Ketika dunia disogok dengan kisah peperangan dari Jerusalem, sebenarnya ada juga puak Yahudi dan Islam lain yang sedang bertempur dalam peperangan berbeza. Namun, peperangan yang dimaksudkan ini tidak memerlukan sebarang keganasan atau meragut nyawa, sebaliknya ia melibatkan permainan dam backgammon yang digelar shesh besh.
BESARKAN TEKS A- A+
Satu kumpulan yang diberi nama Double Yerulshami telah mengatur beberapa siri perlawanan dan menghimpunkan kedua-dua pihak Yahudi dan Arab untuk memeriahkan aktiviti kebudayaan bersama-sama. Sekitar 50 pemain akan berkumpul pada suatu-suatu masa, duduk menghadap pesaing dengan lagak seorang pro dan bergelak ketawa beramai-ramai.
Kerapkali meja dihentak dan terdengar jeritan "yalla" ataupun "kadima" yang memberi makna "Ayuh!" dalam bahasa Arab dan Hebrew. Tetapi suasana langsung tidak tegang dan penuh dengan lawak jenaka.
Seorang pelarian Palestin, Karem Joubran mengakui aktiviti ini telah menyatukan dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak. Mereka mengenepikan segala isu politik dan keagamaan tapi cuma fokus kepada minat yang sama iaitu permainan shesh besh.
Menurut penganjur acara ini, mereka telah mengatur 6 perjumpaan sehingga ke hari ini yang menjadi semakin popular dan mempunyai bilangan peserta lebih ramai. Separuh perjumpaan dibuat di sebelah kejiranan Palestin dan separuh lagi di bahagian Israel.
Perjumpaan terbaru mereka menampakkan sekumpulan wanita Palestin memakai hijab datang untuk menyokong para suami manakala anak mereka duduk bergembira bermain bersama-sama. Di seberang jalan pula kelihatan anak-anak muda Yahudi ortodoks dan pejuang Palestin sedang berlatih seni mempertahankan Brazil, Capoeira. Pada penghujung malam, mereka semua beramai-ramai akan menari dengan berlatarbelakangkan alunan muzik arab yang dipanggil Dabke.
Shesh besh dan muzik dabke mungkin hanya dua perkara yang mudah dipandang ringan. Namun ia berjaya menyatupadukan kedua-dua puak yang sedang bertegang urat untuk menemui kesepakatan. Diharap penyatuan kecil dari akar umbi ini boleh mendamaikan situasi yang meruncing di peringkat atasan pula. Marilah kita sama-sama berdoa.