Setelah beberapa tahun memegang kuasa sebagai Presiden Amerika Syarikat, akhirnya Donald Trump mula mengorak langkah mengotakan janjinya yang dibuat semasa baru menjawat jawatan tersebut.

Pada 29 Januari 2020, Trump mengumumkan rancangan beliau dalam menyelesaikan konflik Palestin-Zionis, seterusnya menyelesaikan salah satu perseteruan merebut sempadan dan jajahan yang lama diperkatakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam pengumuman yang dibuat bersama Perdana Menteri negara Zionis, Benjamin Netanyahu - Donald Trump berjanji bahawa rancangan yang bakal dilaksanakan beliau akan membolehkan dua buah negara iaitu Palestin dan Israel, dapat wujud secara aman dan tenteram.

Reaksi dari Palestin berkenaan pengumuman ini cukup jelas - Mahmoud Abas menganggap pengumuman Trump adalah satu gerakan jahat yang licik mahu mengambil alih sepenuhnya Baitulmaqdis daripada tangan orang Palestin selama-lamanya, kerana dibuat tanpa rundingan bersama Palestin.

Ibarat Trump dan Israel berbincang, buat keputusan bersama untuk masa depan Palestin dan Palestin hanya perlu akur. 

Apakah cadangan yang diutarakan Trump?

keakraban trump netanyahu

Berdasarkan kepada rekod ucapan yang disebutkan Trump, terdapat beberapa matlamat utama yang mahu dicapai oleh Trump dan Zionis dalam merangka pelan perjanjian baru itu.

Pertama, untuk menyatukan keseluruhan Baitulmaqdis di bawah pemerintahan kerajaan Zionis, menjadi ibu negara kepada kerajaan Israel secara rasmi tanpa boleh dipertikaikan lagi mana-mana pihak.

Yang kedua adalah menyelesaikan masalah garis sempadan antara tuntutan Palestin dan Zionis, dengan menjanjikan kawasan jajahan Palestin akan bertambah dua kali ganda keluasaannya - selepas Zionis bersetuju untuk melepaskan beberapa kawasan yang dikuasai mereka.

Walaupun demikian, cadangan yang dikemukakan Trump dikatakan hanya akan mengembalikan semula 15% sahaja keluasan asal Palestin, berbanding keluasan sebenar sebelum kemunculan puak parasit ini sehingga Palestin kehilangan tanah mereka.

Selain itu, Donald Trump juga mengumumkan tempoh 4 tahun akan diperuntukkan kepada kerajaan Palestin bagi mengkaji cadangan yang diberikan, seterusnya cuba berbincang dengan Zionis bagi mendapatkan persetujuan tentang isu garis sempadan yang sudah diputuskan.

Ultimatum Trump yang keras

palestine map one state

Apa yang kita ketahui setakat ini - rancangan perjanjian damai yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat ini hanya melibatkan perjanjian di antara kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan haram Zionis semata-mata, tanpa mengambil kira sebarang pandangan atau tuntutan Palestin.

Palestin masih lagi memboikot sebarang usaha melibatkan rundingan damai, selepas Amerika Syarikat bertindak memindahkan kedutaan mereka daripada Tel Aviv ke Baitulmaqdis; dilihat sebagai satu usaha Amerika Syarikat mengiktiraf kedudukan kerajaan Zionis di sana.

Yang lebih menyakitkan hati - ini adalah kali pertama sebarang rancangan atau keputusan yang dibuat, dibuat tanpa rundingan antara Palestin dan Zionis. Semua rundingan sebelum ini hanya dilakukan antara kedua-dua buah kerajaan tanpa melibatkan pihak ketiga; apabila isu berkaitan sempadan, masa depan Tebing Barat dan nasib warga Palestin dibincangkan.

vision for peace israel palestin trump

Secara tak langsung dengan pengumuman ini, Amerika Syarikat dilihat seakan memberikan satu ultimatum keras pada Palestin untuk menerima saja tawaran yang diberikan dan jangan lagi mahu memanjangkan konflik.

Tempoh empat tahun yang diberikan walaupun bunyinya seolah-olah satu tawaran rundingan, lebih layak dilihat sebagai satu tempoh persediaan agar kerajaan Palestin akur dengan ketetapan yang telah dibuat.

Palestin juga perlu bersedia untuk memberikan kerjasama ke atas rancangan persempadanan semula yang bakal digerakaan ZIonis, dibantu sokongan kuat Donald Trump.

Isu yang perlu diselesaikan

penempatan haram di tebing barat

Seandainya tempoh 4 tahun yang diberikan Trump mampu menekan Palestin untuk akur dengan tawaran yang diberikan, ada beberapa isu yang sangat sulit perlu diselesaikan.

Bagaimana perkara ini akan berlaku apabila Trump sudah berjanji tidak akan memindahkan sesiapa pun di Palestin dan negara Zionis, sukar untuk dibayangkan.

Tuntutan Palestin yang mahu Tebing Barat, Gaza dan bahagian timur Baitulmaqdis diletak di bawah jajahan mereka sudah pasti tidak lagi dihiraukan kerana Trump mahukan Baitulmaqdis diserahkan sepenuhnya kepada Zionis.

Zionis juga tetap berkeras mahu Palestin mengiktiraf kewujudan negara mereka sebagai 'negara rasmi orang Yahudi,' sehingga kini meletakkan syarat enggan menerima kembali kelompok pelarian Palestin di seluruh dunia dianggarkan seramai 6 juta orang, kerana takut demografik negara mereka bertukar.

Tindakan mahu menubuhkan negara rasmi Yahudi ini disifatkan oleh Palestin serta masyarakat antarabangsa, sebagai satu penghinaan besar ke atas penduduk asal wilayah tersebut yang rata-ratanya komuniti Muslim, Kristian dan orang Druze.

Kewujudan penempatan dan markas tentera Zionis di sepanjang Tebing Barat, menempatkan lebih 600,000 warga Zionis turut sama menjadi salah satu isu yang diramal akan diselesaikan dalam empat tahun akan datang. Ini disebabkan oleh tuntutan Palestin yang mahu kesemua warga Zionis dipindahkan dan kawasan penempatan dikosongkan, dikembalikan kepada masyarakat Palestin.

Apabila Donald Trump menjanjikan bahawa tidak ada sesiapa pun perlu dipindah dalam rancangan mereka, jelas bahawa garis sempadan baru Palestin-Zionis yang sedang direncanakan mereka, hanya akan menguntungkan sekutu Amerika Syarikat.

Tiada apa yang dilihat bakal memberikan kelebihan pada Palestin dalam rancangan baru ini, hanya menyebabkan kerugian besar pada Palestin;  berputih rakyatnya terpaksa berputih mata melihat tanah sendiri dirampas pihak tetamu yang dulu disambut dengan tangan terbuka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)