perompak kubur

Charlie Chaplin dilahirkan pada 16 April 1889 di London, England. Dia adalah seorang pelakon komedi British yang kemudiannya menjadi salah seorang bintang terbesar terbesar industri perfileman pada abad ke-20. Sebelum ini iluminasi.com pernah berkongsi satu kisah mengenai kehidupan bintang ini yang sangat menyedihkan.

kisah mayat chaplin diculik

Sebagai salah seorang bintang terawal industri perfileman Hollywood, Charlie Chaplin sentiasa menjadi perhatian awam. Dilahirkan dalam kemiskinan, dia telah berhijrah dari industri buruh di London ke dunia glamor layar perak.

Dia terkenal dengan pesona legenda melalui watak "The Tramp" yang memakai topi bowler, berkumis kecil dan berjalan menggunakan tongkat. Gaya dan kerenah lucunya menjadi ingatan kepada setiap peminat pada zamannya.

charlie chaplin 970

Dia bukan sahaja menjadi tumpuan ketika masih hidup, malah setelah meninggal dunia pada tahun 1977 ketika berusia 88 tahun. Kejadian itu berlaku di kawasan Corsier-sur-Vevey di Tasik Geneva, Switzerland, di mana terletaknya rumah kediaman keluarga Charlie Chaplin.

Kematian Charlie Chaplin yang berlaku pada Hari Krismas itu mungkin adalah salah satu tragedi buruk bagi balunya, Lady Oona dan anak-anaknya. Namun, kesedihan mereka terhadap kehilangan orang tersayang tidak hanya terhenti setakat itu sahaja.

Tiga bulan selepas kematian Charlie Chaplin, keluarganya menerima satu panggilan aneh daripada pihak polis. Pada bulan Mac 1978, pihak polis telah memberitahu bahawa kubur Charlie telah digali dan mayatnya telah dicuri.

kubur charlie chaplin digali

Pada mulanya mereka tidak mengerti mengapakah perkara malang ini berlaku kepada mendiang. Namun, tidak lama selepas itu persoalan itu telah terjawab apabila keluarganya menerima pula panggilan daripada orang yang bertanggungjawab melakukan perkara itu.

Seorang lelaki misteri yang mengaku sebagai salah seorang pencuri mayat Charlie Chaplin telah menghubungi keluarga itu. Dia telah meminta wang tebusan sebanyak $600,000 sekiranya keluarga itu mahu mayat pelawak terkenal itu dipulangkan. 

Walau bagaimanapun, keluarga Charlie tidak mahu menuruti permintaan para penjahat itu. Ketika ditemuramah BBC, Lady Oona yang merupakan isteri keempat pelakon itu pernah memberitahu bahawa Charlie sendiri menganggap perkara itu tidak masuk akal sekiranya dia masih hidup.

charlie chaplin dan keluarganya

Charlie Chaplin dan keluarga

Para pencuri mayat Charlie juga mengugut akan menculik anak-anak Lady Oona sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan. Namun, Lady Oona dan lapan orang anaknya tetap juga berkeras.

Kes ini menemui jalan buntu hingga berminggu-minggu lamanya. Pihak media pula membuat pelbagai spekulasi mereka sendiri. Ada laporan yang dipetik oleh BBC mengatakan bahawa kubur Charlie Chaplin digali kerana dia adalah seorang berbangsa Yahudi yang ditanam di perkuburan bukan bangsa Yahudi.

Sementara kekecohan ini berlaku, mayat pelakon komedi klasik yang membintangi filem Modern Times (1936) dan The Great Dictator (1940) itu sedang berada di dalam kerandanya dan ditanam di salah sebuah ladang jagung.

tempat mayat chaplin ditempatkan

Tempat di mana mayat Charlie Chaplin ditemui

Penjenayah yang bertanggungjawab menggali kubur dan mencuri mayat Charlie Chaplin adalah dua orang mekanik bernama Roman Wardas dari Poland dan seorang lagi ialah Gantscho Ganev dari Bulgaria.

Pihak polis telah cuba untuk mengumpan kedua-dua penjenayah itu dengan bersetuju membayar wang tebusan palsu tetapi gagal. Pihak berkuasa bertungkus lumus ingin menyelesaikan kes ini sehingga mereka mengarahkan setiap 200 pondok telefon awam di kawasan itu dipantau oleh seorang anggota penyiasat polis.

Teknik ini akhirnya membuahkan hasil apabila Wardas dan Ganev berjaya dikesan dan diberkas pihak berkuasa. Wardas yang lebih muda daripada Ganev adalah dalang dalam kes kecurian mayat Charlie ini. Dia sebenarnya dikelilingi dengan masalah kewangan.

polis menyiasat kes mayat chaplin dicuri

Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara dan kerja buruh terhadap Wardas selama empat setengah tahun manakala Ganev pula telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan. 

Kes ini merupakan satu kejadian trauma kepada keluarga mendiang Charlie Chaplin. Mayat pelakon dan pelawak terkenal itu sekali lagi disemadikan, kali ini siap dengan lapisan konkrit bagi mengelak kejadian yang sama berulang lagi.

Kedua-dua penjenayah itu merasa bersalah di atas perbuatan mereka mencuri mayat mendiang Charlie. Menurut salah seorang anak mendiang iaitu Eugene, penjenayah itu pernah menulis surat kepada ibunya untuk memohon maaf. Lady Oona kemudian membalas surat mereka dengan menyatakan dia telahpun memaafkan perbuatan kedua-dua lelaki itu. 

chaplin

Pada tahun 2014, sebuah filem Perancis bertajuk "The Price of Fame" telah dihasilkan. Ia menceritakan mengenai kisah mayat Charlie Chaplin yang dicuri empat dekad yang lalu.

Kes mencuri mayat ini sebenarnya telah lama berlaku. Perbuatan Wardas dan Ganev juga sebenarnya diinspirasikan oleh salah satu kes yang terkenal sebelum itu. Para penyiasat percaya mereka diilhamkan oleh satu rancangan berani yang pernah dilakukan untuk mencuri mayat Presiden Abraham Lincoln. Namun, plan itu juga berjaya digagalkan.

Rujukan:

1. Smithsonian Mag

2. HISTORY

3. History Revealed



Hakcipta iluminasi.com (2017)