kembar lima dionne

Kelahiran anak kembar adalah sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini. Namun, rawatan kesuburan dalam perubatan moden telah menyebabkan peningkatan bilangan kelahiran anak kembar yang ketara seperti sebelumnya.

Mengikut data statistik yang dikeluarkan pada tahun 2015, purata kelahiran kembar di setiap negara adalah sebanyak 34 daripada 1000 kelahiran. Amerika Syarikat menunjukkan bilangan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 44 kes kelahiran kembar daripada 1000 kelahiran.

Di Amerika Syarikat juga, 76 peratus daripada jumlah itu adalah kelahiran kembar yang melibatkan lebih daripada dua orang iaitu triplet, quadruplets, quintuplets. Ia adalah hasil daripada rawatan kesuburan.

kembar dionne

Beberapa dekad sebelum wujudnya kaedah rawatan kesuburan moden ini, kelahiran kembar merupakan satu fenomena yang menjadi perhatian umum terutamanya kelahiran yang melibatkan lebih daripada dua bayi. Hal ini terjadi kepada pasangan kembar lima Dionne dari Kanada yang menjadi perhatian sejak hari pertama dilahirkan.

Lima adik-beradik perempuan itu dilahirkan pada 28 Mei 1934 di utara Ontario kepada keluarga Oliva-Edourdo dan Elzire Dionne. Mereka telah diberi nama Cecile Marie Emilda, Emilie Marie Jeanne, Marie Reine Alma, Yvonne Edouilda Marie dan Annette Lillian Marie.

Kelahiran mereka telah disambut oleh Dr. Allan Roy Dafoe yang pada mulanya khuatir kelahiran pasangan kembar lima itu mungkin tidak akan berjaya. Nasib menyebelahi ibu dan anak-anak kembarnya apabila semuanya selamat.

ulang tahun pertama kembar dionne

Ulang tahun pertama kembar Dionne

Tidak lama selepas itu, berita mengenai kelahiran kembar lima itu mula tersebar. Apa yang menyedihkan, ibu dan bapa kepada pasangan kembar itu tidak mampu untuk memelihara kesemua anak-anak mereka kerana kesempitan hidup.

Keadaan malang ini membuatkan kerajaan setempat Ontario mengarahkan agar kembar lima Dionne itu dipindahkan ke dalam jagaan Dr. Dafoe. Doktor itu menempatkan pasangan kembar lima itu di Hospital dan Pusat Jagaan Dafoe.

Sekali pandang, tempat itu kelihatan seperti sebuah institusi kebajikan biasa. Pada hakikatnya, ia adalah tempat yang mempunyai beberapa kawasan yang direka khas oleh Dr. Dafoe bagi membolehkan orang ramai untuk datang dan menyaksikan kembar lima itu secara langsung.

kembar dionne berusia 4 tahun

Ketika berusia 4 tahun

Menurut laporan, kelakuan tidak beretika ni telah disokong oleh pemerintah Ontario. Kelima-lima kembar Dionne ini hidup seperti tikus makmal yang dikurung, diasingkan dan dijadikan ujikaji.

Jadual harian kembar itu juga agak terhad dan setiap saat mereka telah dirancangkan. Dr. Dafoe juga telah mewujudkan waktu lawatan terbuka kepada orang ramai yang ingin menyaksikan kembar lima itu beberapa kali sehari.

Sambutan yang diterima daripada orang ramai juga sangat menggalakkan. Pihak institusi itu mengambil kesempatan dan mengeskploitasi keadaan itu dengan menjual pelbagai produk seperti anak patung kembar Dionne itu.

dr dafoe bersama kembar dionne

Kembar Dionne bersama Dr. Dafoe

Adik-beradik itu tidak mempunyai hubungan dengan sesiapa melainkan kakitangan institut itu dan pelawat mereka sahaja. Ia mengambil masa selama sembilan tahun sebelum mereka bertemu dengan ibu dan bapa kandung mereka semula pada tahun 1943 apabila pasangan suami isteri itu berjaya memenangi kes mengenai hak penjagaan anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun, perkara itu bukanlah permulaan kepada kehidupan bahagia kembar lima. Selepas hak penjagaan mereka beralih tangan, ibu bapa mereka pula yang bertindak mengeksploitasi keadaan mereka.

Pada mulanya, kedua-dua ibu bapa mereka membeli sebuah rumah agam menggunakan tabung amanah kelima-lima beradik kembar itu. Selepas itu ibu bapa mereka telah mengaturkan satu siri jelajah untuk anak-anak mereka sebagai pameran supaya memperolehi lebih banyak keuntungan.

kembar dionne bersama ibu bapa dan paderi mereka

Kembar Dionne bersama ibu bapa dan paderi mereka

Dalam satu temubual yang dijalankan bersama kembar lima Dionne itu, mereka mendakwa telah didera secara mental dan fizikal oleh kedua-dua ibu bapa kandung mereka. Mereka juga telah dikerahkan untuk melakukan pelbagai kerja berat.

Apabila kembar Dionne telah mencapai umur 18 tahun, gadis-gadis itu telah meninggalkan rumah keluarga mereka dengan harapan untuk melupakan segala kesengsaraan yang mereka alami selama ini.

Mereka telah memutuskan hubungan dengan ibu bapa mereka dan juga Dr. Dafoe. Muak dengan perhatian yang diterima sepanjang zaman kanak-kanak mereka, kembar lima Dionne itu memilih untuk hidup secara terpencil dan sederhana.

kembar dionne dewasa

Salah seorang daripada mereka kemudian memilih untuk menyertai biara dan menjadi biarawati. Seorang lagi pula memilih untuk menjadi pustakawan manakala seorang lagi pula memilih untuk menjadi seniman lukisan. Tiga daripada lima orang kembar itu berkahwin dan mempunyai anak.

Hari ini, hanya dua sahaja daripada lima orang kembar perempuan itu yang masih hidup iaitu Annette dan Cecile. Baru-baru ini mereka telah tinggal bersama-sama di Ontario. Namun, keadaan kesihatan Cecile yang semakin buruk menyebabkan dia ditempatkan dalam jagaan di rumah kebajikan orang tua di Utara Montreal.

Akhbar Gazette Montreal pernah melaporkan bahawa kerajaan Ontario telah bersetuju untuk membayar kembar Dionne itu pampasan sebanyak RM 16.3 juta pada tahun 1998. Akan tetapi, berita baik ini juga telah bertukar menjadi mimpi buruk.

annette dan cecile dionne

Annette dan Cecile Dionne

Anak ketiga Cecile iaitu Bertrand Langlois telah menggunakan sejumlah besar wang pampasan yang dibayar itu untuk kepentingan peribadinya sendiri. Walaupun dia pernah berjanji akan membiayai kos kehidupan dan perubatan ibunya sebelum ini, namun dia telah memutuskan hubungan dengan ibunya dan menghilangkan diri sejak 8 tahun yang lalu.

Cecile telah mencuba banyak kali untuk menghubungi dan mencari anaknya itu tetapi gagal. Kini, dia hanya hidup menggunakan pencen yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Rujukan:

1. CNN

2. Knowledge Nuts

3. Montreal Gazette



Hakcipta iluminasi.com (2017)