Walaupun seringkali disebut dalam persepsi buruk, legasi Adolf Hitler dan tentera Nazi di dunia tetap dikenang sehingga kini. Namun, artikel kali ini bukanlah untuk membincangkan berkenaan legasi perang dan pembunuhan yang ditinggalkan Hitler atau cara tabik mereka yang unik, sehingga sering diikuti individu-individu kurang kesedaran.

Kali ini, kita hanya akan mengulas berkenaan satu perkara saja yang sering dikaitkan dengan Hitler sendiri - iaitu misainya. Seandainya disebut tentang misai Hitler, mudah bagi kita membayangkan rupanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seringkali diparodi dalam rancangan komedi serta dijadikan simbol kutukan oleh mereka yang anti gerakan Nazi, misai Hitler adalah satu simbol yang mudah diingati, sangat ikonik dalam budaya popular dunia. Apa kisah di sebalik misai itu? Kenapa Hitler memilih misai sedemikian rupa?

Zaman muda Hitler

hitler semasa jadi pemerintah nazi

Untuk sekian lama, masyarakat dunia langsung tidak mengetahui dari mana Hitler mendapat idea bagi menggayakan misainya sedemikian rupa - walaupun wajah beliau menjadi sangat popular di seluruh dunia.

Pada tahun 1954, di sebuah arkib di Marbach, Jerman berlaku penemuan beberapa jilid dokumen yang mengandungi esei hasil karangan seseorang. Namun mereka yang menyelongkar tidaklah mengambil endah apa isi kandungannya pada ketika itu.

Selang beberapa tahun selepas itu, barulah mereka menyedari bahawa koleksi esei yang ada tersembunyi di arkib itu merupakan hasil tulisan Alexander Moritz Frey, salah seorang penulis terkenal Jerman yang dikenali sebagai seorang penulis buku fantasi serta seorang kolumnis yang menulis satira di akhbar - selepas berakhirnya zaman perang di Jerman.

Frey pernah dikerah untuk berkhidmat sebagai pegawai perubatan tentera, hingga terpaksa menangguhkan impiannya mahu menjadi seorang penulis terkenal. Hanya selepas dia menamatkan perkhidmatannya, nama Frey mula dikenali sebagai seorang penulis komedi dalam majalah Simplissimus dan juga seorang penulis sains fiksyen yang disegani.

Lama selepas dia meninggal pada tahun 1957, penemuan koleksi tulisan Frey di antara dokumen-dokumen yang tersimpan akhirnya dibukukan dan diterbitkan, dengan tajuk asalnya seperti dinamakan Frey - 'The Unknown Private - Personal Memories of Hitler.'

Memori bersama Hitler

alexander morritz frey

Menurut rekod tentera, Frey dan Hitler pernah ditugaskan dalam kumpulan yang sama namun sifat mereka berdua jauh berbeza. Frey seorang yang lebih menghargai ketenangan sementara Hitler pula seorang yang sangat fokus pada tugasnya.

Mereka berdua tidak rapat, namun berikutan perlu bertugas bersama - keduanya ada  berinteraksi antara satu sama lain. Dalam tulisannya yang ditemui, Frey menceritakan berkenaan rasa kurang senang beliau terhadap Hitler, diibaratkan seorang lelaki Austria yang kurus, mempunyai kelicikan yang tersendiri serta sangat bijak memanipulasi orang lain.

Walaupun agak kritikal terhadap Hitler, Frey turut mengakui Hitler bukanlah seorang pengecut walaupun saiznya agak kecil. Hitler juga menurut Frey - seorang askar yang tidak takut untuk diletakkan dibarisan hadapan setiap kali ditugaskan berperang. Dia juga tidak mengambil cuti rehat sakit sekiranya diperlukan bertugas, demi memastikan dirinya mendapat perhatian pegawai atasan.

Menurut Frey, dia mengenali Hitler semasa sama-sama memulakan tugas berpangkat prebet pada tahun 1915. Pada detik pertemuan mereka kali pertama, Hitler yang mempunyai wajah yang agak menggerunkan telahpun menyimpan misai yang agak tebal dan mempunyai kelebaran penuh, sama seperti orang lain.

Namun satu insiden memaksa Hitler mengubah fesyen misainya menjadi fesyen yang sangat dikenali sekarang.

Dipaksa memotong misai atas arahan pegawai atasan

hitler misai ikonik

Kenapa Hitler menyimpan misai?

Kata Frey, di bahagian bibir Hitler terdapat kesan parut yang tidak diketahui puncanya betul-betul di bahagian alur bibir. Bagi melindungi kesan itu daripada kelihatan, Hitler sentiasa menyimpan misai panjang agar kesan itu dapat disorokkan.

Tentera Jerman yang pada ketika itu menentang Britain mula berdepan dengan serangan gas 'mustard', gelaran yang digunakan bagi mewakili serangan gas sulfur berikutan baunya yang menyamai bahan 'mustard'. Ancaman serangan gas memaksa setiap ahli tentera Jerman melakukan operasi dengan menggunakan topeng gas - namun topeng gas itu menimbulkan masalah kepada Hitler.

Dalam satu operasi pada tahun 1918, Hitler diserang dengan serangan gas sehinggakan dia hilang penglihatan dan pengsan, sebelum diselamatkan rakan sepasukannya. Sebabnya? Gas yang sepatutnya berjaya ditapis oleh topeng - berjaya menyusup masuk melalui bukaan yang ada ekoran misai Hitler yang lebat.

Bimbang dengan keadaan itu, Hitler diarahkan oleh pegawainya untuk membuang misai, agar pemakaian topeng yang sempurna dapat dilakukan. Namun Hitler enggan mencukur keseluruhan misai - sebaliknya hanya mencukur bahagian tepi, bagi membolehkan topeng melekap dengan baik dan meninggalkan bahagian tengahnya untuk menutupi parut yang ada.

Begitulah kisah yang diceritakan oleh Frey dalam bukunya, ditulis berdasarkan ingatannya berkhidmat bersama Hitler. Dikenali kini sebagai 'misai berus gigi' atau 'toothbrush moustache', fesyen misai ini akhirnya menjadi antara perkara yang paling diingati tentang Hitler - walaupun bukan dia yang memulakan rupa misai sedemikian rupa.

Rujukan

Eye-Witness Account of Hitler's WWI Years Found




Hakcipta iluminasi.com (2017)