadi dalang kepada salah satu rusuhan yang berlaku menentang gerakan zionis pada tahun 1920, menyebabkan dia dihukum penjara 10 tahun. Bagaimanapun, tempoh penguasaan British ke atas Palestin yang dikenali sebagai era 'Palestin Mandatori' membolehkan hukuman penjara ke atas beliau ditarik balik. 

Bagi menguasai pengaruh beliau ke atas masyarakat Palestin, British melantik beliau kepada jawatan mufti besar Baitul Muqaddis - namun jawatan itu tampak tidak menghalang jiwa aktivis beliau, yang terkenal bencikan penaklukan di negaranya yang dilihat sedang berlaku sikit demi sikit.

Terus menyertai gerakan-gerakan mahu mengusir pendudukan British di Palestin melalui gerakan rusuhan, British akhirnya mengambil keputusan menarik kembali jawatan mufti besar yang diberikan pada Haji Amin al-Husseini pada tahun 1937. Ini menyebabkan Haji Amin melarikan diri ke Lebanon bagi meneruskan usahanya selepas waran tangkap dikeluarkan atas namanya.

Fatwa yang beliau keluarkan mewajibkan penentangan umat Islam terhadap British, juga ditarik balik. 

Penentang kuat rancangan penubuhan negara haram Israel

haji amin mufti baitul muqaddis

Walaupun terpaksa melarikan diri daripada negara asalnya, Haji Amin tetap tidak berhenti berusaha menyatukan negara-negara Arab.

Kertas putih tahun 1939 yang dibentangkan oleh kerajaan British dalam usaha mencapai solusi kepada kewujudan negara orang Yahudi, menjadi penyambung pertikaian beliau dengan British. Nasib baiklah kerajaan Itali di bawah pemerintahan Fasis dan Jerman di bawah pentadbiran Nazi mula memberikan perlindungan ke atas gerakan beliau.

Haji Amin al-Husseini memainkan peranan yang besar membawa masuk tentera-tentera Bosnia beragama Islam ke dalam unit ke 13 Divisyen Waffen-SS, divisyen pertama yang dibarisi oleh orang luar bukan warganegara Jerman dalam tentera Nazi.

waffen ss tentera bosnia muslim

Kebanyakan pihak yang pro Israel menyifatkan Hitler sebenarnya mempergunakan semangat dan sentimen Haji Amin al-Husseini untuk kepentingan tentera Nazi. Ini kerana rekod tulisan dalam karya Mein Kampf menyifatkan orang Islam khasnya orang Arab sebagai individu bertaraf rendah, berbanding dengan pegangan Hitler yang percaya dengan ketinggian darjat orang Aryan.

Salah satu tindakan Hitler yang paling dikritik golongan pro Israel adalah pengisytiharan Haji Amin sebagai seseorang yang layak dikatakan berketurunan Aryan. Selain itu, penyertaan tentera Bosnia ke dalam pasukannya membuatkan Hitler turut menyifatkan orang Bosnia sebagai orang Aryan tulen.

Walau apa pun pandangannya, apa yang jelas Haji Amin al-Husseini serta Hitler dan Nazi mempunyai persamaan yang sangat ditakuti kelompok pro Israel ketika itu; mereka berkongsi musuh yang sama - orang Inggeris (British), orang Yahudi dan gerakan Komunis.

Berikutan kerjasama mereka berdua, dalam sebuah pertemuan di antara Haji Amin dengan Hitler sendiri - Haji Amin secara terbuka melakukan beberapa permintaan dalam melindungi Palestin. 

Yang pertama, beliau meminta Hitler menyokong gerakan untuk mengusir British keluar daripada negara Palestin, Iraq dan Mesir. Beliau juga mahu Nazi membanth mengadakan revolusi besar-besaran di negara-negara Arab bagi menghalau keluar orang Yahudi, dengan bantuan tentera Nazi. Selain itu, tentera Nazi juga diminta melatih pasukan tentera Arab daripada kelompok tahanan perang yang dikurung di Jerman ketika itu.

Kesilapan fakta Netanyahu

benjamin netanyahu photo ohad zwigenberg adolf hitler and haj amin

Untuk menyebut Haji Amin sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi oleh tentera Nazi, adalah tidak benar sama sekali. Inilah kesilapan yang dilakukan oleh Netanyahu dalam ucapannya itu, kerana pertemuan Haji Amin al-Husseini dan Adolf Hitler sama sekali tidak mengubah agenda yang sebenarnya sudah ditetapkan terlebih awal oleh tentera Nazi.

Rekod pertemuan mereka berdua lebih banyak berkisar kepada permintaan Haji Amin al-Husseini kepada tentera Nazi, dalam memberikan solusi kepada masalah yang sedang dihadapi negara Palestin yang ketika itu sedang berdepan ancaman penubuhan negara Israel.

Hitler sendiri dalam pertemuan itu direkodkan mengakui Nazi akan melakukan apa saja yang berkaitan dengan penghapusan kaum Yahudi dan sudi membantu mana-mana negara dalam menyelesaikan masalah kewujudan orang Yahudi di negara mereka - dengan syarat mereka berjaya menewaskan tentera Soviet dan menguasai laluan pentinh di banjaran Caucasus.

Pertemuan kedua-dua pemimpin ini berlaku ketika tentera Nazi diramal bakal mengalahkan dan menguasai Moscow, kubu kuat Kesatuan Soviet.

Malangnya ramalan itu tidak menjadi kenyataan selepas selepas tentera Nazi berjaya ditewaskan.

Menjadi buruan Yahudi

haji amin bersama tentera nazi

Selepas tewasnya Nazi, Haji Amin al-Husseini mula hidup seperti seorang pelarian ekoran kedudukannya sebagai salah seorang pendokong kuat gerakan tersebut.

Beliau cuba melarikan diri ke Switzerland sebelum ditangkap oleh tentera Perancis dan dikurung di Paris, dengan kerajaan Perancis cuba mengambil kesempatan mewujudkan kerjasama dengan negara-negara Arab, berlandaskan pengaruh Haji Amin al-Husseini.

Permintaan British supaya menghantar beliau untuk dibicarakan sebagai seorang penjenayah perang ditolak, mengakibatkan British serta gerakan zionis mula mencari jalan lain dalam mengendurkan pengaruh beliau. Rancangan membunuh beliau oleh askar Ha-Yishuv (nama kawasan asal Israel sebelum Israel ditubuhkan) dipertimbangkan, namun dihentikan rancangannya. 

Menyedari dirinya tidak dapat memainkan peranan lebih besar di Perancis yang jauh daripada tanah asalnya, rHaji Amin al-Husseini memilih untuk kembali ke negara Arab dengan bantuan Perancis. Mesir, Arab Saudi atau Yemen dipilih sebagai destinasi dan satu operasi rahsia melibatkan kerajaan Perancis membolehkan Haji Amin al-Husseini selamat kembali ke Kaherah, Mesir.

hitler bertemu haji amin

Pada 4 Julai 1974, Haji Amin al-Husseini meninggal dunia di Beirut, Lebanon. Hasratnya mahu disemadikan di tanah asalnya Palestin tidak kesampaian selepas tentera haram Israel berjaya menguasai bahagian timur Baitul Muqaddis pada tahun 1967.

Permohonan untuk melakukan pengebumian beliau di situ ditolak kerajaan haram Israel. Lebih kurang dua tahun selepas kematian beliau, ahli-ahli parti Phalange yang majoritinya beragama Kristian memecah masuk ke kediaman beliau, mencuri dan menghapuskan semua dokumen dan rekod yang disimpan di situ.

Ini menyebabkan banyak rekod rasmi yang sepatutnya dapat menjadi bukti penglibatan Haji Amin al-Husseini dalam pelbagai bentuk penentangan dan pembebasan masyarakat Arab khasnya tanah Palestin lenyap; kinu semakin lama, semakin dilupakan.

Begitulah kisah Haji Amin al-Husseini, lelaki Muslim yang sehingga kini masih dipercayai salah seorang pencetus misi pembunuhan jutaan orang Yahudi dalam salah satu pembunuhan etnik terbesar, dalam sejarah manusia. 


tags :, , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)